Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

PREVIU LIGA PERDANA ENGLAND

Man U jadi penentu siapa juara?

Feb 24, 2019 | 05:30 AM



Jika Man U menang... Man City tenang



NAMA Ole Gunnar Solksjaer semakin memuncak kini.



Apa tidaknya, Red Devils di bawah bimbingannya, membuatkan para peminat mereka semakin gembira dan tidak muram lagi, atau dalam erti kata golongan anti Manchester United, penyokongnya kini 'dah keluar gua!'



Dengan kejayaan terbaru ke atas Chelsea di kubu lawan dalam Piala FA, menjadikan Chelsea pasukan gagah ketiga tewas di tangan Manchester United di tempat sendiri selepas Spurs dan juga Arsenal.



Ini juga merupakan kemenangan pertama Manchester United di Stamford Bridge dalam enam tahun.



Walaupun pernah tewas sekali dalam Liga Juara-Juara Eropah di tangan Paris St Germain (PSG), namun United masih lagi belum tewas di Liga Perdana sejak di bawah bimbingan Solkjaer, malah mereka hanya seri sekali sahaja dan selebihnya menang. Ini bermakna mereka telah memenangi sebelas kali daripada sejumlah tiga belas perlawanan seluruh kejuaraan.



Keputusan ketika menentang Liverpool nanti bukan sahaja penting bagi United mengekalkan kedudukan di tangga keempat malah ia juga bakal menentukan nasib Liverpool dalam persaingan kejuaraan liga.



Bukan sahaja Liverpool, tetapi nasib Manchester City juga. Ini kerana selepas pertemuan ini United juga akan berdepan dengan jirannya di Old Trafford nanti. Dalam erti kata lain, United ibarat 'Kingmaker', penentu pasukan manakah yang bakal merebut kejuaraan liga.



Selepas mengejutkan pasukan gagah lain seperti Spurs, Arsenal dan juga Chelsea dalam perlawanan liga dan juga piala FA, United pastinya mempunyai keyakinan bahawa Liverpool juga mampu ditundukkan. Dengan maruah Man U menjadi pertaruhan selain perjuangan merebut tempat keempat menjadi sasaran Man U, nantikan persembahan dan komitmen tinggi dari pasukan Solksjaer untuk menundukkan musuh tradisi mereka.



STRATEGI, FORMASI & KESEBELASAN UTAMA



Walaupun perlawanan ini merupakan kali ketiga United bermain dalam masa 12 hari perlawanan ini sangat genting, Ole Gunnar Solksjaer dijangka hanya akan membuat beberapa pertukaran kecil dalam kesebelasan utamanya.



Dengan itu, David De Gea dijangka mengawal semula gawang mengambil alih tempat Sergio Romero.



Di benteng pertahanan pula, saya jangka Victor Lindelof akan bergandingan semula dengan Phil Jones atau Eric Bailly di samping Luke Shaw dan Ashley Young.



Di barisan tengah dan serangan, Solksjaer hanya akan membuat pertukaran andainya Anthony Martial dan Jesse Lindgard cergas semula. Dengan itu jangkakan kelibat Nemanja Matic, Ander Herrera dan Paul Pogba mengemudi jentera tengah. Barisan serangan pula dijangka diterajui oleh Marcus Rashford di samping Martial dan Lindgard.



Bagi memenangi perlawanan ini, United perlu positif dalam pendekatannya dan bermain secara terbuka dan menyerang. Kedua bek kiri dan kanannya juga perlu memberikan sokongan untuk naik ke atas bagi mengisi posisi sayap kiri dan kanan bagi membantu serangan, di samping sentiasa bersedia mengawasi semula posisi masing-masing ketika diserang balas.



Pada masa yang sama, jentera tengah perlu bekerja keras dan perlu disiplin dalam memainkan peranan defensif mereka. Ini bermakna Herrera dan Pogba juga perlu memastikan Matic tidak keseorangan dalam berhadapan dengan serangan balas Pool, selain perlu bergiliran dalam bertindak secara ofensif.



Namun pemain yang paling penting nanti sudah pastinya ialah David De Gea. Beliau perlu berada dalam persembahan terbaiknya bagi memastikan gawangnya tidak dibolosi.



