Jonathan Chan wakil terjun cantik Singapura pertama yang layak ke Olimpik

JONATHAN Chan memasuki buku rekod Republik Singapura pada Ahad (8 Sept) sebagai wakil pertama yang layak ke Sukan Olimpik selepas meraih pingat emas dalam acara terjun cantik 10m bagi kategori lelaki di Piala Terjun Cantik Asia (Asia Diving Cup) 2019.

Dengan skornya sebanyak 407.90 dalam acara yang mempunyai enam pusingan itu di Kuala Lumpur, beliau menewaskan Wang Zewei (393.45) dan Ri Kwon Hyok dari Korea Utara (347.25).

Atlit berusia 22 tahun itu berkata: "Saya gembira, tetapi lebih tidak percaya kerana terdapat penyelam Cina (yang bersaing) dan mereka biasanya menyapu pingat-pingat.

"Saya masih terkejut, ini tidak pernah berlaku kepada saya."

Lapan acara akan dipertandingkan dalam pertandingan sukan terjun cantik daripada 24 Julai hingga 9 Ogos di Sukan Olimpik Tokyo 2020.