Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

TENIS TERBUKA AUSTRALIA: JUARA BERTAHAN DJOKOVIC TIDAK DIBENAR MASUK KE AUSTRALIA PERTAHAN PIALA

Ketiadaan Djokovic jejas ‘sinar’ Terbuka Australia?

Jan 10, 2022 | 05:30 AM



MELBOURNE: Para pemain tenis profesional telah menyatakan mereka tidak akan menolak bersaing dengan lawan yang diberikan pengecualian perubatan daripada divaksinasi vaksin Covid-19.



Namun, jaminan yang diberikan mereka itu nampaknya tidak diperlukan.



Ini setelah Australia membatalkan visa masuk Novak Djokovic - yang dijadual bersaing dalam pertandingan berprestij Terbuka Australia - sekali gus memberi tamparan hebat kepada pemain tenis nombor satu dunia itu.



Bintang tenis Serbia itu sudah tiba di Melbourne petang Selasa lalu selepas memberitahu di media sosial bahawa beliau telah mendapat pengecualian perubatan untuk beraksi di Kejohanan Terbuka Australia tanpa bukti sudah sepenuhnya mengambil vaksin Covid-19.



Pengecualian yang diberikan oleh penganjur Terbuka Australia selepas permohonannya dipertimbangkan dua panel perubatan itu mencetuskan kemarahan di kalangan rakyat Australia yang melalui sekatan pergerakan selama dua tahun akibat Covid-19.



Keputusan awal memberikan pengecualian perubatan tanpa divaksinasi kepada pemain nombor satu dunia Novak Djokovic untuk bersaing di Terbuka Australia telah mencetuskan kemarahan dalam kalangan penduduk Australia, dengan peminat sukan negara itu mengancam memboikot kejohanan tersebut.



Vaksinasi diwajibkan di kejohanan Australia pada musim panas ini, termasuk Grand Slam pertama 2022, Terbuka Australia, Isnin depan di Melbourne Park.



Vaksinasi Covid-19 sebelumnya hanya wajib bagi kakitangan dan penonton di kejohanan lain. Terbuka Australia adalah kali pertama pemain harus mematuhi peraturan itu.



Ketua eksekutif Tenis Australia Craig Tiley berkata segelintir pemain yang tidak divaksinasi telah diberikan pengecualian.



Rabu lalu, beliau mendedahkan 26 pemain atau kakitangan sokongan mereka seramai 3,000 orang atau lebih yang menuju ke Australia telah memohon pengecualian dan hanya sebahagian kecil yang berjaya.



PEMAIN TIADA MASALAH



Ramai pemain menyokong peranan pakar perubatan profesional dan protokol yang ditetapkan untuk menilai dengan betul isu kesihatan yang boleh mewajarkan pengecualian.



Grigor Dimitrov, warga Bulgaria yang berjaya ke separuh akhir di tiga kejohanan utama, berkata: “Saya bukan doktor tapi saya pasti ada sebab mengapa seseorang akan memerlukan pengecualian. Jika ia sah mereka perlu pengecualian...jika ia hingga ke tahap itu, sudah tentu.”



Pemain veteran Australia Sam Stosur berkata ia bukan tugas pemain untuk menentang peraturan pengecualian perubatan.



“Saya fikir sekiranya mereka diberikan pengecualian perubatan, maka ia kerana mereka memerlukan pengecualian perubatan, jadi saya fikir anda perlu berbuat demikian. Tetapi, ya, mudah-mudahan ia atas sebab yang betul,” kata penduduk Queensland itu.



“Saya fikir pertama sekali Australia, terutamanya di Victoria, ia merupakan tempoh dua tahun lalu yang mencabar (membendung Covid-19). Jadi, saya fikir untuk peraturan diubah dengan cara lain untuk pemain tenis, ia bukan perkara yang tepat.



“Selagi ia untuk sebab yang betul dan ia untuk pengecualian perubatan yang sebenar, maka saya tidak fikir anda boleh benar-benar menentangnya.”



