Mahu lihat silat dipertandingkan dalam Sukan Olimpik, Berita Sukan - BeritaHarian.sg
Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Bahasa Melayu

Betul!

Salah!

Sukan0

Mahu lihat silat dipertandingkan dalam Sukan Olimpik

Sheik Alau'ddin juga impikan Singapura sebagai hab silat dengan adanya kemudahan dan penganjuran acara, pertandingan antarabangsa
May 26, 2019 | 05:30 AM

DALAM mengatasi cabaran dunia baru, Persatuan Silat Singapura (Persisi) mahu berkembang sejajar dengan peredaran masa.

Menekankan impiannya buat sukan pencak silat setempat, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persisi, Sheik Alau'ddin Yacoob Marican, ingin melihat silat menjadi sukan yang bukan sekadar dikenali sebagai seni mempertahankan diri tradisional, malah sukan yang menyeluruh.

Arena sukan pencak silat setempat telah menyaksikan pasang surutnya, dan baru-baru ini ia semakin mendapat perhatian di dalam dan luar gelanggang.

Di dalam gelanggang, usaha badan silat negara selama beberapa tahun ini telah mencatatkan peningkatan pesat selepas berjaya melahirkan juara dunia termasuk dalam kalangan pesilat muda sewaktu Kejohanan Pencak Silat Sedunia ke-18 tahun lalu.

Pencapaian pesilat negara di dalam dan luar negara malah diiktiraf oleh fraterniti sukan tempatan pada Majlis Anugerah Sukan Singapura 15 Mei lalu.

Discover Malay Home Based Businesses

Namun, Sheik Alau'ddin menegaskan bahawa "usaha mereka masih berterusan" bagi meletakkan silat pada tahap yang lebih tinggi.

"Bagi saya, segala yang dilakukan adalah supaya kami dapat melakarkan peristiwa penting dalam sejarah pencak silat.

"Memenangi anugerah-anugerah ini adalah perkara yang baik buat Persisi. Bagaimanapun, menyediakan ruang perubahan dan mewujudkan peluang berkembang adalah sesuatu yang sering dalam difikirkan," kata Sheik Alau'ddin, 52 tahun, kepada Berita Harian (BH) semasa ditemui di Hab Sukan Singapura baru-baru ini.

Menurutnya lagi, memandangkan silat turut mendapat tumpuan agensi sukan dan kementerian negara seperti Sport Singapore (SportSG), Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) serta Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC), lebih banyak kerjasama sedang dalam pertimbangan demi mengembangkan sukan itu.

Justeru, beberapa langkah ke arah menjadikan ia sukan yang lebih komprehensif telah pun giat dilakukan. Antaranya, mewujudkan sebuah akademi yang memanfaatkan teknologi dalam melatih pesilat dan jurulatih, menurut Sheik Alau'ddin.

Beliau berkata:

"Lebih daripada hanya sekadar mengenali silat sebagai seni mempertahankan diri, kami mahu mencipta lebih banyak peluang pekerjaan yang berkait rapat dengan sukan ini.

"Kami ada rancangan menubuhkan Akademi Strike - entiti berasingan yang akan melatih jurulatih dan menggalak inovasi dan penggunaan teknologi, kerana pada zaman ini sudah terdapat teknologi baru seperti kecerdasan buatan (AI). Melalui akademi ini, kami juga akan menawarkan pensijilan profesional untuk jurulatih.

"Kami juga bekerja rapat dengan Institut Sukan Singapura (SSI) dengan kami akan berusaha menggabungkan silat dengan sains bagi memperkenalkan latihan baru.

"Ia bukan hanya mengenai latihan dan perlawanan, terdapat banyak perkara yang mampu merangkumi silat. Oleh itu, kami juga mendapatkan tenaga pakar dan profesional demi menjadi sebahagian daripada pengurusan Persisi."

Usaha berterusan ini diharap dapat membuka laluan yang lebih luas agar cita-cita melihat silat dipertandingkan dalam kejohanan berprestij seperti Sukan Olimpik menjadi kenyataan satu hari nanti.

Bahkan menurut Sheik Alau'ddin, antara impiannya adalah menjadikan Singapura sebagai hab pencak silat dengan adanya kemudahan dan penganjuran acara serta pertandingan bertaraf antarabangsa.

Sebagai contoh, beliau menyentuh tentang penganjuran kongres seni mempertahankan diri global di sini menjelang 2020.

"Kami mahu berada di luar sana dan dikenali ramai, oleh itu kami melakukan sebanyak mungkin bagi mengusahakan semua ini.

"Tentunya matlamat utama adalah menyertakan silat dalam Sukan Olimpik, jadi apabila pesilat berlatih, mereka akan berlatih kerana mempunyai matlamat dan impian yang lebih besar - memenangi emas dalam Sukan Olimpik.

"Selagi silat belum berada padaSukan Olimpik, segala usaha kami masih berterusan dengan Persekutuan Silat Antarabangsa lain. Ia satu proses yang rumit, tetapi saya percaya kami perlu mengubah sukan ini agar dapat memenuhi piawaian Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC)," tambahnya yang telah memikul jawatan CEO Persisi sejak 2005 dan dinobat Jurulatih Terbaik Negara sebanyak empat kali.

Dalam melahirkan hasrat meletakkan silat di mata dunia, Sheik Alau'ddin menegaskan bahawa sukan itu terlebih dahulu perlu berkembang daripada kongkongan budaya.

Sehingga kini, lebih daripada 80 negara, termasuk dari Eropah, Amerika Syarikat malah sejauh Afrika mempunyai persatuan silat sendiri.

Justeru, penting menjadikan silat sebagai sukan yang mampu dinikmati dan diikuti masyarakat dan bangsa lain.

"Orang ramai tahu lebih banyak tentang silat sekarang. Silat bukan sekadar budaya, yang melakukan perkara tradisional, bahkan telah berkembang menjadi sukan yang dikenali dan dapat dibandingkan dengan seni mempertahankan diri lain yang sudahpun berada di Olimpik seperti taekwondo dan judo.

"Kami telah berkembang dengan pesat - ia merupakan satu perubahan besar berbanding sebelum ini.

"Kami mahu menaikkan martabat silat ke peringkat seterusnya, jadi itulah sebabnya kami sentiasa bekerja keras bagi mencapai misi kami," ujarnya.


"Tentunya matlamat utama adalah menyertakan silat dalam Sukan Olimpik, jadi apabila pesilat berlatih, mereka akan berlatih kerana mempunyai matlamat dan impian yang lebih besar - memenangi emas dalam Sukan Olimpik.

Selagi silat belum berada pada Sukan Olimpik, segala usaha kami masih berterusan dengan Persekutuan Silat Antarabangsa lain. Ia satu proses yang rumit, tetapi saya percaya kami perlu mengubah sukan ini agar dapat memenuhi piawaian Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC)."

"Kami telah berkembang dengan pesat - ia merupakan satu perubahan besar berbanding sebelum ini. Kami mahu menaikkan martabat silat ke peringkat seterusnya, jadi itulah sebabnya kami sentiasa bekerja keras bagi mencapai misi kami."
- Sheik Alau'ddin Yacoob Marican.

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Bahasa Melayu

Betul!

Salah!

Try the new Halal Food Map