SINGAPURA gagal mara ke Piala Asia Bawah 23 Tahun (U23) 2022 Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) selepas tumpas 5-1 kepada Korea Selatan di Stadium Jalan Besar Ahad ini (31 Oktober).
Hanya pemenang kumpulan dan empat pasukan naib juara terbaik daripada 11 kumpulan akan melayakkan diri ke kejohanan utama yang bakal diadakan di Uzbekistan Jun depan.
Kekalahan malam ini bermakna Singapura hanya mampu menduduki tangga kedua dalam Kumpulan H, mengumpul empat mata daripada tiga perlawanan dalam kempen kelayakan kali ini.
Korea Selatan selaku pemenang Kumpulan H berjaya melayakkan diri ke kejohanan utama.
Juara bertahan itu mencatat tiga kemenangan daripada tiga perlawanan, mengutip sembilan mata penuh.
Singapura perlu menang Korea Selatan malam ini untuk merebut peluang kelayakan.
Ketua jurulatih Singa Muda Nazri Nasir mengubah formasi permainan malam ini membariskan tiga bek tengah. Nazri juga membuat empat perubahan pada barisan pemainnya daripada pasukan yang menang 1-0 ke atas Filipina Khamis lalu.
Ryaan Sanizal, Nur Adam Abdullah, Rezza Ramadhani dan Shah Shahiran memulakan perlawanan di depan 993 penyokong yang hadir malam ini, menggantikan Danish Irfan, Zamani Zamri, Khairin Nadim dan Joel Chew.
Meskipun mengatur gaya permainan berbentuk lebih defensif, Korea Selatan memerlukan hanya tiga minit pertama untuk membolosi gawang Ridhwan Fikri.
Penyerang Kim Chan bertindak pantas dari jarak dekat untuk meledakkan gol pembukaan perlawanan.
Tiga minit kemudian, benteng pertahanan Singapura sekali lagi goyah ketika Cho Sangjun dengan mudah mengatasi lawan dan secara tenang menghasilkan jaringan kedua Korea Selatan.
Peluang Singa Muda untuk bangkit kembali dalam permainan menjadi semakin tipis apabila kapten Singapura Jacob Mahler menjaringkan gol sendiri pada minit ke-24.
Penyerang Park Jeongin menambah kesengsaraan Singapura, menjadikan kedudukan 4-0 lima minit sebelum waktu rehat.
Nazri memasukkan Farhan Zulkifli dan Chew - menggantikan Jordan Emaviwe dan Rezza - di permulaan babak kedua, bertujuan merangsang serangan Singa Muda.
Namun, gawang Ridhwan dibolosi buat kali kelima hasil jaringan Choi Jun pada minit ke-52.
Rembatan mantap ke sudut atas kanan gawang Pemain Muda Terbaik Liga Perdana Singapura 2021 Nur Adam Abdullah menghidupkan sorakan di laman sendiri dan memberikan Singa Muda gol saguhati lima minit kemudian.
Benteng Singapura kekal bertahan hingga ke wisel penamat, dengan Korea Selatan menang 5-1.
Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan H lewat petang ini, Timor Leste berjaya menewaskan Filipina 1-0 di Stadium Jalan Besar.
Timor Leste mengakhiri kempen kali ini di tempat ketiga dengan empat mata, manakala Filipina tercorot di tangga terendah tanpa sebarang mata selepas tiga perlawanan.