Subuh
5:55
Syuruk
7:16
Zuhur
1:19
Asar
4:41
Maghrib
7:20
Isyak
8:32

Latihan di Korea S dorong Fathullah impi tunjuk bakat hingga luar S'pura

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Sukan
30
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SEMANGAT WATAN

Latihan di Korea S dorong Fathullah impi tunjuk bakat hingga luar S'pura

Cepat fikir ketika kawal bola, disiplin dan sikap profesional antara oleh-oleh pemain muda Tanjong Pagar dari berlatih bersama kelab liga Korea
Jan 22, 2023 | 05:30 AM

PEMAIN midfield muda Tanjong Pagar United, Fathullah Rahmat, memulakan tahun baru berbekal pengalaman baru.

Ini setelah beliau, 20 tahun, berpeluang menjalani latihan bersama beberapa kelab di Korea Selatan dari 26 Disember hingga 5 Januari lalu.

Fathullah ke sana bersama seorang lagi pemain muda, Ong Yu En, 19 tahun, daripada Tampines Rovers.

Duo itu adalah pemain di bawah naungan firma pemasaran dan pengurusan sukan berpangkalan di Singapura, Rookbook Sports, yang mewujudkan peluang dua minggu itu.

Semasa di negara Asia Timur itu, Fathullah dan Ong berlatih bersama pasukan belia daripada kelab Liga 1 Korea, Incheon United dan Suwon Samsung Bluewings.

Mereka juga berkongsi padang bersama skuad senior Cheonan City ketika mengikuti latihan kelab Liga 2 Korea itu.

Berkongsi pengalamannya bersama Berita Minggu, Fathullah, yang beraksi dalam 23 daripada 28 perlawanan Tanjong Pagar musim lalu, berkata:

"Pengalaman itu benar-benar sangat berharga dan saya berbesar hati mendapat peluang ke Korea untuk meneroka dan merasai bagaimana bermain di negara yang taraf bola sepaknya lebih tinggi daripada Singapura.

"Mereka bermain pantas dan pada intensiti tinggi."

Dengan tempo permainan lebih rancak, beliau belajar berfikir dengan cepat ketika mengawal bola, ujar Fathullah.

"Tiada banyak masa untuk berfikir semasa mempunyai bola, jadi kesedaran (tentang apa berlaku di sekeliling) adalah penting.

"Keupayaan teknikal dan fizikal juga memainkan peranan untuk meningkatkan gaya permainan anda," kongsi beliau.

Fathullah juga kagum akan sikap pemain di Korea Selatan.

"Saya pelajari bahawa pemain sangat disiplin dan profesional dalam diet dan sikap mereka. Mereka tidak membuang masa apabila tiba di padang, dan langsung mengambil bola dan bersedia untuk latihan," ujarnya.

Pengalaman baru di Korea Selatan bagi Fathullah termasuk berdepan cabaran berlatih dalam cuaca sejuk.

"Saya mempunyai masa yang sukar untuk menghadapi cuaca (di sana) kerana ini kali pertama saya mengalami salji. Tetapi ia adalah pengalaman baik," kata beliau.

"Mereka juga kuat secara fizikal jadi saya dicabar beberapa kali, tetapi saya belajar menanganinya."

Fathullah pulang ke tanah air dengan pengalaman positif dari Korea Selatan, dan terdorong melakar masa depan dalam bola sepak.

"Ia membantu saya menetapkan matlamat jelas tentang sejauh mana saya ingin capai dalam kerjaya bola sepak saya dan bagaimana saya dapat mengusahakannya," jelas beliau.

Fathullah kini berhasrat bermain di luar negara pada masa akan datang, dengan kelab di liga Malaysia, Thailand dan Korea Selatan menjadi impiannya.

"Peluang ini mendorong saya bermain di luar negara kerana sekarang saya telah mengalami sendiri pengalaman berlatih bersama kelab luar negara," ujar beliau.

"Jurulatih Noh Alam Shah sebelum ini berkongsi bagaimana beliau belajar banyak semasa menjalani percubaan di Notts County dan bermain di luar negara di Indonesia, dan saya mula memahami apa yang beliau maksudkan apabila beliau berkata 'mendengar cerita pengalaman orang bermain di luar negara adalah berbeza daripada mengalaminya sendiri'."

Noh jurulatih di Tanjong Pagar dan bekas penyerang Singapura.

Beliau pernah menjalani percubaan bersama Notts County di England dan Skonto Riga di Latvia, serta menyarung jersi kelab Malaysia, PDRM FA, dan pasukan Indonesia, Arema Indonesia, Persib Bandung serta PSS Sleman.

"Semoga impian saya akan menjadi kenyataan pada masa hadapan... Sekarang, tumpuan saya ialah pada Tanjong Pagar dan saya akan meletak 110 peratus usaha untuk kempen akan datang," kata Fathullah.


MAIN PANTAS DAN BERDISIPLIN 

Mereka bermain pantas dan pada intensiti tinggi. Tiada banyak masa untuk berfikir semasa mempunyai bola, jadi kesedaran (tentang apa berlaku di sekeliling) adalah penting. Keupayaan teknikal dan fizikal juga memainkan peranan untuk meningkatkan gaya permainan anda... Saya pelajari bahawa pemain sangat berdisiplin dan profesional dalam diet dan sikap mereka. Mereka tidak membuang masa apabila tiba di padang, dan langsung mengambil bola dan bersedia untuk latihan.
- Fathullah Rahmat, tentang apa yang dipelajarinya di Korea Selatan.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3