Jika itu berlaku dan barisan ofensif yang diterajui Pogba, Rashford, Lindgard dan juga Martial pula memainkan peranan mereka, maka kemenangan bukanlah satu perkara yang mustahil dalam perlawanan ini.



PEMAIN TUNGGAK - PAUL POGBA



Jika United ingin memenangi perlawanan ini, maka Paul Pogba perlu berada pada kemuncak prestasi terbaiknya. Bagi setiap pemain hebat, perlawanan besar seperti inilah bakal menyaksikan persembahan terbaik mereka.



Pogba merupakan pemain serba lengkap. Beliau merupakan pemain tengah 'box to box' atau pemain yang boleh membantu pasukan bertahan dan melakukan serangan balas. Pogba juga boleh mengumpan bola dengan baik dan mempunyai kualiti hantaran jauh yang sangat tepat. Beliau juga boleh mencipta peluang serta jaringkan gol, tidak kiralah dari jarak jauh atau dekat mahupun melalui tandukan.



Beliau yang sehingga kini sudahpun menjaringkan sebelas gol liga dan merintis sembilan peluang jaringan gol, meneruskan prestasi cemerlangnya dengan merintis satu gol dan kemudian menjaringkan gol dalam kemenangan 2-0 ketika perlawanan pusingan kelima Piala FA menentang Chelsea.



Seperti pemain hebat dunia yang lain, Pogba perlu diberikan kepercayaan penuh baik dari sudut kepentingannya dalam pasukan mahupun kemampuan di atas padang. Beliau juga perlu diberikan kebebasan untuk menyerlahkan kemampuannya dan bermain tanpa sekatan dan keterbatasan taktikal.



Segalanya ini diperolehi di bawah pimpinan Solksjaer dan hasilnya beliau kini menemui semula sentuhan cemerlangnya dan jika ianya terus berterusan, maka Pogba akan terus menyerlah dalam perlawanan ini dan seterusnya membantu pasukannya memungut tiga mata penting.




Jika Pool menang... Man City tertekan



SKUAD Jurgen Klopp, yang tidak lagi terlibat dengan Piala FA dan Piala Liga, ada 10 hari bersedia bagi perlawanan Liga-Liga Juara Rabu lalu dan juga bagi perlawanan genting Liga Perdana malam ini.



Namun Liverpool kurang lancar dan sediki lembap kerana gagal memanfaatkan peluang-peluang yang tersedia.



Mungkinkah kerana faktor berehat terlalu lama atau kerana strategi Bayern Munich - dalam pusingan kalah mata Liga Juara-juara - yang bermain agak defensif?



Namun, pertaruhan perlawanan malam ini tetap penting bagi Liverpool.



Dengan Manchester City tidak beraksi kerana terlibat dalam final Piala Carabao, Liverpool berpeluang merampas semula takhta liga jika ia elak kalah di Old Trafford.



Peluang untuk menang bukanlah perkara yang mustahil sebenarnya.



Walaupun Man U mempunyai rekod cemerlang di bawah Ole Gunnar Solksjaer, mereka tidaklah kebal di tempat sendiri. Buktinya, mereka baru sahaja tewas di tempat sendiri kepada Paris Saint Germain (PSG) dalam Liga Juara-Juara minggu lalu, walaupun juara Perancis itu beraksi tanpa dua bintang utama mereka: Neymar dan Edinson Cavani.



United juga bernasib baik mampu seri dengan Burnley 2-2, menyamakan kedudukan melalui gol yang dijaringkan pada saat-saat terakhir perlawanan.



Ini bermakna, andainya anak buah Klopp bermain menurut keupayaan mereka yang sebenar, mereka mampu menang. Dari sudut keserasian, para pemain Liverpool berada pada tahap yang lebih tinggi kerana rata-rata pemainnya sudah bermain di bawah bimbingan Klopp sejak beberapa musim lalu.



Pada masa yang sama, mutu pemain Man United juga tidak setanding dengan kebolehan para pemain City, yang jauh lebih gagah. Atas faktor ini, bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika Pool pulang dengan tiga mata penuh malam nanti.



