Subuh
5:28
Syuruk
6:51
Zuhur
12:53
Asar
4:16
Maghrib
6:54
Isyak
8:07
Halal Food Map
Turn on your location  and discover halal restaurants near you.
Sukan0

BOLA SEPAK ENGLAND

Guardiola: Mahkota liga di luar jangkauan

Pengurus The Citizens akui, City harus baiki diri untuk musim depan
Feb 05, 2020 | 05:30 AM

LONDON: Pep Guardiola enggan menyalahkan pemainnya namun menekankan mereka harus meningkatkan persembahan musim depan setelah Manchester City mensia-siakan banyak peluang jaringan, termasuk gagal menyempurnakan tendangan penalti dalam kekalahan 2-0 di tangan Tottenhan Hotspurs Ahad lalu.

Pengurus asal Sepanyol itu memaksa wartawan menunggu hampir sejam sebelum muncul untuk sidang media selepas perlawanan tersebut, sekali gus mencetuskan desas-desus bahawa beliau mengambil masa tersebut untuk melahirkan rasa tidak puas hatinya kepada para pemain di bilik salinan.

Kekalahan di tangan Spurs itu adalah kekalahan ke-enam City dan meletakkannya 22 mata di belakang pendahulu liga, Liverpool.

Bagaimanapun, Guardiola enggan mengulas mengenai apa yang dikatakan kepada para pemain sebaliknya hanya menyifatkan ketumpulan jentera serangannya - yang telah menjaringkan lebih 100 gol dalam semua pertandingan musim ini - sebagai sekadar satu lagi "hari yang buruk di pejabat".

"Mereka tidak dapat dibendung. Kelebihan mata terlalu besar...matlamatnya bagi kami kini adalah pertandingan yang lain, pastikan kami layakkan diri ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan," ujar Guardiola.

"Jarak antara kami dan Liverpool terlalu besar, jadi kami mesti memperbaiki keadaan musim depan. Itu sesuatu yang jelas," tegasnya lagi.

City mencatatkan 18 percubaan gol berbanding hanya tiga dari Spurs. Namun, pasukan tuan rumah mendahului jaringan pada minit ke-63.

Meskipun bermain sepanjang 30 minit akhir perlawanan dengan 10 pemain, City menikmati hampir 70 peratus posesi namun Sergio Aguero mensia-siakan beberapa peluang jaringan dan Iklay Gundogan pula melihat tendangan penaltinya diselamatkan oleh penjaga gawang Spurs, Hugo Lloris.

"Kami banyak mencipta peluang jaringan, kami berbahaya sehingga ke kotak penalti lawan, tapi gagal menjaringkan gol," kata Guardiola, yang melihat pasukannya gagal mencatatkan jaringan dalam dua perlawanan berturut-turut - kali pertama sejak beliau memimpin City.

"Jadi ia hanya menentu masa sebelum segalanya kembali seperti sediakala," kata beliau, sambil menekankan memenangi Liga Juara-Juara bukanlah keutamaan pasukannya.

Meskipun demikian, Guardiola menolak tanggapan bahawa pasukannya hilang keinginan dan tekad.

"Kami bermain dengan baik, tapi kami tewas.

"Kami harus menerimanya dan bekerja keras untuk mengatasi kelemahan. Kami perlu duduk dan menganalisa persembahan setiap pemain, persembahan pasukan. Kami bermain untuk menang dan saya tidak melihat pemain kehilangan keinginan untuk berjaya. Jadi saya rasa, ini bukan keadaan krisis," ujarnya. - AFP.

Video Baru

Podcast Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian