Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

BOLA SEPAK SETEMPAT

Kadir masih sedia sumbang 'sentuhan emas' bangun bakat belia setempat

Jurulatih yang diakui keistimewaannya dalam bangunkan bola sepak belia, kepakaran beliau kini dimanfaat kelab Liga Thai, BG Pathum
Jan 25, 2023 | 05:30 AM



NAMA beliau sinonim dengan pembangunan belia dalam bola sepak setempat.



Reputasi tersebut dibangunkannya sepanjang tempoh memimpin pasukan dan program pembangunan belia dalam struktur bola sepak negara.



Sekitar sedekad lalu, bekas pemain pertahanan negara, Kadir Yahaya, 'hilang' daripada sistem pembangunan belia setempat di peringkat nasional; sebaliknya menggunakan kepakaran dan 'sentuhan emasnya' di peringkat sekolah, memimpin pasukan 'A', 'B' dan 'C' di St Joseph's Institution's (SJI).



Setelah memacu kejayaan sekolah yang secara tradisi tidak dikenali dengan kehebatan pasukan bola sepaknya - SJI berjaya memenangi kejuaraan dalam pertandingan nasional dan zon di bawah kepimpinan beliau - Kadir, 54 tahun, kini memegang jawatan Ketua Bolasepak Belia di kelab Thailand, BG Pathum.



TERUJA DENGAN CABARAN



Dalam wawancara menerusi telefon, Kadir yang berpangkalan di Bangkok, memberitahu wartawan beliau rasa teruja dan ghairah memulakan kerjaya barunya itu di perantauan.



Setelah hampir dua bulan - beliau mulakan tugasnya secara rasmi pada awal Disember tahun lalu - Kadir berkata beliau sudah mula sesuaikan diri dengan keadaan di Thailand.



Akademi belia BG Pathum, yang diberi nama Akademi Bolasepak Yamaoka Hanasaka, dibangunkan pada 2016 dan terletak di wilayah Pathum Thani.



Akademi itu menempatkan 70 pemain belia dan dilengkapi tiga padang latihan bola sepak.



Kadir mendedahkan sejak beberapa tahun lalu, beliau menerima beberapa tawaran di Indonesia, Brunei dan Malaysia. Malah beliau hampir menerima salah satu tawaran tersebut sebelum dilamar BG Pathum.



BG Pathum, yang merupakan juara Liga Thai 2021, juga merupakan pasukan yang diwakili kededua anak legenda bola sepak negara, Fandi Ahmad, iaitu Irfan dan Ikhsan Fandi.



"Selepas 10 tahun, saya rasa masanya kini sesuai untuk saya ke luar negara, untuk menyahut cabaran baru," katanya.



Beliau berulang alik antara Singapura dan Bangkok pada hujung minggu apabila tidak sibuk memantau pembangunan bola sepak belia di BG Pathum.



Menurut Kadir, beliau dipelawa meninjau kemudahan di Yamaoka Hanasaka, dan apa yang dilihatnya telah menarik perhatian beliau.



"Kami mempunyai asas pembangunan bola sepak belia yang kukuh di sini dan para pemain akademi juga 'bersungguh-sungguh' untuk dipilih mewakili pasukan utama dan mendapatkan kontrak profesional," ujarnya.



Antara tugas utama Kadir ialah untuk pastikan saluran pemain muda terbaik Thailand dibawa masuk ke sistem belia BG Pathum, dan kemudian bakat mereka dikembangkan untuk bersedia mewakili pasukan senior.



Untuk membantunya dalam tugas tersebut, Kadir menyelia pasukan 30 orang termasuk kakitangan pentadbiran dan jurulatih.



SENTUHAN EMAS BANGUN BELIA



Pengarah bola sepak BG Pathum, bekas pemain antarabangsa Thailand, Surachai Jaturapattarapong, berkata reputasi Kadir dalam membangunkan pemain belia bermakna beliau adalah calon sesuai menggalas tanggungjawab tersebut bagi kelab Thai itu.



Mengulas dalam laporan sebelum ini, Surachai, yang pernah bermain dalam liga setempat dari 1999 hingga 2005 berkata:



"Saya kenali Kadir dengan rapat. Saya melihat beliau sebagai jurulatih dan kagum dengan tumpuannya kepada pembangunan belia, bukan hanya untuk dewasa sebagai pemain yang baik tetapi insan yang baik juga."



"Jadi bagi kami, beliau adalah calon yang amat sesuai untuk projek kami. Dan kami amat gembira Kadir bersetuju menyertai kami dan kami yakin beliau akan membawa kejayaan kepada kelab ini."



Reputasi Kadir sebagai jurulatih belia yang hebat bermula apabila pasukan pimpinan beliau menangi pingat gangsa dalam Sukan Olimpik Belia (YOG) pada 2010 - satu kejayaan yang menggamit imaginasi para penyokong bola sepak tanahair.



Namun, malangnya sedang reputasi beliau diakui pemain, bekas pemain dan jurulatih, peluang beliau melaksanakan cara dan visinya di Singapura terhenti setelah YOG melabuhkan tirainya.



Bekas pemain bola sepak negara, Yakob Hashim, berkata keadaan itu merupakan sesuatu yang amat mengecewakan.



