Kelayakan Piala Asia: Tiga mata penuh jadi keutamaan Sundram

SKUAD Singa sedia menhghadapi cabaran daripada Taiwan dalam mencapai matlamat mereka untuk melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2019 di Amiriah Arab Bersatu (UAE) buat julung-julung kalinya.

Kali terakhir pasukan negara beraksi dalam Piala Asia adalah pada 1984.

Ketika itu, Singapura layak untuk bertanding secara automatik selaku pasukan tuan rumah.

Namun perjuangan mereka berakhir di peringkat kumpulan, menduduki tangga keempat daripada lima pasukan dengan 3 mata.

Meskipun akan bermain tanpa tunggak serangan Khairul Amri kerana kecederaan, jurulatih negara, V Sundramoorthy, tetap akan memastikan mereka mengorak serangan bagi mengumpul tiga mata penuh di Stadium Jalan Besar malam esok.

Perlawanan pembukaan menentang Bahrain bulan lalu menjadi perangsang untuk skuad Singa terus mengorak langkah positif dalam pertandingan ini, dan Sundram ingin anak didiknya meneruskan persembahan cemerlang mereka itu.

Namun pada masa yang sama mengambil sikap waspada terhadap pasukan Taiwan.

"Oleh kerana kami bermain di tempat sendiri, pastinya kami mahu mendapatkan tiga mata penuh, tetapi kami perlu mengambil langkah berjaga-jaga setiap kali apabila kami ingin mengorak serangan," kata Sundram di sidang media yang diadakan hari ini.

Jurulatih Taiwan, Kazuo Kuroda, akur pasukan Singapura mempunyai kelebihan namun mereka tetap akan memberikan tentangan kepada Singa.

"Pasukan kami tidaklah sehebat Singapura. Bagaimanapun kami mahu belajar dari mereka melalui perlawanan ini. Kami akan mencuba untuk melakukan yang terbaik," ujar Kazuo.