JERMAN menjadi negara pertama mara ke separuh akhir Piala Dunia 2014 selepas ia menundukkan Perancis 1-0 dalam persembahan yang kurang menarik tetapi berkesan di Estadio Maracana di Rio de Janeiro semalam.
Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Mats Hummels hasil satu tendangan bebas dalam minit ke-12 , apabila pemain pertahanan itu melompat lebih tinggi mengatasi Raphael Varane untuk menanduk bola melewati Hugo Lloris.
Anak didik Joachim Loew menguasai permainan dari awal, melakukan siri hantaran pantas satu sentuhan untuk mengawal permainan dari tengah yang berbuah hasil selepas ia memenangi tendangan bebas yang menghasil gol apabila Thomas Muller dikasari Paul Pogba.
Perancis cuba memburu gol penyamaan, tetapi walau membuat lebih banyak percubaan, serangan Perancis yang dibarisi Karem Benzema dan Paul Pogba gagal mencipta percubaan yang benar-benar menguji Manuel Neuer di gawang Jerman. Namun Benzema hampir menyamakan kedudukan di akhir masa kecederaan, tetapi rembatan tepat pertamanya sepanjang permainan berjaya ditampar keluar oleh Neur.
Jerman akan bertemu Brazil yang menewaskan Colombia 2-1 di separuh akhir pada Selasa (8 Julai) depan.
Ia adalah separuh akhir ke-13 dan yang keempat berturut-turut untuk Jerman.