Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

TINJU TENDANG (KICK BOXING)

Juara Sambo Sukan SEA beraksi di kejohanan tinju tendang dunia di Italy

Selepas hampir 2 tahun rawat cedera dan terhimpit dek Covid-19
Sep 13, 2021 | 05:30 AM



SETELAH hampir dua tahun "melawan" kecederaan teruk dan pelbagai ketidakpastian akibat pandemik Covid-19, petinju tendang (kickboxer) Singapura Nazri Sutari bersedia berdepan cabaran seterusnya di pentas antarabangsa.



Malah, pemenang pingat emas sukan sambo di Sukan SEA 2019 di Filipina itu menganggap dirinya kini "lebih gagah daripada sebelumnya".



Nazri, 31 tahun, bakal mewakili negara di Kejohanan Dunia Tinju Tendang Senior dan Master Wako 2021 di Jesolo Lido, Italy, pada 15 hingga 24 Oktober ini.



Beliau akan bertanding dalam kategori Gaya K1 75 Kilogram Senior Lelaki.



"Sebenarnya, kami rasa ghairah sebab akhirnya kami dapat ke luar negara," seloroh Nazri.



Kejohanan dunia itu akan menjadi pertandingan luar negara pertama beliau sejak bersaing di Sukan SEA Filipina pada Disember 2019.



"Disebabkan keadaan pandemik yang tidak menentu, kami hanya boleh fokus pada apa yang boleh kami kawal dan berlatih sebanyak mungkin.



"Kami tidak tahu sama ada akan berlangsung pertandingan atau tidak.



"Jadi kami hanya buat persiapan seperti ia akan berlaku," ujar Nazri, pengarah teknikal dan jurulatih nasional Persekutuan Tinju Tendang Singapura (KFS).



Nazri menambah bahawa tempoh pandemik ini amat mencabar dengan beliau hampir setahun bergelut dengan kecederaan lutut dan turut kehilangan pendapatan sebagai jurulatih dek sekatan langkah pengurusan selamat yang berkuat kuasa di gimnasium dan studio kecergasan.



Namun, semasa tempoh sukar itu, Nazri, seorang jurulatih dan atlet sepenuh masa, melihat sinar dalam kegelapan.



"Hikmah di sebalik pandemik adalah segalanya telah dibatalkan, termasuk latihan yang terpaksa dihentikan ketika tempoh pemutus litar.



"Jadi, ia beri saya waktu untuk pulih. Saya tidak fikir saya ketinggalan sebab semua orang dalam situasi yang sama," jelasnya.



Beliau mengalami beberapa koyak meniskus (meniscus tear) dan ligamen tegang, antara lain, pada lutut kirinya selepas Sukan SEA 2019.



Kejohanan dunia kali ini juga lebih istimewa bagi Nazri.



Jurulatih beliau sejak 2019, Loh Kain Kai, yang juga dikenali sebagai 'Bruce', turut akan bertanding di kejohanan itu kelak.



Loh, 45 tahun, akan mewakili negara dalam kategori Tendang Ringan 63 Kilogram Kelas Master (Veteran) Lelaki.



Beliau, yang telah bergiat secara kompetitif dalam sukan kombat sejak 1995, berkata:



"Sudah tentunya, rasa ghairah sebab ia telah sekian lama sejak saya bertanding. Saya tidak sabar untuk belajar sebanyak yang mungkin (daripada kejohanan) dan kongsi pengalaman itu dengan pelajar saya."



Pasangan guru pakar (master teacher) dan pengikut (disciple) itu akan memainkan peranan jurulatih-atlet - yang bermakna ketika salah seorang bersaing, seorang lagi akan memberi bimbingan dari tepi gelanggang.



"Peluang untuk berkongsi pengalaman ini bersama Nazri sebagai jurulatih, rakan sepasukan dan rakan pesaing akan menjadikan ia kenangan yang tidak dapat dilupakan," tambah Loh, yang ke Kejohanan Dunia 2019 di Sarajevo sebagai jurulatih Nazri.



Bagi Nazri pula, pengalaman melatih atlet lebih senior juga sesuatu yang baru buat dirinya.



"Saya sering lihat dia sebagai jurulatih dan mentor saya. Tapi kali ini saya tidak perlu rasa 'paiseh' atau malu ketika berada di sekelilingnya," kongsi beliau.



Nazri akan berangkat dari Singapura hari ini dan membuat perjalanan ke Eropah lebih awal daripada kontinjen KFS seramai tiga orang ke Kejohanan Dunia 2021.



Beliau akan melakukan dua perhentian - Hungary dan Serbia - sebelum beraksi di Kejohanan Dunia 2021 di Italy pada Oktober ini.



Nazri, yang dipilih April lalu sebagai antara 15 individu yang membentuk generasi pemimpin tinju tendang seterusnya, akan menghadiri mesyuarat fizikal GameChanger Wako pada 14 hingga 15 September.



Di sana, beliau juga akan bersaing dalam Piala Dunia Hungary pada 16 hingga 19 September, iaitu pertandingan besar peringkat antarabangsa pertama sejak pandemik.



Nazri kemudian akan membuat perjalanan ke Serbia untuk menjalani kem latihan intensif selama tiga minggu, mulai 20 September, bersama Topic Team - yang ditubuhkan salah seorang jurulatih tinju tendang terbaik Serbia, Aleksandar Topic - sebelum disatukan dengan kontinjen KFS di Italy.



Meskipun beliau akan berjauhan daripada keluarga dan mengorbankan pendapatannya selama dua bulan, Nazri percaya bahawa pengalaman bersaing dan berlatih di Eropah akan berbaloi menjelang Kejohanan Dunia 2021.



Di Kejohanan Dunia 2019, Nazri menduduki tempat ke-17. Beliau berharap dapat memperbaiki keputusan itu di edisi kali ini.



Keputusan podium atau lapan pesaing terbaik akan menjadikan beliau warga Singapura pertama melayakkan diri ke Sukan Dunia 2022.



"Keputusan berada di luar kawalan saya tapi apa yang pasti adalah saya akan bertarung habis-habisan dengan sebaik mungkin," tambahnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >