Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

ATLET SUKAN BERAYA

I perses persis kembar

Pegawai, atlet dua sukan Melayu sambut Raya dalam suasana penuh muhibah sebagai persatuan sukan sejiran selama hampir dua dekad
May 16, 2021 | 05:30 AM



DI MANA ada Persisi, di situ ada Perses.



Perasan atau tidak, begitulah kedudukan kededua persatuan sukan nasional (NSA) tradisional Melayu itu sejak hampir dua dekad lalu.



Setelah ditubuh dan berkembang di tempat berasingan pada awal penubuhan mereka, Persekutuan Silat Singapura dan Persekutuan Sepak Takraw Singapura diletakkan bukan sahaja di bawah satu bumbung, malah bersebelahan di Pusat Kecemerlangan Sukan masing-masing di pekarangan Stadium Bedok di 7 Bedok North Street 2 sejak 2002.



Apabila lokasi itu dikosongkan untuk memberi laluan kepada pembangunan, kededua Persisi dan Perses kemudian ditempatkan bersebelahan sekali lagi di Aras 4, Heartbeat@Bedok.



'Kebersamaan' dan semangat kejiranan yang menjadi dasar menempatkan mereka bersama itu amat dihargai Persisi dan Perses.



"Anda boleh sifatkan kami bukan sahaja sebagai 'kembar' dari segi kedudukan, malah dari sudut dasar menempatkan kami bersebelahan di bawah satu bumbung," kata Abdul Sarip Naharawi, pegawai paling lama yang berkhidmat secara sukarela di antara kededua persatuan itu.



Bagi menghargai jasa beliau mencurah khidmat selama lebih lima dekad sebagai pemain dan pegawai, Perses melantiknya sebagai Presiden Kehormat.



"Kami diletakkan bersama dan berdekatan agar orang tidak lupa bahawa dalam satu bangunan di Bedok itu ada dua sukan tradisional Melayu yang mahu diketengahkan.



"Jadi apabila orang ramai datang berkunjung, mereka dapat melihat perkembangan dan kegiatan yang dianjurkan Perses dan Persisi dengan mudah," kata Abdul Sarip, 71 tahun, yang lebih mesra dengan panggilan 'Pak Sarip'.



Menurut beliau, ketika baru diletakkan bersama, pegawai kededua persatuan membentuk satu jawatankuasa kecil bagi menjaga kebajikan dan keperluan mereka untuk diketengahkan kepada pihak berkuasa.



Kedudukan itu juga membolehkan kededua NSA menjalin kerjasama dalam bidang lain dan mewujudkan 'persaingan sihat' antara atlet.



"Sejak ditempatkan bersama, Persisi sentiasa menjalin kerjasama dengan Perses dan menghargai hubungan rapat antara kami.



"Contohnya, ketika kami memerlukan ruang tambahan ketika mengadakan pertandingan seperti kejohanan pencak silat di Pusat Kecemerlangan Silat kami di Bedok, Perses sentiasa memberi sokongan dengan membenarkan kami menggunakan dewan mereka," kata Sheik Alau'ddin Yacoob Marican, ketua eksekutif (CEO) Persisi.



Beliau, yang menjadi pesilat nasional pada 1985 sebelum menjadi jurulatih dan menggalas tanggungjawab sebagai CEO sejak 2005, berkata kedudukan sebagai jiran juga mewujudkan persaingan sihat antara atlet.



"Baik juga kami diletakkan bersama. Ia mewujudkan persaingan yang sihat dalam kalangan atlet. Saya dapat rasakan pesilat kami sentiasa mahu mengatasi pencapaian dari segi pungutan pingat dan apa juga kejayaan jiran kami," kata Sheik Alau'ddin.



Menurut beliau, langkah meletakkan Persisi dan Perses di bawah satu bumbung juga membawa manfaat dari segi mempromosikan kededua sukan.



"Kami diletakkan bersama di bawah satu bumbung selama hampir dua dekad. Ini pastinya membolehkan kami memasar dan mempromosikan kededua sukan tradisional ini.



"Apabila orang luar, baik masyarakat, penaja mahupun pelawat asing datang berkunjung ke pejabat dan pusat latihan kami, kami boleh turut memberi taklimat mengenai latar belakang dan kegiatan Perses, dan begitu juga di pihak Perses," ujar Sheik Alau'ddin.



Selain beroperasi di Heartbeat@Bedok, Persisi juga diberi tempat latihan tambahan di Hab Sukan di OCBC Arena.



Memberikan pandangannya, Presiden Perses, Mohd Nasri Haron, berkata 'penyatuan kegiatan Melayu' - sepak takraw dan silat - di bawah satu bumbung adalah supaya ia dapat menyemarakkan kededua sukan tradisi Melayu di sini.