STRATEGI, FORMASI & KESEBELASAN UTAMA



Liverpool pada musim ini, mempunyai pendekatan yang sedikit berbeza dari sudut strategi dan formasi pasukan. Juergen Klopp dan barisan kejurulatihannya membuat sedikit perubahan khususnya bagi saingan liga perdana pada musim ini.



Tidak seperti musim-musim lalu, tekanan terhadap pasukan lawan yang diistilahkan Klopp sebagai 'gegenpressing', tidak lagi dilakukan secara kerap tetapi berkala dan lebih terkawal.



Pasukannya juga tidak lagi menyerang secara terus-menerus seperti dulu, tetapi kini lebih condong ke arah mengawal permainan dan hanya menyerang bila mempunyai ruang dan peluang sahaja.



Oleh itu bukan merupakan kebetulan, pasukan Liverpool kini hanya dibolosi gol yang lebih rendah berbanding musim-musim lepas. Pada masa yang sama, sumbangan dan kepimpinan Virgil Van Dijk selain pembelian penjaga gawang baru yang bernama Alisson Becker juga memainkan peranan penting dalam menambah kekentalan pertahanan Liverpool.



Van Dijk dijangka disertakan semula di samping Joel Mati atau Dejan Lovren dalam kesebelasan utama selepas terlepas perlawanan Liga Juara-Juara baru-baru ini kerana digantung satu perlawanan. Andrew Robertson dan Trent-Alexander Arnold yang kembali cergas akan melengkapkan gandingan pertahanan Liverpool.



Dengan penyertaan Fabinho, Klopp juga mempunyai pilihan untuk menggandingkannya di samping seorang pemain tengah defensif lain dalam formasi 4-2-3-1 yang berbentuk lebih ofensif berbanding formasi 4-3-3.



Namun bagi perlawanan ini, Klopp dijangka akan menggunakan formasi 4-3-3 dengan kualiti pemain yang dapat menyerap tekanan barisan tengah Man U yang bakal dikemudi Paul Pogba. Oleh itu Naby Keita bakal direhatkan dan tempatnya digantikan oleh Fabinho di samping kapten pasukan Jordan Henderson yang bermain cemerlang Rabu lalu bersama Giorginio Wijnaldum. James Milner juga mungkin dipilih beraksi di Old Trafford.



Sementara itu barisan serangan Liverpool dijangka seperti biasa akan dibarisi oleh Sadio Mane, Mohamed Salah dan Roberto Firmino.



Jika Liverpool serius untuk mengutip tiga mata di sini, maka jentera serangannya yang diketuai Mo Salah perlu menemui semula sentuhan jaringannya dalam perlawanan menentang pasukan 'top 4' bagi memastikan Liverpool mempunyai sebarang harapan dalam perlawanan ini.



PEMAIN TUNGGAK - SADIO MANE



Jika sebelum ini beliau kurang menyerlah, dibayangi rakan penyerang Roberto Firmino dan Mohamed Salah yang lebih kerap menjaringkan gol tapi kini Mane penyerang asal Senegal ini sudahpun menjaringkan dua belas gol dan merupakan penjaring kedua terbanyak Pool selepas Mo Salah (17), diikuti oleh Firmino dengan sembilan gol.



Malah Mane merupakan pemain yang paling form ketika ini dengan empat gol dalam empat perlawanan liga terakhir.



Bermain di sebelah kanan barisan depan, Mane ditugaskan menyusup ke hadapan dan bersilih-ganti peranan dengan Salah atau Firmino.



Namun Mane perlu lebih rakus dalam memanfaatkan peluang jaringan, yang mungkin hanya muncul sekali-sekala dalam perlawanan besar seperti ini. Jika beliau dan rakan penyerangnya terus bazirkan peluang jaringan seperti ketika menentang Bayern tempohari, maka peluang Pool makin semakin mencabar.



Tapi jika sebaliknya berlaku, maka tidak mustahil Mane bakal menjadi wira Pool dengan jaringan kali kelima berturut-turut.




SIARAN LANGSUNG DI WISMA GEYLANG SERAI



Manchester United lawan Liverpool

24 Februari, 10.05 malam




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >