LONDON: Kelab-kelab Liga Perdana England (EPL) melaporkan kerugian sebelum cukai terkumpul hampir £1 bilion ($1.87 bilion) bagi musim 2019-20 yang dilanda wabak koronavirus, menurut angka daripada syarikat kewangan Deloitte.
Penyokong tidak dibenarkan berada di dalam stadium bagi perlawanan EPL pada akhir kempen tersebut disebabkan Covid-19, namun hanya dibenarkan kembali, walau hanya dengan jumlah yang terhad menjelang akhir musim 2020-21.
Dengan jumlah penyokong di dalam stadium yang terbatas, digabungkan dengan rebat yang dibayar kepada penyiar televisyen, mengurangkan pendapatan sekitar 13 peratus.
Kerugian sebelum cukai terkumpul hampir £1 bilion juga merupakan yang terbesar dalam sejarah Liga Perdana dan hampir lima kali ganda daripada angka musim sebelumnya iaitu sekitar £200 juta.
Walaupun jumlah kerugian tersebut amat besar, 20 kelab yang bersaing dalam EPL masih mampu memperoleh keuntungan sebanyak £4.5 bilion secara keseluruhan.
"Kemerosotan pendapatan bagi musim 2019-20 tidak mengejutkan kerana gangguan ekonomi dan sosial seluruh dunia yang disebabkan oleh pandemik Covid-19 dan akan terus memberi kesan besar pada hasil kewangan musim 2020-21 apabila ia tersedia," kata Dan Jones daripada kumpulan perniagaan sukan Deloitte.
"Ketiadaan peminat, penangguhan perlawanan dan rebat kepada penyiar memberi kesan yang besar kepada pendapatan kelab yang dapat dihasilkan.
"Kesan kewangan sepenuhnya pada Liga Perdana disebabkan pandemik ini akan bergantung pada masa apabila peminat dibenarkan kembali ke stadium dalam jumlah yang besar dan kemampuan kelab mengekalkan dan mengembangkan hubungan komersial mereka, khususnya pada saat industri lain menderita.
"Operasi hari perlawanan merupakan tunggak model perniagaan kelab dan ketiadaan peminat akan dapat dilihat sepenuhnya dalam hasil kewangan tahun kewangan 2020-21.
"Setelah peminat dapat kembali sepenuhnya, mudah-mudahan sepanjang musim 2021-22, kelab-kelab Liga Perdana mempunyai potensi kembali kepada rekod pendapatan yang dicatat sebelum ini."
Pembaharuan perjanjian penyiaran liga akan menjadi antara penyumbang utama, tetapi, sementara itu, sebahagian pendapatan kelab yang diperuntukkan bagi gaji pemain melonjak kepada 72 peratus pada 2019-20.
"Dengan gaji sering menjadi kos terbesar bagi kelab bola sepak, kami akan memperhatikan dengan penuh teliti dalam tahun-tahun mendatang ini bagi memahami apakah kejutan kewangan ini akan dilihat sebagai penyebab perubahan dalam pendekatan dan kawalan yang lebih besar terhadap peruntukan gaji," kata Tim Bridge, Pengarah dalam Kumpulan Perniagaan Sukan, Deloitte. - AFP.