BRIGHTON: Pemenang Piala Dunia Alexis Mac Allister berkata beliau sangat gembira di Brighton & Hove Albion dan tidak tergesa-gesa untuk meninggalkan kelabnya.
Profil pemain tengah itu telah meningkat sejak menjadi pemain utama untuk Argentina semasa kempen Piala Dunia mereka, menimbulkan spekulasi mengenai masa depannya.
Mac Allister menerima tepukan gemuruh daripada rakan sepasukan dan kakitangan pada Isnin lalu apabila beliau kembali ke Brighton.
"Saya tidak sangka untuk menerima sambutan sebegini ketika saya pulang.
"Saya sangat berterima kasih kepada semua orang yang berada di sana," kata Mac Allister mengenai sambutannya di Brighton.
Mac Allister menyertai Brighton pada Januari 2019 pada bayaran £7 juta pada 2019 daripada Argentinos Juniors sebelum dipinjamkan kepada Boca Juniors selepas mewakili Argentina buat kali pertama pada September 2019.
Beliau bermain bagi Brighton buat kali pertama pada Mac 2020 menentang Wolves.
Kontrak Mac Allister dengan Brighton berakhir pada Jun 2025, dengan kelab itu ada pilihan melanjutkannya setahun.
Pemain berusia 24 tahun itu memberitahu BBC Radio Sussex bahawa beliau berasa sangat baik dengan Brighton, rakan sepasukannya, dan semua orang yang bekerja di kelab itu.
"Saya selalu berkata saya sangat gembira di Brighton dan saya tidak tergesa-gesa untuk pergi. Saya fokus pada perlawanan seterusnya bersama kelab ini," tambahnya.
Kepulangan Mac Allister dari Qatar ditangguhkan kerana beliau terbang pulang ke tanah airnya untuk meraikan kemenangan ketiga Argentina dalam Piala Dunia.
"Ia menakjubkan. Orang-orang di Argentina sangat heboh dan kami menikmati suasana riah itu bersama mereka.
"Ia sangat menggembirakan kerana terdapat lima juta orang di jalan raya yang meraikan kejayaan kami sehingga kami tidak dapat pergi ke tempat yang kami mahukan.
"Tetapi ia adalah hari yang sangat istimewa.
"Saya tidak dapat huraikan dengan kata-kata apa yang saya rasakan. Saya hanya boleh memberitahu bahawa saya menangis sedikit.
"Saya masuk ke dalam bas kerana saya tidak mahu mereka tahu atau melihat saya menangis.
"Saya menjadi emosi kerana ia adalah saat yang istimewa untuk saya," kata Mac Allister.
Mac Allister, yang memain peranan mencipta gol kedua Argentina di perlawanan final, tampil enam kali untuk negaranya di Qatar.
Beliau juga dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan final oleh BBC berdasarkan undian peminat. - Agensi berita.
"Saya selalu berkata saya sangat gembira di Brighton dan saya tidak tergesa-gesa untuk pergi. Saya fokus pada perlawanan seterusnya bersama kelab ini."
- Pemain tengah Brighton & Hove Albion, Alexis Mac Allister.