Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

LIGA PERDANA ENGLAND: PREVIU MAN CITY LAWAN MAN UTD

'Manchester derby' kayu ukur kehebatan City, kemajuan United

Oct 02, 2022 | 07:56 AM



'TEMPOH rehat' hampir sebulan daripada bola sepak domestik mungkin datang pada masa yang tidak diingini oleh Manchester United.



Ini setelah pasukan Red Devils itu menikmati kebangkitan di bawah Erik ten Hag dengan empat kemenangan berturut-turut, mengalahkan Liverpool, Southampton, Leicester City dan Arsenal.



Melebihi kebangkitan itu, corak permainan anak buah Erik ten Hag juga mendapat perhatian ramai dengan pemain-pemain seperti Scott McTominay, Diego Dalot, Marcus Rashford dan Jadon Sancho menunjukkan kembali keupayaan sebenar mereka setelah persembahan hambar musim lalu.



Justeru, ten Hag pastinya mahukan momentum itu berterusan menentang Crystal Palace dan Leeds United sebelum bertandang ke Stadium Etihad untuk berentap dengan juara bertahan dan pendahulu liga, Manchester City.



"Dengan persembahan yang mereka tunjukkan, saya yakin United akan mendapat keputusan positif menentang Palace dan Leeds," kata bekas pemain City, Micah Richards.



"Ini membolehkan mereka mempunyai platform yang baik untuk pertemuan menentang City. Jadi pembatalan perlawanan dan tempoh rehat hampir sebulan ini, mungkin tidak memberikan United kelebihan," tambah beliau.



Perlawanan-perlawanan liga domestik United itu dibatalkan setelah kemangkatan Ratu Elizabeth II sebelum liga berehat untuk perlawanan-perlawanan antarabangsa menjelang Piala Dunia akhir tahun ini.



Meskipun demikian, ten Hag berkata beliau tidak begitu bimbang.



"Keadaan seperti ini ada lumrah dalam bola sepak hari ini. Saya tidak melihat ia sebagai masalah. Pemain harus bersikap profesional, kekal kepada pelan dan cara permainan kami, itu yang lebih penting. City adalah pasukan yang hebat dan ini adalah ujian yang baik untuk pembangunan pasukan kami," ujarnya.



Corak permainan United itu - yang berasaskan 'pressing' yang tinggi dan mengawal rentak permainan di bahagian midfield - berdepan dengan ujian getir dalam perlawanan di Stadium Etihad malam ini (9 malam waktu Singapura).



City melangkah ke perlawanan ini sebagai pasukan tidak pernah kalah, dengan memenangi lima perlawanan dan dua seri, sambil menjaringkan 23 gol.



Ancaman City di bahagian serangan begitu ketara dan pengamat merasakan saingan pemain bek tengah United, Lisandro Martinez, dan bintang penyerang City, Erling Haaland, adalah kunci kepada kesudahan perlawanan malam ini.



Martinez telah menunjukkan persembahan memberangsangkan dalam kejayaan United sejauh ini, dan telah pun ditabal sebagai pemain terbaik United dalam bulan pertama musim 2022/23 ini.



Haaland pula memperkukuh reputasinya sebagai antara pemain terbaik dunia dan telah pun menjaringkan 11 gol dalam tujuh perlawanan liga.



"Mereka telah bertemu dalam beberapa perlawanan sebelum ini, semasa Martinez bersama Ajax dan Haaland bermain untuk Dortmund. Dan dalam perlawanan-perlawanan tersebut Martinez dapat membendung Haaland dengan baik," kata bekas pemain United, Owen Hargreaves.



"Tapi ini adalah liga yang berbeza dan perlawanan yang berbeza. Ia adalah perlawanan Manchester derby pertama bagi kededua pemain dan kita harus lihat bagaimana mereka menangani suasana dan keadaan nanti," tambah beliau.



Pengurus City, Pep Guardiola, menekankan perlawanan derby Manchester itu adalah sesuatu yang unik.



"Semua pertimbangan perlu ditolak tepi kerana perlawanan ini adalah istimewa. Pemain harus menunjukkan komitmen 100 peratus, dan penyokong kededua pasukan menuntut komitmen ini. Kami menghormati kebangkitan United, tapi kami juga ada kekuatan kami sendiri," ujarnya.



Sementara itu, selain saingan Haaland dan Martinez, Hargreaves berkata pertempuran di bahagian 'midfield' adalah kunci dalam perlawanan tersebut.



Kejayaan United sejauh ini hasil kecemerlangan 'midfield' mereka, dengan McTominay sebagai pemain 'midfield' defensive, Christian Eriksen sebagai playmaker dan Bruno Fernandes menyokong tenaga penggempur.



City pula mempunyai bakat-bakat menyerlah di bahagian midfield yang dibarisi Kevin De Bruyne, Phil Foden, Bernardo Silva, Kalvin Philips dan Jack Grealish.



"Pertarungan di bahagian midfield ini adalah penting.



"Saya tidak sabar melihat sama ada United akan menurunkan midfield yang sama, atau mungkin ten Hag mengambil keputusan memberikan pertahanan lebih perlindungan dengan menggandingkan McTominay dengan Casameiro, dengan Eriksen menyokong tenaga penggempur dan Fernandes beroperasi di bahagian sayap," ujar Hargreaves.



Richards sementara itu berpendapat sedang City mengatasi United dari segi kekuatan pasukan, beliau menjangkakan keputusan akan berakhir seri.



Kededua pasukan, katanya, tidak boleh kalah meskipun masih lagi di peringkat awal musim.



"Kekalahan bukan satu tragedi, mungkin lebih negatif bagi United dari City.



"Jika keputusan berakhir seri, ia adalah satu asas yang baik untuk United meneruskan kemajuan mereka. Tapi kalau kalah, ia satu tamparan bagi mereka. Jadi saya menjangkakan perlawanan di mana City mengasak namun Uniten dengan disiplin dan kesungguhan baru di bawah ten Hag, dapat menangani asakan City dengan baik," ujarnya.



Bersetuju, Hargreaves berkata meskipun bermain di padang sendiri, beliau tidak menjangkakan corak permainan yang terlalu ofensif daripada anak buah Guardiola.



"Mereka boleh mengambil keputusan seri dan teruskan kemajuan mereka dalam perlawanan-perlawanan seterusnya. Kekalahan tidak begitu merosakkan City pada peringkat musim sekarang, namun tiada sesiapa yang mahu kalah dalam perlawanan Manchester derby," kata beliau. - Agensi berita.




Semua pertimbangan perlu ditolak tepi kerana perlawanan ini adalah istimewa. Pemain harus menunjukkan komitmen 100 peratus, dan penyokong kededua pasukan menuntut komitmen ini. Kami menghormati kebangkitan United, tapi kami juga ada kekuatan kami sendiri.
- Pengurus Manchester City, Pep Guardiola.




Keadaan seperti ini ada lumrah dalam bola sepak hari ini. Saya tidak melihat ia sebagai masalah. Pemain harus bersikap profesional, kekal kepada pelan dan cara permainan kami, itu yang lebih penting. City adalah pasukan yang hebat dan ini adalah ujian yang baik untuk pembangunan pasukan kami.
- Pengurus Manchested United, Erik ten Hag.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >