JUMA'AT JANTAN dipilih menyertai semula pasukan nasional oleh jurulatih Bernd Stange dalam senarai 20 pemain yang diumumkan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) sebelum berangkat ke Oman bagi perlawanan kelayakan Piala Asia AFC, Ahad ini.
Bersama kapten Shahril Ishak dan penjaga gawang Fadhil Salim, Juma'at antara tiga pemain berusia 30 tahun atau lebih dalam skuad muda yang dipilih Stange.
Sebelum ini, Juma'at telah mewakili skuad nasional sebanyak 28 kali.
Penyerang muda Sahil Suhaimi, yang cemerlang dalam Sukan SEA dan untuk Courts Young Lions tidak disertakan dalam skuad. Dalam laporan The New Paper kelmarin Stange dilaporkan berkata bahawa Sahil tidak akan dipilihnya selagi beliau belum lulus ujian larian 2.4 kilometer yang diwajibkan untuk semua pemain Liga-S.
Tunggak pertahanan, Baihakki Khaizan, turut tidak disertakan kerana memulakan penggantungan tiga perlawanan selepas dilayangkan kad merah dalam perlawanan menentang Jordan d Stadium Jalan Besar bulan lalu.
Singapura bertemu pasukan tuan rumah dalam perlawanan kumpulan terakhir pada 5 Mac ini.
Walau gagal melayakkan diri ke Piala Asia tahun depan, Stange berkata perlawanan ini adalah peluang untuk pemain lebih muda menimba pengalaman bermain dengan pasukan bermutu.
"Kami akan cuba meraih keputusan baik di Oman tetapi keputusan bukanlah perkara paling penting saat ini," kata Stange.
Pasukan Singapura:
Izwan Mahbud
Shakir Hamzah
Faritz Hameed
Afiq Yunos
Safuwan Baharudin
Zulfahmi Arifin
Gabriel Quak
Madhu Mohana
Hafiz Abu Sujad
Faris Ramli
Shahfiq Ghani
Hariss Harun
Shahril Ishak
Hassan Sunny
Zulfadli Zainal Abidin
Juma'at Jantan
Ismail Yunos
Anumanthan S/O Mohan Kumar
Iqbal Hussain
Fadhil Salim