Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

PREVIU FINAL: FOKUS PADA CROATIA

'Ibu segala pertarungan' bagi Croatia

Perkataan 'kepenatan' tiada dalam kamus Modric dan rakan-rakan apabila mengejar kemenangan bersejarah
Jul 15, 2018 | 05:30 AM



IA dianggap 'ibu segala pertarungan'.



Bagi generasi berbakat Croatia yang ditunjangi bintang kreatif midfield pasukan, Luka Modric, peluang beraksi dalam final Piala Dunia menentang Perancis di Stadium Luzhniki, Moscow. mulai 11 malam ini (waktu Singapura) mungkin kesempatan keemasan yang hanya datang sekali sahaja dan mungkin juga tidak akan dapat diulang lagi.



Inilah peluang bagi Modric serta rakan-rakannya yang berbakat lain termasuk Ivan Perisic, Mario Mandzukic, Ivan Rakitic dan Ante Rebic memenuhi potensi yang dimiliki dan menjulang mahkota Piala Dunia buat pertama kali bagi mengukir sejarah baru dalam arena bola sepak negara yang hanya mempunyai sekitar 4 juta penduduk itu.



Jadi, saya tidak fikir Croatia akan mensesiakan sahaja kesempatan keemasan ini dan jika mereka terpaksa berlari dan mengejar bola dengan 'satu kaki' - seperti yang dikatakan jurulatih pasukan, Zlatko Dalic, semasa menarik perhatian ke atas kelelahan serta masalah kecederaan yang menghambat pasukannya semasa berjuang sengit ketika menewaskan England dalam masa tambahan di separuh akhir Piala Dunia ini pada Khamis lalu - mereka akan melakukannya!



Ibarat pepatah alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan - selepas kehebatan menewaskan Argentina 3-0 di peringkat kumpulan dan terhempas pulas melalui masa tambahan dalam ketiga-tiga pertarungannya di pusingan kalah mati - saya fikir Modric dan rakannya akan begitu bersemangat sekali mahu menyempurnakan tugas mereka di Russia ini.



Sebagai pasukan ke-13 untuk melayakkan diri ke final Piala Dunia, Croatia tentu sekali mahu mengorak setapak lagi - muncul sebagai hanya pasukan kesembilan untuk menjulang mahkota keagungan bola sepak dunia ini dan menyertai senarai elit yang turut menampilkan Brazil sebagai juara lima kali dan Jerman serta Italy sebagai pemenang empat kali.



Malah, wira penjaring gol kemenangan pasukan ke atas England, Mandzukic, memukul canang dengan berkata:



"Kami beraksi seperti singa (semasa menentang England) dan kami akan menunjukkan semangat yang sama dalam final nanti."



Satu lagi motivasi bagi Croatia ialah peluang 'membalas dendam' di atas kepahitan yang dirasakan 'generasi emas' terdahulu negaranya apabila tewas kepada Perancis di separuh akhir Piala Dunia 1998.



Ia juga kesempatan bagi Modric dan rakannya 'memperbetulkan' statistik pertemuan antara kededua pasukan itu - Croatia tidak pernah memenangi kesemua lima pertemuannya menentang Perancis sejak 1998.



Sejak kemenangan Les Bleus yang turut menjulang trofi Piala Dunia 1998 itu, Perancis kemudian memenangi dua pertemuan persahabatan 3-0 (1999) dan 2-0 (2000).



Begitupun dua perlawanan terakhir mereka berkesudahan seri - 2-2 (di Euro 2004) dan 0-0 (2011).



Namun sejak di bawah kendalian Dalic, skuad Croatianya itu berjaya mengatasi pelbagai ranjau dan duri termasuk nyaris-nyaris terlepas melayakkan diri ke Piala Dunia ini.



Dalic, yang dilantik di penghujung pusingan kelayakan itu, berjaya merubah haluan pasukannya - memanfaatkan 'peluang kedua' dengan memimpin Croatia menewaskan Greece dalam perlawanan penentuan untuk mendapat tempat ke Russia.



Selepas mengharungi pelbagai rintangan itu termasuk melihat tuah menyebelahi pasukan pimpinan Dalic semasa mengatasi Denmark dan Russia melalui debaran sepakan penalti, mungkin juga Croatia sudah pun ditakdirkan akan muncul juara dunia malam ini!




Ramalan wartawan:



Perancis 2

Croatia 3




LALUAN CROATIA KE FINAL



PERINGKAT KUMPULAN:

- Kalahkan Nigeria 2-0

- Kalahkan Argentina 3-0

- Kalahkan Iceland 2-1



PUSINGAN 16 PASUKAN TERAKHIR:

- Kalahkan Denmark 3-2 (penalti); Kedudukan terikat 1-1 di akhir masa tambahan



PUSINGAN SUKU AKHIR:

- Kalahkan Russia 4-3 (penalti); Kedudukan terikat 2-2 di akhir masa tambahan



PUSINGAN SEPARUH AKHIR:

- Kalahkan England 2-1 (masa tambahan) selepas kedudukan terikat 1-1.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >