ICC @ S'pura: Chelsea kalah lagi apabila dijinakkan 1-2 oleh Inter Milan

JUARA England, Chelsea, menamatkan persiapan pramusim di Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) dengan satu lagi kekalahan.

Kali ini pasukan pimpinan Antonio Conte itu tewas 1-2 kepada kelab Italy, Inter Milan, dalam satu perlawanan di Stadium Negara yang berakhir sebentar tadi (29 Julai).

Gol penalti Stevan Jovetic dalam separuh masa pertama dan rembatan Ivan Perisic dalam babak kedua meletakkan Inter dalam kedudukan selesa sebelum gol sendiri Geoffrey Kondogbia - percubaannya ke belakang daripada jarak jauh mengatasi penjaga gawang sendiri - memberikan harapan kepada Chelsea untuk bangkit.

Namun, gol penyamaan yang dicari-cari Conte dan anak didiknya tidak kunjung tiba bagi membolehkan Inter muncul juara edisi ICC ini yang julung-julung kali diadakan di Singapura. Inter menewaskan Bayern Munich 2-0 dalam perlawanan pembukaannya dua hari lalu.

Bagi Chelsea, kekalahan itu lebih mengecewakan - yang kedua berturut-turut selepas juga kecundang 2-3 kepada Bayern pada Selasa lalu. Bintang terbarunya, Alvaro Morata, disertakan buat pertama kali dalam kesebelasan utama 'The Blues' tetapi bekas penyerang Real Madrid itu gagal menemui sasaran sebelum digantikan pada minit ke-64.