"Kadir boleh menyumbang kepada pembangunan bola sepak setempat. Dan setelah melihat kegagalan pasukan negara dalam pertandingan serantau dari peringkat belia kepadalah senior dalam beberapa tahun lalu ini, ramai yang terfikir, kita perlukan seseorang seperti Kadir untuk pimpin atau terlibat dalam pembangunan bola sepak belia kita," ujarnya.



DI LANDASAN BETUL, TAPI PERLU PENYESUAIAN



Diminta mengulas, Kadir akur beliau sedih dengan keadaan bola sepak setempat, khususnya dalam bidang pembangunan belia, namun tekankan masanya belum terlambat.



Menurutnya, pihak penguasa bola sepak negara perlu bertindak pantas lebih-lebih lagi setelah negara-negara seperti Laos, Kemboja dan Vietnam telah pun mengatasi Singapura di peringkat belia.



"Dalam pertandingan belia AFF (Persekutuan Bolasepak Asean), pasukan belia kita di semua peringkat usia bukan hanya kalah tapi kalah teruk dengan pasukan-pasukan rantau ini, jiran-jiran yang sebelum ini kita 'bantai' (kalahkan) dengan mudah. Tapi sekarang kita yang kena bantai," kata Kadir.



"Itu baru peringkat AFF. Negara-negara seperti Vietnam, Thailand, tumpuan mereka kini ialah pertandingan di peringkat AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia).



"Jadi, hakikatnya secara objektif, memang perlu dilakukan sesuatu," ujarnya.



Namun, Kadir menekankan, projek seperti Unleash The Roar (UTR) menunjukkan pembangunan belia Singapura berada di landasan yang betul. Justeru, pelaksanaannya perlu dilakukan dengan sebaik-baiknya, kata Kadir.



Dilancarkan pada 2021, Unleash the Roar! adalah projek bola sepak nasional yang dilancarkan pemerintah, dan bertujuan membangun dan mencungkil bakat baru yang boleh menjadi pemain yang mewakili Singapura ke Piala Dunia 2034.



Kadir berkata kerjasama FAS dan projek itu dengan kelab-kelab atau persatuan bola sepak di negara Eropah seperti Perancis dan Sepanyol mungkin perlu diteliti semula.



"Tahap pemain kita jelas sudah jatuh di belakang jiran-jiran kita. Mungkin ada baiknya kita teliti sistem pembangunan bola sepak mereka. Thailand dan Vietnam mempunyai sistem bola sepak belia yang telah buahkan hasil di peringkat Asean dan menunjukkan kemajuan di peringkat Asia.



"Kita perlu melihat pembangunan bola sepak sebagai satu perjalanan, yang harus diambil secara bertahap-tahap," ujarnya.



Kadir mempersoalkan sama ada budaya bola sepak di negara Eropah dan keterbatasan waktu perjalanan ke negara-negara itu adalah strategi terbaik untuk bangunkan pasukan bola sepak belia seperti yang diimpikan Unleash the Roar!



Menurutnya, sekiranya kerjasama dijalin dengan pasukan serantau, di Thailand contohnya, para pemain itu boleh didedahkan kepada mutu bola sepak lebih tinggi secara lebih kerap dan konsisten.



"Kita harus akui budaya di Singapura ialah pelajaran dahulu, bola sepak kemudian. Jadi, kalau kita ada kerjasama dengan kelab Thailand, bila ada cuti umum atau cuti hujung minggu, pemain kita boleh ke sana untuk berlatih dan mengadakan perlawanan. Dan mereka boleh lihat standard realistik yang perlu mereka capai untuk bersaing di peringkat serantau. Kalau kerjasama dengan kelab di Sepanyol, kena tunggu cuti sekolah hujung tahun, baru nak pergi berlatih," jelasnya.



MASIH MAHU MENYUMBANG



Meskipun sudah sekitar sedekad 'tinggalkan' bola sepak setempat Kadir berkata beliau masih terbuka menyumbang kepada pembangunan bola sepak di sini.



Menurutnya, bekas pemain dan jurulatih sepertinya, mengenali budaya dan keperluan bola sepak tanah air terutama dalam pembangunan belia.



"Kami sendiri melalui perjalanan sebagai pemain, kemudian kami tangani cabaran sebagai jurulatih pula. Jadi kami sungguh faham cabaran, keterbatasan seorang pemain muda di Singapura," ujarnya.



Kadir tekankan beliau teruja dengan projek Unleash the Roar! dan kalau boleh mahu pihak berkuasa bola sepak di sini menganjurkan satu seminar melibatkan bekas pemain dan jurulatih setempat.



"Kami perlukan wadah ini untuk bertukar-tukar pendapat, memberi pandangan kami dari sudut praktikal, iaitu pendekatan yang paling berkesan untuk pembangunan bola sepak dalam konteks Singapura.



"Sebenarnya, Singapura mempunyai jumlah jurulatih bertauliah dengan Pro-License yang amat tinggi, antara yang tertinggi di Asia, dan kebanyakan kami bekerja dalam bola sepak tapi di luar negara (Lihat laporan di muka sebelah).



"Jadi mengapa tidak kita manfaatkan kepakaran ini bersama kerana hakikatnya kita semua mempunyai matlamat yang sama, iaitu membangunkan bola sepak negara," ujar beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >