'SORAKAN Kallang' mungkin sudah lama tidak bergema namun ini tidak menghalang Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) dan Hab Sukan Singapura menandatangani satu memorandum persefahaman (MOU) semalam bagi menjadikan Hab Sukan sebagai 'rumah baru' pasukan bola sepak nasional.
Perjanjian selama tiga tahun itu - yang akan menyaksikan Hab Sukan menjadi hos kepada antara tujuh hingga 10 perlawanan bola sepak setiap tahun melibatkan skuad nasional mahupun kelab Liga-S - diharapkan dapat menyemarakkan sukan itu di samping menjadikan Hab Sukan sebagai 'pusat tumpuan' pelbagai peringkat dalam ekosistem bola sepak di negara ini.