TERTARIK untuk mengembara, Joshua Pereira - yang ketika itu sedang mengikuti pengajian diploma hospitaliti dan pelancongan - pernah bermain-main dengan idea menjadi pramugara.
Tetapi, beliau memilih fokus pada kerjaya bola sepak. Namun, perjalanan bola sepak Pereira, 24 tahun, berliku - sebahagian besarnya dihimpit pelbagai kecederaan.
Seawal usia 15 tahun pemenang Anugerah The New Paper Dollah Kassim 2015 itu patah kaki kanan dan patah buku lali kiri.
Beliau kemudian mengalami patah tulang rusuk, peparu kempis, dan keretakan kaki kanan, yang menghalangnya beraksi di padang.
Namun, persembahan Pereira bagi kelabnya Geylang International dalam Liga Perdana Singapura (SPL) musim ini menarik perhatian.
Kepelbagaian, ketenangan dalam penguasaan bola dan keupayaan memilih hantaran membantunya menjadi pemain utama Geylang, yang mengatasi permulaan teruk dengan hanya satu kemenangan dalam 12 perlawanan untuk naik ke separuh teratas tangga SPL.
Ia membawa ganjaran apabila Pereira dijemput buat kali pertama menyertai skuad senior Singapura.
Pereira kelmarin diturunkan menentang Vietnam dalam perlawanan persahabatan di Ho Chi Minh.