MELBOURNE: Saga Terbuka Australia yang membabitkan Novak Djokovic bukan sahaja menghalang pemain tenis itu mencapai rekod 21 kemenangan Grand Slam, malah boleh memaksa penaja beliau memikirkan semula hubungan dengannya.
Pemain nombor satu dunia berusia 34 tahun itu, yang diusir dari Australia kelmarin, telah menerima bayaran tajaan lebih dari AS$150 juta ($202.3 juta) sepanjang kerjayanya.
Pada 2021 sahaja, beliau menerima sebanyak AS$30 juta dari segi penajaan, menurut angka dari majalah Forbes.
Tempatnya dalam senarai antara pemain terkaya itu dijamin oleh tawaran daripada pelbagai syarikat termasuk pengeluar peralatan sukan Jepun, Asics, serta pembuat kereta Perancis, Peugeot.
Kontrak dengan jenama pakaian, Lacoste, adalah yang paling lumayan - dianggarkan bernilai sekitar AS$9 juta oleh beberapa media Amerika. Sesetengah pakar merasakan bahawa perangai Djokovic yang mudah panas baran merupakan antara perkara yang mampu mencemarkan namanya.
"Terdapat tanggapan bahawa mungkin beliau tidak disenangi seperti Roger Federer atau Rafael Nadal," kata Patrick Rishe, profesor ekonomi sukan di Universiti Washington di bandar St. Louis, Amerika.
Walaupun terlibat dalam beberapa badan amal dan dihormati oleh kebanyakan rakan seangkatannya, sikap mementingkan diri sendiri dan pendirian profesional Djokovic terhadap vaksinasi Covid-19 telah mencetuskan perbalahan pandangan.
Pengakuannya tidak mengasingkan diri walaupun diuji positif Covid-19 pada Disember lalu telah menyaksikan perwatakannya dipersoalkan lagi.
"Ini mungkin menyebabkan beberapa syarikat untuk memikirkan semula sama ada untuk bekerjasama dengannya.
"Jadi kejadian ini mungkin menjadi alasan bagi mereka menghentikan hubungan dengannya, sekurang-kurangnya dalam tempoh terdekat," kata Rishe.
"Imejnya akan tercalar kerana situasi ini, kerana kebanyakan pemain yang bermain dalam kejohanan ini (Terbuka Australia) telah divaksin dan telah menghormati peraturan," tegas Josh Schwartz, yang bertanggungjawab dalam pemasaran atlet di agensi Amerika Pivot.
Schwartz, bagaimanapun, tidak melihat rakan kongsi sedia ada melanggar kontrak mereka di tengah-tengah krisis atau sejurus selepas itu.
Seorang jurucakap pembuat jam tangan Switzerland, Hublot, yang menandatangani kontrak dengan pemain itu hanya tahun lalu, berkata Djokovic berhak membuat keputusan sendiri bagi pilihan peribadi dan syarikat itu akan meneruskan kerjasama dengan beliau.
Semalam, pusingan pertama Terbuka Australia bermula dengan pemain dari Italy Salvatore Caruso mengambil tempat Djokovic dalam perlawanan dengan pemain Serbia, Miomir Kecmanovic. - AFP, Reuters.