PARIS: Bintang penyerang remaja Perancis, Kylian Mbappe, mengesahkan reputasinya sebagai superstar terbaru bola sepak dunia dengan menjaringkan satu gol serta menyajikan persembahan yang cemerlang semasa membantu Perancis menjulang Piala Dunia dengan kemenangan 4-2 ke atas Croatia Ahad lalu.
Di pentas terbesar bola sepak dunia itu yang menyaksikan Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi 'pulang' awal di pusingan 16 pasukan terakhir sebelum disusuli Neymar yang gagal menyelamatkan Brazil di suku akhir, sukan ini mungkin memerlukan seorang superstar baru bagi menyemarakkan minat penyokong dunia.
Tanpa Messi dan Ronaldo - yang di kalangan mereka memenangi anugerah Ballon d'Or sebagai pemain terbaik dunia sebanyak 10 kali - dan juga Neymar yang lebih diingati dengan 'sandiwaranya' kesakitan di padang sepanjang temasya di Russia ini, Mbappe meledakkan kehebatannya.
Berusia 19 tahun, bintang Paris Saint-Germain (PSG) ini, yang membesar di kejiranan Bondy yang lasak terletak di pinggir utara-timur Paris, menunjukkan kepantasannya ibarat lipas-kudung semasa melarikan bola, sentuhan-sentuhannya yang cemerlang serta rembatan penyudah yang berbisa.
Persoalannya kini adakah Mbappe boleh dianggap sebagai 'pengganti' legenda bola sepak dunia dan Brazil, Pele?
Ya, jika ditanya bekas pengurus Arsenal yang dihormati ramai, Arsene Wenger, yang tidak ragu-ragu menyifatkan Mbappe sebagai "Pele yang baharu".
Bercakap dengan stesen beIN SPORTS baru-baru ini, Wenger, yang mengundurkan diri selepas bertugas selama 22 tahun bersama kelab bergelar The Gunners itu di penghujung musim lalu, melahirkan keyakinan melihat Mbappe memiliki segala ciri-ciri menjadi pemain terbaik dunia.
"Beliau (Mbappe) berpotensi menjadi Pele akan datang," ujar Wenger.
"Beliau tidak mempunyai had... baru berusia 19 tahun dan akan menjadi lebih baik lagi.
" Beliau memiliki karisma, karakter serta keyakinan untuk menjadi pemain terbaik dunia.
"Anda selalunya akan lebih berhati-hati kerana tidak mahu pemain itu menjadi besar kepala.
"Tetapi pemain ini (Mbappe) memiliki tahap kepintaran yang hebat sekali dan mempunyai cara yang luar biasa bagi menangani tekanan.
"Baginya bermain bola sepak adalah sesuatu yang datang secara semulajadi... melakukan segalanya dengan betul... beliau memiliki bakat yang besar dan apabila beliau bercakap kepada TV, anda kagum melihat betapa relaksnya beliau... betapa bijaknya beliau menganalisis perkara.
"Jika anda seorang gurunya, anda akan memberika markah penuh 10/10... tidak pernah saya temui seorang yang begitu matang sekali pada usianya sekarang," tambah Wenger.
Legenda Brazil, Pele, mengukir namanya sebagai pemenang Piala Dunia sebanyak tiga kali - 1958, 1962 dan 1970 - yang menyaksikan namanya terpahat dalam sejarah sukan ini.
Di temasya Piala Dunia Russia yang berakhir baru-baru ini, bintang remaja 'Les Bleus' ini turut gigih mengukir namanya sendiri termasuk prestasi cemerlang serta sumbangan dua gol semasa membantu pasukan negaranya menewaskan Argentina 4-3 di pusingan 16 pasukan terkahir.
Dua golnya itu menjadikan Mbappe sebagai pemain remaja yang pertama sejak Pele pada 1958 untuk menjaringkan dua gol dalam satu perlawanan Piala Dunia - sekali gus mencetus perbandingan antara kededuanya di kalangan peminat dan pengamat sukan ini.
Kejayaannya menjaringkan salah satu daripada empat gol kemenangan pasukannya dalam final turut satu pencapaian bersejarah - juga menyertai Pele - sebagai hanya pemain remaja kedua untuk menemui sasaran dalam pertarungan akhir Piala Dunia.
Malah, Pele, melalui akaun Twitternya, segera memuji kehebatan bakat muda Perancis itu.
"Hanya pemain remaja kedua untuk berjaya menjaringkan gol dalam #FinalPialaDunia! Selamat menyertai kelab (elit) ini, @KMbappe... seronok sekali (saya kini) mendapat teman (baru)," ujar legenda Brazil itu yang pada usia 18 tahun, menyumbatkan dua gol semasa kemenangan Brazil 5-2 ke atas Sweden dalam final Piala Dunia 1958.
"Jika Kylian terus menyamai rekod pencapaian saya seperti itu, mungkin saya perlu membersihkan habuk pada but saya nanti," seloroh legenda Brazil yang kini berusia 77 tahun itu lagi.
Selain menjulang trofi Piala Dunia, Mbappe turut menyaksikan persembahan cemerlangnya itu diiktiraf apabila beliau dinamakan sebagai Pemain Muda Terbaik sepanjang temasya di Russia itu.
Seorang lagi yang yakin melihat beliau menyertai nama-nama hebat dalam sukan ini termasuk bekas bintang penyerang Jerman, Juergen Klinsmann, yang bertugas sebagai pengulas bersama stesen BBC sepanjang Piala Dunia Russia.
"Masa depannya masih terbentang luas... beliau terus menggegarkan sukan ini.
"Dengan Ronaldo berpindah (ke Juventus) dan Neymar (yang menyarungi jersi Paris Saint-Germain) dikaitkan dengan kelab-kelab lain, tiada hambatan bagi budak muda ini (Mbappe untuk mengorak langkah lebih jauh dalam sukan ini)," ujar Klinsmann. - Agensi berita.
"Jika Kylian terus menyamai rekod pencapaian saya seperti itu, mungkin saya perlu membersihkan habuk pada but saya nanti."
- Legenda Brazil, Pele, berseloroh mahu kembali beraksi di padang.
"Beliau (Mbappe) berpotensi menjadi Pele akan datang. Beliau tidak mempunyai had... baru berusia 19 tahun dan akan menjadi lebih baik lagi. Beliau memiliki karisma, karakter serta keyakinan untuk menjadi pemain terbaik dunia... (Mbappe) memiliki tahap kepintaran yang hebat sekali dan mempunyai cara yang luar biasa bagi menangani tekanan."
- Arsene Wenger, bekas pengurus Arsenal.
"Masa depannya masih terbentang luas... beliau terus menggegarkan sukan ini... Dengan Ronaldo berpindah (ke Juventus) dan Neymar (yang menyarungi jersi Paris Saint-Germain) dikaitkan dengan kelab-kelab lain, tiada hambatan bagi budak muda ini (Mbappe untuk mengorak langkah lebih jauh dalam sukan ini)."
- Juergen Klinsmanns, legenda Jerman.