"Sememangnya penempatan bersama ini mewujudkan semangat persaingan yang sihat antara kededua persatuan dari segi meraih kejayaan dalam pertandingan yang disertai masing-masing persatuan.



"Masyarakat Melayu setempat juga mendapat manfaat kerana sering kali dapat berkumpul beramai-ramai untuk menonton permainan tradisional Melayu di bangunan yang sama demi menyemarakkan sukan tradisi kita," kata Mohd Nasri, yang menyertai Perses pada 2013/2014 daripada Persatuan Sukan Polis.



Sependapat dengan Sheik Alau'ddin, beliau akur kedudukan itu membolehkan kededua Perses dan Persisi meraih manfaat melalui kerjasama.



"Perses pernah mendapatkan khidmat Sheik Alau'ddin sendiri, selaku ketua jurulatih skuad silat nasional, untuk melatih pemain sepak takraw dari segi kecergasan (strength conditioning) ketika kami mengadakan latihan pusat beberapa tahun lalu.



"Dari segi menggunakan gelanggang bagi tujuan menganjurkan pertandingan, mereka, begitu juga kami, menggunakan gelanggang satu sama lain apabila terdapat keperluan berbuat demikian.



"Sehingga hari ini, kami masih berbuat demikian apabila keadaan memerlukan," ujar Mohd Nasri.



Kerjasama ini, secara tidak langsung, turut membolehkan warga - atlet dan pegawai - kededua persatuan menonton dan mengenali sukan masing-masing lebih dekat.



"Cuma mereka mungkin kurang berinteraksi kerana kesibukan menjalankan latihan dan tugas masing-masing," tambah beliau.



Mohd Nasri menaruh harapan pada suatu hari nanti kerjasama ini dapat dikembang-luaskan dengan menganjurkan satu pesta sukan besar-besaran untuk tontonan masyarakat atau kejohanan antarabangsa Sukan Warisan.



Mengulas hubungan rapat itu, penyerang sepak takraw nasional, Md Afif Safiee, berkata kejayaan yang diraih pesilat nasional turut merangsang beliau dan rakan-rakannya berlatih gigih.



"Sudah semestinya kami mahu mengecap kejayaan seperti yang mereka capai baik dalam Sukan SEA mahupun Sukan Asia.



"Saya juga sedar pesilat nasional berlatih secara sepenuh masa berbanding kami pemain sepak takraw yang berlatih selepas waktu kerja atau sesi persekolahan.



"Walau apapun, kami akan tetap memberi 100 peratus dalam latihan dan apabila masuk ke gelanggang pertandingan," kata Md Afif, yang bertugas sebagai penghantar barangan dengan syarikat DHL.



Akur dengan kesibukan tugas dan latihan masing-masing, juara dunia silat Sheik Farhan Sheik Alau'ddin berkata:



"Baik juga kalau saya dapat berbual dengan pemain sepak takraw untuk berkongsi pandangan dan menjalin persahabatan dengan mereka.



"Saya menanti-nanti kesempatan berbual dengan mereka dan membantu satu sama lain mengembangkan potensi," ujar beliau, yang menyertai latihan silat sejurus tamat tugas selaku anggota Perkhidmatan Negara.




APA KATA PEGAWAI PERSISI-PERSES



"Kami diletakkan bersama dan berdekatan agar orang tidak lupa bahawa dalam satu bangunan di Bedok itu ada dua sukan tradisional Melayu yang mahu diketengahkan.

Jadi apabila orang ramai datang berkunjung, mereka dapat melihat perkembangan dan kegiatan yang dianjurkan Perses dan Persisi dengan mudah."

- Abdul Sarip Naharawi, 71 tahun, Presiden Kehormat Perses. 'Pak Sarip' telah berkhidmat selama lebih lima dekad sejak 1968.



"Sejak kami ditempatkan bersama, Persisi sentiasa menjalin kerjasama dengan Perses dan menghargai hubungan rapat antara kami...

Kami diletakkan bersama di bawah satu bumbung selama hampir dua dekad. Ini pastinya membolehkan kami memasar dan mempromosikan kededua sukan tradisional ini.

Apabila orang luar, baik masyarakat, penaja mahupun pelawat asing datang berkunjung ke pejabat dan pusat latihan kami, kami boleh turut memberi taklimat mengenai latar belakang dan kegiatan Perses, dan begitu juga di pihak Perses."

- Sheik Alau'ddin Yacoob Marican, CEO Persisi.



"Sememangnya penempatan bersama ini mewujudkan semangat persaingan yang sihat antara kededua persatuan dari segi meraih kejayaan dalam pertandingan yang disertai masing-masing persatuan.

Masyarakat Melayu setempat juga mendapat manfaat kerana sering kali dapat berkumpul beramai ramai untuk menonton permainan tradisional Melayu di bangunan yang sama demi menyemarakkan sukan tradisi kita."

- Mohd Nasri Haron, Presiden Perses.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >