Impian Eropah berakhir bagi Hariss?

Masalah visa dan permit pekerjaan menghapus peluang Hariss beraksi di Eropah, akan menyarung jersi Home United dan beraksi di Liga S musim ini.

PENGEMBARAAN Hariss Harun di Eropah telah berakhir sebelum ia bermula.

Pemain midfield nasional itu bakal menyarung jersi Home United dan beraksi dalam Liga S Great Eastern-Hyundai musim ini.

Beliau berangkat ke Sepanyol bulan lalu, bagi menyertai kelab divisyen ketiga CE L'Hospitalet, sebagai pemain pinjaman, namun adalah difahami masalah visa dan permit pekerjaan - berkaitan isu pentadbiran cukai yang dialami kelab itu - mengadang pendaftarannya untuk beraksi. 

Dalam pada itu,  menurut laporan The Straits Times, Hariss boleh berangkat semula ke Sepanyol jika masalah ini dileraikan dalam tempoh tiga bulan mendatang.

Namun, buat masa ini, pemain yang masih terikat kontrak dengan Johor Darul Takzim itu, kini akan beraksi bagi Home. Beliau tidak dapat menyarung jersi JDT dalam Liga Super Malaysia kerana kelab itu telah memenuhi kuota pemain asing bagi musim ini.

Dalam kenyataan media malam tadi, Home berkata ia sedang dalam proses lanjut bagi mendapatkan tanda tangan pemain itu.

Menurut jurucakap kelab itu, Hariss boleh menyarung jersi Home seawal 31 Mac ini, apabila ia bertemu juara bertahan Albirex Niigata.

Bercakap kepada Berita Harian sebelum berangkat bulan lalu, Hariss berkata beliau ingin menguji keupayaannya di peringkat lebih tinggi di Eropah.