Pemain nombor satu dunia dari Australia, Ashleigh Barty, menyokong proses yang ditetapkan.



“Ia sesuatu yang rumit sebab ia bukan keputusan saya. Kita meletakkan kepercayaan pada mereka yang membuat keputusan. Mereka mempunyai maklumat yang tepat. Itu hakikatnya. Itu sahaja. Tiada apa-apa lagi,” kata Barty.



“Itulah perkara terakhir yang saya mahu fikirkan apabila saya berada di gelanggang, iaitu sejarah perubatan pemain lawan saya.”



Pemain Perancis Gael Monfils juga berkata beliau tiada masalah bermain dengan lawan yang memiliki pengecualian perubatan.



PEMINAT BOIKOT



Djokovic pada lewat Selasa lalu, dalam satu posnya di Instagram, mengumumkan beliau dalam perjalanan ke Melbourne dengan “keizinan pengecualian”.



Berita itu mengakhiri saga yang berlarutan mengenai sama ada Djokovic akan mempertahankan gelarannya di Melbourne Park namun ia juga menimbulkan kemarahan daripada penduduk Australia.



Juara Terbuka Australia sembilan kali itu telah berkali-kali enggan mengesahkan sama ada beliau telah mendapatkan suntikan vaksin dan sebelum ini menyuarakan tentangan terhadap vaksin koronavirus.



Melbourne dikenakan tempoh sekatan pergerakan keseluruhan yang paling lama di dunia demi membendung virus, dan wabak varian Omicron telah menyaksikan jumlah kes mencapai tahap rekod.



Lebih 90 peratus penduduk Australia berusia 16 tahun ke atas telah menerima dua dos vaksin Covid-19.



Tiley menegaskan keputusan pengecualian Djokovic adalah di luar kawalan lembaga dan mempertahankan integriti proses memberi pengecualian, yang dikendalikan oleh pemerintah kebangsaan dan negeri Victoria, yang menyemak permohonan pemain.



Beliau menambah “tiada bantuan istimewa” diberikan kepada Djokovic untuk bersaing di Terbuka Australia.



Bagaimanapun, sebilangan peminat sukan telah menyuarakan kemarahan mereka terhadap keputusan itu di media sosial.



Seorang peminat bernama Joan Evatt berkata: “Buat pertama kali dalam beberapa dekad saya tidak akan menonton tenis. Novak Djokovic tidak sepatutnya diberi pengecualian.



“Saya benci ada peraturan untuk kita dan ada peraturan lain untuk segelintir individu yang disukai ramai.”



Sementara itu, seorang lagi peminat yang dikenali sebagai Noah, berpendapat: “Rakyat Australia yang sudah divaksin tidak dibenarkan merentasi sempadan negeri untuk melihat orang tersayang mereka yang meninggal dunia tetapi Novak Djokovic (mungkin tidak divaksin) dibenarkan datang ke sini dari luar negara untuk memukul bola tenis. Tidak masuk akal.” – Agensi berita




SETUJU DIIZIN BERTANDING



“Saya fikir sekiranya mereka diberikan pengecualian perubatan, maka ia kerana mereka memerlukan pengecualian perubatan, jadi saya fikir anda perlu berbuat demikian. Tetapi, ya, saya harap ia atas sebab yang betul.”
– Sam Stosur, pemain veteran Australia.



“Saya bukan doktor tapi saya pasti ada sebab mengapa seseorang akan memerlukan pengecualian. Jika ia sah mereka perlu pengecualian...jika ia hingga ke tahap itu, sudah tentu.”
– Grigor Dimitrov, pemain Bulgaria.




BANTAH DIIZIN BERTANDING



“Buat pertama kali dalam beberapa dekad saya tidak akan menonton tenis. Novak Djokovic tidak sepatutnya diberi pengecualian.

Saya benci ada peraturan untuk kita dan ada peraturan lain untuk segelintir individu yang disukai ramai.”

– Joan Evatt, peminat sukan.



