Subuh
5:29
Syuruk
6:52
Zuhur
12:55
Asar
4:18
Maghrib
6:55
Isyak
8:09
Halal Food Map
Turn on your location  and discover halal restaurants near you.
Sukan0

Keluarga pemenang piala dunia, Nobby Stiles, gesa lebih banyak sokongan bagi pesakit demensia

Nov 19, 2020 | 05:30 AM

LONDON: Keluarga pemenang Piala Dunia 1966 Nobby Stiles berkata bola sepak perlu 'menangani skandal' demensia dalam sukan itu.

Mereka juga mengkritik Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA) dan berkata persatuan itu tidak memberikan sokongan yang memadai kepada pemain.

Stiles, yang dikenali sebagai bekas pemain Manchester United dan bekas pemain midfield England meninggal dunia bulan lalu pada usia 78 tahun.

Beliau mengalami demensia dan barah prostat.

Stiles ialah anggota pasukan England 1966 yang kelima didapati mengalami demensia.

Menurut BBC, kajian lalu menunjukkan bekas pemain bola sepak menanggung risiko lebih tiga kali ganda meninggal dunia akibat demensia, berbanding pihak awam.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan keluarga Stiles untuk memberi penghargaan kepada pemain bola sepak itu dan mengiktiraf sumbangannya kepada bola sepak, keluarga itu turut berkata: "Ada keperluan untuk mengambil tindakan segera".

"Pemain bola sepak lebih berusia sepertinya telah dilupakan dan ramai yang bermasalah kesihatan, seperti bapa kami.

"Mengapakah pemain seperti beliau dibiarkan begitu sahaja, sedangkan persatuan mempunyai simpanan berpuluhan juta paun?

"Mengapakah pemain seperti beliau bergelut untuk menyara hidup meskipun Liga Perdana England menerima £3 bilion ($5.3 bilion) setahun? Pemain moden tidak akan memerlukan bantuan seperti pemain yang lebih tua ini. Patutkah, wira negara dari 1966 perlu menjual pingat mereka untuk menyara hidup keluarga?

"Seperti bapa saya, ramai pemain lebih tua seperti ini diambang maut... ramai yang tidak mempunyai pingat untuk dijual.

"Sesungguhnya, punca demensia yang dihadapi mereka perlu dikenal pasti, tetapi hakikatnya, sebab demensia kurang relevan kerana mereka tetap memerlukan bantuan.

"Saya berharap kematian bapa kami akan menjadi pemangkin supaya skandal ini ditangani."

Stiles menyarung jersi United sebanyak 397 kali antara 1960 dengan 1971, sebelum berpindah ke Middlesbrough dan Preston North End.

Beliau 28 kali mewakili England dan adalah pemain ketujuh dari pasukan England yang memulakan final Piala Dunia 1966 dengan Jerman Barat untuk meninggal dunia, selepas kapten Bobby Moore, Alan Ball, Ray Wilson, Gordon Banks, Martin Peters dan Jack Charlton.

Stiles mengalami angin ahmar pada 2010 dan selepas itu didapati mengalami penyakit Alzheimer's dan barah prostat.

Dalam satu dokumentari BBC pada 2017, anak Stiles, Jone memberitahu bekas kapten England Alan Shearer beliau yakin menanduk bola menyebabkan bapanya mengalami demensia.

Dalam kenyataannya, Persatuan Bola Sepak (FA) England berkata:

"Kami terus bekerjasama rapat dengan Persatuan Alzheimer's dan dengan badan pentadbiran sukan lain dan kami senang hati mengambil bahagian dalam kempen Sukan Bersatu Menentang Demensia yang bertujuan meningkatkan kesedaran dan meraih sokongan bagi usaha tersebut.

"Kerjasama antara badan-badan pentadbiran bola sepak adalah paling penting untuk memahami isu penting ini dengan lebih baik secara bersama dan kami yakin semua pihak berkepentingan dalam bola sepak perlu bersatu bagi menjayakan usaha ini." - Agensi Berita

Video Baru

Podcast Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian