Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

PREVIU SWEDEN LAWAN ENGLAND

Kemenangan mudah bagi England? Belum pasti lagi...

Pasukan pimpinan Southgate juga perlu atasi rekod buruk pertemuan lalu dengan Sweden
Jul 07, 2018 | 05:30 AM



REPINO (Russia): Didorong skuad muda yang berbakat serta tuah undian yang memihaknya - menentang Sweden di pusingan suku akhir Piala Dunia mulai 10 malam ini (waktu Singapura) - penyokong England kian dijulang keyakinan melihat pasukan mereka mengakhiri penantian selama 52 tahun untuk menjulang mahkota terbesar bola sepak ini.



Namun, pasukan lawannya dari Scandinavia itu mempunyai rekod yang baik mencatatkan kejutan - terutama ke atas England selepas hanya kalah sekali dalam lapan pertemuan lalu.



Keyakinan di khemah pasukan England semakin menjulang selepas pasukan pimpinan Gareth Southgate mengakhiri 'badi' kekalahan sepakan penalti yang lama menghantui 'The Three Lions' semasa menyingkirkan Colombia di pusingan 16 pasukan terakhir di Moscow pada Rabu lalu.



"Kami berharap dapat membawa (trofi Piala Dunia) pulang," akur tunggak pertahanan England, John Stones, di sidang akhbar kelmarin.



"Sudah agak lama sejak kali terakhir kami memenanginya... kami mahu membanggakan warga di tanah air."



England, juara dunia semasa menjadi tuan rumah kejohanan ini pada 1966, sudah pun berjaya menambat hati penyokong yang menanggung kekecewaan menyaksikan pasukan itu terkeluar di peringkat kumpulan di Piala Dunia Brazil empat tahun lalu.



Mereka turut dimalukan Iceland di Euro 2016.



Namun, perlawanan-perlawanan England sejauh ini telah pun mengatasi angka penonton yang menyaksikan majlis perkahwinan gah diraja pada Mei lalu dengan 23.6 juta terpaku di hadapan televisyen masing-masing untuk menyaksikan pasukan mereka menewaskan Colombia.



"Hebat sekali untuk mendapat sokongan daripada warga yang berada di England... mereka yang menyokong kami kian berganda," tambah bintang Manchester City itu lagi.



Dengan hanya rehat empat hari sebelum menghadapi Sweden di Arena Cosmos, Samara, Southgate dan anak didiknya perlu segera mengembalikan tahap kecergasan.



Dan sekalipun ada di kalangan penyokong sudah pun membuat perancangan bagi pertemuan separuh akhir bagi menentang sama ada pasukan hos Russia atau Croatia, Stones memberi amaran padah yang menanti jika mereka memperkecilkan keupayaan Sweden.



"Saya fikir jika anda mengatakan ia satu perlawanan yang mudah di suku akhir Piala Dunia, ia sesuatu yang bodoh.



"Pasukan-pasukan seperti ini boleh mengejutkan anda... mereka mungkin kurang mendapat tumpuan tetapi tidak syak lagi mereka sebuah pasukan yang baik.



"Mereka tidak akan berada di tahap ini jika mereka tidak memiliki kualiti," tegas Stones.



Hakikatnya, Sweden melalui perjalanan yang lebih mencabar untuk sampai ke pusingan lapan pasukan terakhir di Russia ini.



Di pusingan kelayakan, pasukan pimpinan Janne Andersson itu mengejutkan dua gergasi Eropah - Belanda dan Italy sebelum memenangi Kumpulan F yang menyaksikan juara bertahan Jerman tersingkir awal.



Sekalipun skuadnya tiada nama-nama besar selepas pengunduran Zlatan Ibrahimovic, Andersson telah memupuk semangat juang berpasukan yang tinggi - di samping benteng pertahanan yang kukuh, sabar mendapat bola dan menghukum pasukan lawan melalui serangan balasnya yang pantas.



Sweden kekal sebagai antara pasukan kerdil di pusingan kalah mati Piala Dunia ini tetapi kapten pasukan Andreas Granqvist akui kedudukan itu mungkin sesuatu yang boleh dimanfaatkan pasukannya.



"Ada orang mengatakan mengenai kemungkinan 99 daripada 100 kali England akan menewaskan kami.



"Mungkin ia sesuatu yang menyeronokkan bagi England untuk memiliki keyakinan seperti itu... kita lihat nanti apa yang akan terjadi di padang permainan," ujar Granqvist. - AFP, Reuters.




"Saya fikir jika anda mengatakan ia satu perlawanan yang mudah di suku akhir Piala Dunia, ia sesuatu yang bodoh... Pasukan-pasukan seperti ini boleh mengejutkan anda... mereka mungkin kurang mendapat tumpuan tetapi tidak syak lagi mereka sebuah pasukan yang baik... Mereka tidak akan berada di tahap ini jika mereka tidak memiliki kualiti."
- John Stones, tunggak pertahanan England.




JADUAL



SUKU AKHIR 3:



Sweden lwn England,

Singtel TV Sal 141 & StarHub TV Sal 222, 10 malam ini



SUKU AKHIR 4:



Russia lwn Croatia

Singtel TV Sal 141 & StarHub TV Sal 222, 2 pagi esok




Laporan lain: Previu Russia lawan Croatia




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >