Loh Kean Yew catat kejayaan mengejut tewaskan Lin Dan dalam final Masters Thailand, Berita Sukan - BeritaHarian.sg
Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:08
Isyak
8:19

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Perkataan Melayu

Betul!

Salah!

Sukan0

BADMINTON

Loh Kean Yew catat kejayaan mengejut tewaskan Lin Dan dalam final Masters Thailand

Jan 15, 2019 | 05:30 AM

BELIAU diberi julukan 'Chinese Slayer' selepas menewaskan empat pemain badminton dari China dalam perjuangannya bak kisah dongeng dari peringkat kelayakan perseorangan lelaki hingga ke final pertandingan Masters Princess Sirivannavari Thailand di Bangkok minggu lalu.

Kelmarin, pemain badminton Singapura, Loh Kean Yew, menewaskan pencabarnya yang juga pemain nombor 13 dunia, Lin Dan, 21-19, 21-18 dalam persaingan yang berlangsung selama 46 minit, lapor The Straits Times.

Pemain badminton berusia 21 tahun yang menduduki tangga ke-125 dalam ranking dunia, menunjukkan persembahan hebat dengan semangat juang tinggi untuk menundukkan juara Olimpik sebanyak dua kali dan juara dunia lima kali itu.

Loh meraih dua mata pertama dalam set pertama tetapi Lin kembali menunjukkan pengalamannya dengan memastikan beliau menguasai perlawanan itu 19-14.

Namun, Loh yang tidak mudah menyerah kalah, menunjukkan kesabaran dan keinginan yang mengagumkan untuk memenangi set pertama.

Discover Malay Home Based Businesses

Set kedua bermula dengan rentak yang serupa, dengan Loh mendahului mata hanya untuk Lin kembali menguasai set kedua dengan jurang 13-6.

Meskipun ketinggalan, Loh sekali lagi terus beraksi dengan cemerlang sebelum akhirnya menewaskan pesaingnya yang berusia 35 tahun itu, sekali gus membolot hadiah wang tunia sebanyak AS$11,250 ($15,000).

Ini merupakan kali pertama Loh melangkah ke pusingan akhir pertandingan tahap Super 500 Jelajah Dunia Persekutuan Dunia Badminton (BWF) dan memenanginya.

Sebelum itu, Loh berjaya menewaskan empat pemain badminton China, Sun Feixiang, Liu Haichao, Zhou Zeqi dan Zhao Junpeng dalam pusingan awal.

Pada perlawanan suku akhir, beliau menewaskan pemain nombor 29 dunia, Wang Tzu-wei dari Taiwan, sebelum menjinakkan pemain nombor 30 dari Perancis, Brice Leverdez, dalam pusingan separuh akhir.

Selepas kemenangannya itu, Loh berkata:

"Ia adalah satu peluang yang hebat untuk beraksi menentangnnya (Lin) dan saya berasa lebih gembira (dengan kemenangan ini).

"Beliau sangat berpengalaman dan ia tidak mudah untuk mengekalkan rasa sabar apabila menentangnya.

"Saya cuba menggunakan usia belia saya sebagai kelebihan, untuk mencuba mengalahkannya, tapi sudah tentu, saya juga berasa sangat letih selepas itu."

Kemenangannya itu juga mendapat pujian daripada pelbagai pihak.

Dalam satu pos Facebooknya yang dimuatnaik semalam, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Cik Grace Fu, menyifatkan kemenangan Loh sebagai "pencapaian hebat" dan dapat "memberi inspirasi".

"Tahniah kepada pemain badminton TeamSG, Loh Kean Yew, atas kemenangan pertama kami dalam pertandingan Jelajah Dunia Persekutuan Dunia Badminton.

"Pada perlawanan akhir hari ini, beliau berjuang untuk setiap mata sehingga berjaya menewaskan juara Olimpik dua kali, Lin Dan.

"Kean Yew - satu pencapaian hebat dan terima kasih kerana memberi inspirasi kepada kami semua untuk terus mempunyai impian besar!" kata Cik Fu.

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Perkataan Melayu

Betul!

Salah!

Try the new Halal Food Map