Subuh
5:28
Syuruk
6:51
Zuhur
12:53
Asar
4:16
Maghrib
6:54
Isyak
8:07
Halal Food Map
Turn on your location  and discover halal restaurants near you.
Sukan0

LIGA PERDANA SINGAPURA

Hougang, Tampines masing-masing mahu menang

Kemenangan akan bantu pasukan untuk terus beri saingan jadi juara liga
Jul 27, 2019 | 05:30 AM

DENGAN kemenangan berturut-turut ke atas dua pasukan teratas Liga Perdana Singapura (SPL), Hougang United berharap dapat melengkapkan hatrik kemenangan apabila mereka menerima kunjungan Tampines Rovers petang ini.

Kemenangan tersebut meletakkan Hougang di tangga ketiga dengan 29 mata - lima mata memisahkan mereka dengan pendahulu liga, Brunei DPMM, dan dua mata dengan pasukan di atas mereka, Albirex Niigata.

Meskipun begitu, ketua jurulatih Hougang, Clement Teo, menegaskan persaingan musim ini masih belum tamat dan tumpuan skuadnya masih sama.

"Tidak ada apa yang beza (dari segi mood) dalam bilik persalinan pasukan sejak kita memulakan musim ini.

"Dua kemenangan itu penting, tetapi kita masih mempunyai lapan lagi perlawanan sebelum musim berakhir," kata Teo.

Tampines yang menduduki tangga keempat (27 mata) juga tidak mahu ketinggalan jauh di belakang dalam saingan sengit merebut piala SPL musim ini.

Justeru, perlawanan malam ini di Stadium Jalan Besar merupakan perlawanan penting buat kedua-dua pasukan tersebut dengan tiga mata menjadi matlamat utama.

Dalam lapan pertemuan terakhir liga antara mereka sebelum ini, Hougang masih belum merasakan kemenangan.

Tujuh kekalahan dan satu keputusan seri menghantui kelab Cheetahs itu (gelaran Hougang) yang mengharapkan nasib mereka apabila bertemu Tampines akan berubah hari ini.

"Di dalam setiap perlawanan bola sepak, setiap pasukan mempunyai harapan.

"Sebagai jurulatih di tahap ini, kami melangkah ke dalam setiap perlawanan dengan sasaran untuk menang. Tiada yang mustahil dalam kehidupan ini," ujar Teo lagi.

Sementara itu, jurulatih Tampines, Gavin Lee, pula perlu memastikan pemain berada pada tahap optimum menjelang perlawanan tersebut menyusuli kemenangan 4-2 ke atas Home United pada Selasa lalu.

Perlawanan tersebut menyaksikan pasukan kendalian Lee itu terpaksa bekerja dengan lebih keras selepas ketinggalan 2-1 pada separuh masa pertama.

Tampines bangkit untuk memastikan kemenangan berpihak kepada mereka menerusi jaringan Yasir Hanapi dan dua gol daripada penyerang, Jordan Webb.

"Kami perlu melakukan banyak latihan pemulihan kerana kami hanya mempunyai selang tiga hari antara kedua-dua perlawanan ini.

"Apa yang penting adalah untuk memastikan pemain kami segar dan bersedia sebaik mungkin untuk memberi persembahan terbaik," kata Lee.

Menyifatkan pertarungan hari ini sebagai saingan yang sengit, Lee bagaimanapun mengalu-alukan cabaran daripada Hougang meskipun akur mereka mempunyai keyakinan lebih tinggi selepas mengalahkan DPMM dan Albirex.

"Kita perlu pantas dalam mengatur serangan dari awal dan cuba mengawal perlawanan sebelum mengekalkan momentum kami di sepanjang perlawanan itu nanti," ujarnya lagi.

Memberi pendapat beliau tentang seteru mereka hari ini, Teo berkata:

"Tampines masih merupakan pasukan yang hebat dan kami perlu berada pada tahap yang terbaik apabila kami menentang mereka.

"Berulang kali mereka telah menunjukkan kebolehan mereka dan mempunyai barisan pemain berbakat.

"Ia jelas dilihat pada perlawanan terakhir apabila mereka menewaskan Home United.

"Namun, kami akan mengambil satu perlawanan demi satu perlawanan dan akan mengharapkan yang terbaik."

Video Baru

Podcast Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian