LONDON: Bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo, menyuarakan hasrat untuk meninggalkan kelab Old Trafford itu pada musim panas ini sekiranya pasukan Liga Perdana England (EPL) itu menerima tawaran yang sesuai.
Pemain penyerang antarabangsa Portugal itu menyertai semula United sebelum musim 2021/22 dan menjaringkan 18 gol liga. Difahamkan, Ronaldo mahu beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah musim depan - sesuatu yang gagal dicapai United di akhir musim lalu.
United gagal ke pertandingan elit kelab-kelab Eropah itu selepas menamatkan musim lalu di tangga keenam dan hanya mampu layak ke Liga Europa.
Ronaldo, 37 tahun, sejauh ini belum lagi menyertai latihan pramusim kelab di Carrington yang baru dimulakan minggu ini, atas sebab keluarga, dan sebaliknya berlatih di tapak utama pasukan nasional Portugal.
Skuad United dijangka berangkat untuk lawatan pramusim mereka di Thailand dan Australia esok.
United gagal menang sebarang trofi musim lalu dan terdapat khabar angin berkait Ronaldo dan jersi kelab mana yang bakal beliau sarung dalam kempen 2022/23.
BAYERN MUNICH
Bayern Munich dikaitkan dengan Ronaldo kerana kemungkinan kehilangan penyerang utama pasukan, Robert Lewandowski, yang akan berpindah ke Barcelona.
Kelab Jerman itu juga memiliki status sebagai antara kelab gergasi bola sepak Eropah yang mampu menarik minat Ronaldo.
Bekas kaptain Jerman dan Bayern, Lothar Matthaus, menyifatkan pemindahan itu sebagai "sesuatu yang menarik".
Namun, Bayern baru sahaja membelanjakan £30 juta ($50.4 juta) untuk Sadio Mane dari Liverpool dan mereka tidak ada sejarah sebelum ini untuk memberli pemain lebih berusia.
BARCELONA
Barcelona sedang cuba membina semula skuad setelah bangkit dari krisis kewangan yang memaksa Lionel Messi meninggalkan kelab itu 12 bulan lalu.
Presiden Barca, Joan Laporte, jelas merasakan beliau dapat memperkukuhkan skuadnya tetapi perlu mengumpul wang, lantas usahanya untuk menjual pemain midfield Belanda Frenkie de Jong.
Membeli pemain seperti Ronaldo seakan menentang visi meluasnya - ditambah pula sejarah kapten Portugal itu yang pernah menyarungi jersi musuh ketat, Real Madrid.
Namun, menurut laporan akhbar Sepanyol, AS, Ronaldo sudah pun bertemu dengan Laporte di Barcelona pada Isnin lalu.
CHELSEA
Pemilik baru Chelsea, Todd Boehly, sedang cuba menambat hati peminat berikutan pengambilalihannya dan terdapat beberapa nama lebih besar daripada Ronaldo yang ingin dibawa masuk ke Stamford Bridge.
Pemergian Romelu Lukaku memberi ruang untuk seorang lagi penyerang dalam skuad Thomas Tuchel.
Namun, gaya permainan Lukaku yang lebih langsung tidak sesuai dengan pendekatan Tuchel - dan ia sukar untuk melihat bagaimana Ronaldo dapat menyesuaikan dirinya jika berpindah ke Stamford Bridge.
Dan, setelah mengalami kerugian besar berhubung pembelian Lukaku tidak berapa lama lalu, tidak ramai pemerhati bola sepak yang menjangka Chelsea rela menanggung risiko serupa untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 38 tahun musim depan/
Namun, rela atau tidak, pemilik baru kelab itu dari Amerika Syarikat dikatakan sedang mempertimbangkan dengan serius kemungkinan mendapatkan tandatangan bintang penyerang Portugal itu pada musim panas ini, lapor The Athletic. - Agensi berita.