Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Kepulangan Ronaldo beri tekanan pada Solskjaer?

Sep 05, 2021 | 05:30 AM



LONDON: Pada usia 36 tahun, ramai pemain bola sepak profesional selalunya pilih untuk bersara atau berpindah ke kelab di divisyen lebih rendah atau setakat turun padang secara riadah.



Namun tidak begitu halnya bagi Cristiano Ronaldo.



Beliau masih handal dan...mengambil keputusan pulang ke pangkuan Theater of Dreams di Old Trafford memburu impian baru.



Dulu di sana, di bawah bimbingan Sir Alex Ferguson, Ronaldo mendewasa sebagai pemain bola sepak dan menjadi lebih matang, sehinggalah beliau menjadi pemain bintang yang berpindah ke Real Madrid.



Ramai penyokong United mungkin masih ingat lagi Ronaldo yang berusia belasan tahun yang dibawa Ferguson ke Old Trafford.



Kurus melidi, beliau mampu menggelecek lawan dengan mudah, dan hanya boleh diadang dengan cara mengasarinya - sesuatu yang banyak berlaku pada ketika itu.



Namun Ferguson berjaya 'mengekang' kecenderungan Ronaldo menggelecek bola serata padang dan arahkannya hanya berbuat demikian apabila perlu dan untuk menembusi benteng lawan pada saat yang sesuai.



Ronaldo pula, selepas dikasari bertubi-tubi oleh pemain pertahanan di England, berusaha lebih gigih di gimnasium, sehingga tubuhnya menjadi lebih sasa, dan apabila memecut beliau mudah menewaskan sebarang pemain.



Dengan kehebatannya, tidak mengejutkan, Old Trafford memberinya kenangan yang paling manis dalam kerjanya.



Masanya di sana juga ditaburi kejayaan.



Ronaldo telah memenangi Liga Juara-Juara, tiga Liga Perdana England, Piala FA dan dua Piala Liga selama enam tahun menyarung jersi di United dari 2003 hingga 2009, sebelum dijual kepada Real pada harga £80 juta ($170 juta).



KESAN BAGI SOLSKJAER



Kehadiran semula Ronaldo di Old Trafford akan riangkan ramai di sana, tetapi antara yang paling gembira adalah pengurusnya Ole Gunnar Solskjaer, yang juga bekas rakan sepasukan Ronaldo.



Reputasi Ronaldo yang hebat bermakna kehadiran beliau akan memberikan kesan psikologi kepada United.



Semasa Ronaldo diumumkan sebagai pemain United pada akhir Ogos, beberapa pemain United, termasuk Marcus Rashford dan Bruno Fernandes - yang juga rakan sepasukan Ronaldo dengan Portugal - menulis di media sosial bahawa mereka berasa begitu gembira dan tidak sabar menunggu peluang berlatih dengan pemain sehebat Ronaldo yang juga disanjung mereka.



Namun, pada masa yang sama, Solskjaer juga perlu berjaga-jaga.



Kehadiran Ronaldo memang dijangka membantu United mendaki tangga Liga Perdana England (EPL) dan melangkah lebih jauh di Eropah.



Namun, ia juga akan mendedahkan Solskjaer kepada kritikan dan mengancam kerjayanya sebagai pengurus di Old Trafford, jika Ronaldo gagal memenuhi jangkaan dan United menunjukkan prestasi hambar.



Sejak menyertai United sebagai pengurus sekitar tiga tahun, Solskjaer telah membelanjakan £441 juta membeli pemain yang diingininya. Ini termasuk £126 juta yang dibelanja sebelum musim ini bermula membeli Jadon Sancho, Raphael Varane dan Ronaldo.



Sejauh ini, pencapaian Solskjaer dalam pasaran pemain boleh mengundang reaksi yang berbelah bagi.



Meskipun kehadiran pemain seperti Edinson Cavani (percuma) telah mempertajam serangan, Alex Telles (£13 juta) yang menjadikan Luke Shaw antara pemain bek kiri yang terbaik di dunia; dan wang £56 juta yang dibelanjakan untuk Fernandes kini boleh dilihat sebagai langkah bijak, Solskjaer juga telah membeli beberapa pemain yang buat masa ini, belum menyakinkan peminat dan mungkin Solskjaer sendiri, akan kesan positif kepada United.



Ini termasuk pelaburan £75 juta mendapatkan bekas kapten Leicester City Harry Maguire. Meskipun Maguire telah menunjukkan beliau pemain 'kelas' yang selesa membawa bola keluar dari bahagian pertahanan dan tidak hanya merembat bola keluar, beliau perlu menunjukkan keupayaan ini secara lebih kerap dan konsisten.



Tanda tanya juga masih ditujukan kepada pemain seperti Aaron Wan-Bissaka (£50 juta), Donny van de Beek (£36 juta) dan bintang belia Amad (£19 juta) serta Daniel James (£15 juta) meskipun James kini telah dijual dengan harga hampir seganda kepada Leeds United.



Kehadiran Ronaldo di United juga dianggap oleh ramai pemerhati sebagai pengesahan bagi ukur tara lebih tinggi yang kini dituntut ke atas Solskjaer.



Beliau kini sudah tidak punya masa dan terlalu banyak berbelanja sebagai pengurus baru yang sedang diberi ruang untuk membina pasukan tersendiri.



Solskjaer kini telah membelanjakan cukup wang untuk membentuk pasukan yang handal dan ini seolah-olah mendedahkan beliau kepada sasaran kecaman jika gagal.



MATLAMAT RONALDO DI OLD TRAFFORD



Bagi Ronaldo pula, tempoh kedua di United yang tidak dijangka ini juga adalah peluang beliau untuk melabuh tirai kerjaya di tempat di mana beliau mula-mula mengukir namanya dalam sejarah bola sepak dunia.



Pada usia 36 tahun dan sarat dengan trofi kejuaraan di peringkat kelab, nasioal dan peribadi, beliau tidak perlu membuktikan apa-apa kepada sesiapa.



Namun Ronaldo tidak akan sekadar berpuas hati dengan status pemain di ambang persaraan di United.



Sebagaimana pemain mapan lain yang pernah menyarung jersi United di masa senja kerjaya masing-masing, seperti Zlatan Ibrahimovic, dan Henrik Larsson, Ronaldo menaruh harapan dapat membantu persaingan United di puncak liga dan bola sepak Eropah.



Dan sebagaimana yang ditunjukkannya semasa menjaringkan dua gol dalam masa kecederaan untuk membantu Portugal merampas kemenangan dari tangan Ireland dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia minggu lalu, beliau masih 'dahaga' untuk menang dan tekadnya untuk berjaya belum lagi pudar. - Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >