Subuh
5:36
Syuruk
6:53
Zuhur
12:57
Asar
4:02
Maghrib
6:59
Isyak
8:08
Sukan

ANUGERAH 'GREAT WOMEN OF OUR TIME'

Hebat di gelanggang, petinju profesional wanita pertama negara diiktiraf

Nurshahidah Roslie, atau 'The Sniper', miliki 13 kemenangan, enam takhta kejohanan
Oct 26, 2019 | 05:30 AM

LALUAN yang diambil menjadi seorang petinju profesional sering dibelenggu pelbagai rintangan, namun Nurshahidah Roslie tidak melihatnya sebagai penghalang untuk terus mengorak langkah dalam sukan itu.

Malah, petinju profesional wanita pertama negara yang dikenali dengan nama gelaran 'The Sniper', kini mempunyai 13 kemenangan dan enam takhta kejohanan.

Ini termasuk mendapat gelaran jaguh 'featherweight' (berat 57 kilogram ke atas) Asia daripada Majlis Tinju Dunia (WBC) pada 2017.

Nurshahidah juga merupakan petinju wanita 'featherweight' yang mempunyai ranking tertinggi di Asia pada Mei tahun lalu dan finalis Super Bantamweight Perak Antarabangsa WBC September lalu.

Malam kelmarin, usaha beliau diiktiraf majalah Singapore Women's Weekly, iaitu satu penerbitan Singapore Press Holdings (SPH), apabila petinju berusia 32 tahun itu diberikan anugerah 'Great Women of Our Time'.

"Perasaan saya masih bercampur baur sebab penganugerahan ini diberikan tanpa dijangka.

"Tetapi, sememangnya, ia memberi saya semangat dan motivasi untuk terus mengambil langkah besar dalam kerjaya saya," ujarnya ketika dihubungi akhbar Berita Harian semalam.

Bagi Nurshahidah, gelanggang tinju bukan hanya tempat untuk memperkasakan kemahiran dan kecergasannya, bahkan juga tempat beliau menanam disiplin diri dan belajar menghormati atlit lain.

"Harapan saya adalah petinju wanita akan terdorong untuk mengambil langkah berani ke tahap profesional supaya kita boleh membangunkan tahap perlawanan profesional tinju wanita di Singapura.

"Ia laluan yang mencabar dan sukar tetapi kita lebih kuat daripada cabaran ini," tambah srikandi tinju negara itu.

Nurshahidah mengongsi anugerah tersebut bersama Cik Gillian Tee, 37 tahun, pengasas syarikat pemula rumah penjagaan warga tua, Homage.

Kededua penerima itu dalam golongan kategori sukan dan kesihatan anugerah tahunan itu yang menghargai wanita Singapura yang paling memberi inspirasi.

Seramai 10 wanita telah diiktiraf di majlis anugerah tahunan itu, yang berlangsung di Artermis Grill dan Sky Bar.

Antaranya, pelakon dan penerbit Tan Kheng Hua, 56 tahun, yang mengukir sejarah selepas beraksi dalam filem Hollywood, Crazy Rich Asians, tahun lalu.

Selain personaliti dalam bidang seni dan sukan, anugerah itu juga menghargai sumbangan luar biasa wanita dalam bidang masing-masing.

Cik Adeline Thong, 40 tahun, diiktiraf dalam kategori khidmat awam dan pendidikan atas usahanya membangunkan rumah perlindungan bagi belia bersama suaminya, Encik Kenneth Thong.

Dinamakan The Last Resort, rumah perlindungan itu merupakan rumah selamat bagi belia yang tiada tempat tinggal.

Seorang lagi penerima anugerah adalah saintis kajian di Dana Pemuliharaan Wildlife Reserve Singapore, Dr Andie Ang, 34 tahun.

Beliau juga merupakan Presiden Institut Jane Goodall (Singapura), pertubuhan tanpa keuntungan yang menggalak orang ramai memahami dan memelihara orang utan.


"Perasaan saya masih bercampur baur sebab penganugerahan ini muncul tanpa dijangka.
Tetapi, sememangnya, ia memberi saya semangat dan motivasi untuk terus mengambil langkah besar dalam kerjaya saya."

- Petinju, Nurshahidah Roslie.

Video Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian