PEMAIN bertaraf bintang yang lebih dikenali seperti Wilfred Zaha, Cheikhou Kouyate dan Christian Benteke mungkin tidak bersama pasukan Crystal Palace yang kini berada di Singapura, tetapi kelab Liga Perdana England (EPL) itu tetap mendapat sambutan hebat semasa melawat ke Sekolah Assumption English semalam.
Pemain-pemain seperti penjaga gawang England, Jack Butland (gambar) dan pemain sayap muda Jesurun Rak-Sakyi tetap dikerumuni pelajar sekolah itu.
Palace berada di Singapura sejak kelmarin untuk menghadiri beberapa bengkel bola sepak dan juga beraksi menentang Liverpool dalam Piala Singapura Standard Chartered 2022 di Stadium Negara esok.
Liverpool tiba semalam dari Bangkok, di mana mereka telah mengadakan perlawanan dengan Manchester United.
Ini adalah sebahagian kegiatan pramusim sebelum EPL bermula bulan depan.
Pengurus, Patrick Vieira telah membawa pasukan 26 pemain ke Singapura, yang turut memuatkan bekas pemain Liverpool, Nathaniel Clyne, dan pemain baru, Malcolm Ebiowei.
Selain Zaha, Benteke dan Kouyate, pemain-pemain seperti pemain pertahanan, Marc Guehi; pemain midfield, Eberechi Eze, Will Hughes, Jeffrey Schlupp, James McArthur, serta pemain barisan depan, Michael Olise, juga tidak bersama pasukan.
Dua pemain baru, Sam Johnstone dan Cheick Doucoure juga tiada.
Kelmarin, sekitar 20 penyokong kelab itu menanti kehadiran pemain kesayangan mereka itu dengan sabar di Hotel JW Marriott - tempat penginapan pasukan semasa di sini.
Selepas perlawanan persahabatan dengan Liverpool ini, Palace dijadual bertemu United dan Leeds di Autralia.
Menyusuli itu, pasukan itu akan beraksi dalam satu lagi perlawanan persahabatan, dengan Montpellier, sebelum membuka tirai musim EPL baru dalam pertemuan dengan Arsenal di Selhurst Park. - Foto BH oleh EUGENE GOH