Pasukan Singa Muda, yang dibelenggu kenaikan kes Covid-19 dalam skuad, tersingkir daripada Kejohanan Bawah 23 Tahun (U23) Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) 2022 selepas tumpas 0-7 kepada Vietnam di Kemboja pada Sabtu (19 Februari).
Kekalahan itu bermakna Singapura terkandas di tangga terendah Kumpulan C, yang dianggotai tiga negara, tanpa mencatat sebarang kemenangan daripada dua perlawanan.
Rabu lalu, Singapura kalah 1-3 di tangan Thailand.
Di Stadium Prince di Phnom Penh malam ini, ketua jurulatih pasukan U23 nasional Singapura Nazri Nasir hanya mampu menamakan 14 pemain, iaitu sekitar separuh dari skuad seramai 24 pemainnya, dek Covid-19 dan kecederaan.
Ini setelah lagi dua pemain Singapura diuji positif bagi Covid-19.
Sebelum perlawanan malam ini, Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) dalam satu posnya di Facebook mengesahkan bahawa kapten Jacob Mahler dan penyerang Nicky Melvin Singh telah dijangkiti Covid-19.
“Dua lagi pemain - kapten pasukan Jacob Mahler dan penyerang Nicky Melvin Singh - kembali dengan keputusan positif Covid-19 pagi ini daripada ujian tindak balas rantai polimerase wajib yang dijalankan petang semalam,” kata FAS.
Kedua-dua pemain itu telah dipindahkan ke kemudahan kuarantin tempatan untuk menjalani pemulihan selama sekurang-kurangnya sembilan hari, menyertai tiga lagi pemain Singapura yang dijangkiti Covid-19 sebelum ini, tambahnya.
Raoul Suhaimi, Farhan Zulkifli dan Zamani Zamri telah disahkan positif Covid-19 pada Selasa lalu dan terlepas beraksi dalam kejohanan.
Skuad Singapura juga tanpa empat lagi pemain – pemain pertahanan Irfan Najeeb, pemain midfield Daniel Goh dan penyerang Zikos Chua dan Khairin Nadim – yang diuji positif minggu lalu dan tidak dapat berangkat bersama skuad Sabtu lalu.
Ini membawa jumlah keseluruhan kes Covid-19 dalam skuad Singa Muda kepada 9.
Pasukan Singapura juga ketiadaan pemain pertahanan Danish Irfan malam ini, yang cedera dalam perlawanan sebelumnya.
Lawan mereka turut dihimpit kes Covid-19 dalam pasukan.
Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) mengesahkan semalam bahawa empat pemainnya telah diuji positif bagi Covid-19.
Namun, tamparan itu kelihatan tidak menjejas teruk Vietnam.
Vietnam jelas menguasai perlawanan malam ini dan hanya memerlukan empat minit untuk membuka jaringan.
Nguyen Van Tung merembat bola masuk untuk menjaring gol pertama Vietnam dalam kempen ini.
Pesta gol itu diikuti dengan dua lagi gol dalam jarak empat minit menerusi Dinh Xuan Tien pada minit ke-33 dan jaringan kedua Van Tung pada minit ke-37.
Empat gol dalam babak kedua hasil sumbangan Dung Quang Nho, Nguyen Ngoc Thang, Nguyen Thanh Khoi dan Vu Tien Long menambah derita pasukan Singapura.
Kemenangan Vietnam itu meletakkan mereka di puncak Kumpulan C, sebelum perlawanan penentu menentang Thailand pada Selasa ini.
Hanya tiga juara kumpulan dan pasukan tempat kedua terbaik akan bersaing di peringkat separuh akhir pada 24 Februari.