“Rakyat Australia yang sudah divaksin tidak dibenarkan merentasi sempadan negeri untuk melihat orang tersayang mereka yang meninggal dunia tetapi Novak Djokovic (mungkin tidak divaksin) dibenarkan datang ke sini dari luar negara untuk memukul bola tenis. Tidak masuk akal.”
– Noah, peminat sukan.




JAGUH PILIHAN LELAKI



Adakah Novak Djokovic bakal bertanding? 

34 tahun, Ranking dunia: 1



WARGA Serbia ini dijangka mempertahankan kejuaraannya di Terbuka Australia selepas diberikan pengecualian perubatan untuk bermain dalam kejohanan ini.



Djokovic telah menang rekod sembilan kejuaraan Terbuka Australia dan dinobat juara kejohanan itu untuk tiga tahun berturut-turut sejak 2019.



Pada musim lalu, warga Serbia itu hampir menyapu semua gelaran Grand Slam, sebelum tewas di final Terbuka Amerika Syarikat.



Daniil Medvedev

25 tahun, Ranking dunia: 2



MEDVEDEV tewas kepada Djokovic di final Terbuka Australia tahun lalu dan akan sasar menebus kekalahan itu dalam edisi kali ini.



Sasaran tersebut namun tidak mustahil selepas warga Rusia itu menumpaskan Djokovic dalam final Terbuka Amerika Syarikat September lalu, untuk merangkul gelaran Grand Slam pertamanya.



Rafael Nadal

35 tahun, Ranking dunia: 6



NADAL kembali dalam gelanggang kejohanan di acara Melbourne Summer Set minggu lalu selepas musim 2021 yang dihimpit kecederaan. Beliau kali terakhir bertanding di Terbuka Washington Ogos lalu.



Warga Sepanyol itu bagaimanapun muncul bermain dalam dua perlawanan pameran di Abu Dhabi sebelum Hari Natal sebelum diuji positif Covid-19 dan kini sudah pulih.



Dalam 20 kejuaraan Grand Slam beliau, Nadal menjuarai Terbuka Australia sekali pada 2009.




JAGUH PILIHAN WANITA



Ashleigh Barty

25 tahun, Ranking dunia: 1



BARTY, Pemain Terbaik Persatuan Tenis Wanita (WTA) 2021, adalah pemain pilihan ramai untuk menjuarai Terbuka Australia.



Warga Australia itu telah menghuni ranking nombor satu dunia untuk 102 minggu berturut-turut, dan akan bertekad merangkul gelaran sulungnya di Terbuka Australia.



Namun, selepas terkandas di pusingan ketiga Terbuka Amerika Syarikat September lalu, Barty tidak bertanding dan pulang ke Australia akibat pandemik. Minggu lalu, beliau kembali beraksi di acara Adelaide International.



Naomi Osaka

24 tahun, Ranking dunia: 13



OSAKA kembali bersaing untuk mempertahankan kejuaraannya di Terbuka Australia selepas empat bulan berehat daripada tenis.



Warga Jepun itu beberapa kali berehat daripada bertanding tahun lalu, demi melindungi kesihatan mentalnya.



Minggu lalu, juara empat Grand Slam itu membuat kemunculan kembali dalam kejohanan di acara Melbourne Summer Set.



Emma Raducanu

19 tahun, Ranking dunia: 19



RADUCANU mengejutkan dunia tenis pada September lalu apabila pada usia 18 tahun, beliau menjadi pemain kelayakan pertama - lelaki atau wanita - untuk menjuarai Grand Slam, dengan memenangi 10 perlawanan berturut-turut dalam perjalanan untuk menjulang gelaran Terbuka Amerika Syarikat.



Warga Britain itu juga menamatkan musim 2021 dengan kedudukan tertinggi dalam kerjayanya, iaitu pemain nombor 19, setelah memulakan kempen di luar kelompok 300 pemain terbaik dunia.



Bulan lalu, Raducanu diuji positif bagi Covid-19 dan terpaksa menarik diri daripada acara pameran Kejohan Tenis Sedunia Mubadala di Abu Dhabi namun kini beliau sudah pulih.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >