Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

LIGA PERDANA ENGLAND

Momentum bersama Arsenal, tapi awas tekad Spurs bangkit dari kekecewaan

Arteta yakin setelah mencapai keputusan positif dalam dua perlawanan lalu, manakala Nuno pula seru pemain tunjukkan keupayaan sebenar
Sep 26, 2021 | 05:30 AM



LONDON: Jika perlawanan ini berlangsung tiga minggu lalu, Tottenham Hotspurs, yang berada di persada liga setelah tiga kemenangan dalam tiga perlawanan, pasti menjadi pilihan ramai untuk meraih mata penuh.



Ini kerana, sedang pasukan Nuno Espirito Santo itu menikmati permulaan yang memberangsangkan kepada musim 2021/22, keadaannya bagi lawan mereka malam ini, Arsenal, pula bagai mimpi buruk.



Ini setelah pasukan Gunners itu tewas tiga perlawanan berturut-turut termasuk dimalukan 0-2 oleh muka baru Liga Perdana England, Brentford, dan kemudian 0-5 oleh juara Manchester City.



Namun, sejak itu, anak buah Mikel Arteta telah menunjukkan kemajuan dengan dua kemenangan berturut-turut - meskipun sekadar kemenangan 1-0 - ke atas Norwich City dan Burnley.



Bagi Spurs pula, sembilan mata daripada tiga perlawanan hanya menyembunyikan "masalah" sebenar dalam skuad tersebut.



Sejak itu, Spurs telah mengalami dua kekalahan 0-3 berturut-turut, di tangan Crystal Palace dan kemudian seteru London mereka, Chelsea.



Lantaran itulah, menjelang satu lagi perlawanan 'London derby' malam ini, Arsenal tiba-tiba mempunyai keyakinan baru manakala Spurs pula tertekan.



"Amat menakjubkan sekali bagaimana keadaan berubah dalam masa dua, tiga minggu sahaja," kata bekas pemain Spurs dan Arsenal, Sol Campbell.



"Namun, inilah bola sepak. Anda hanya sebaik persembahan anda sebelum ini. Kuncinya bagi Arsenal ialah mereka harus memulakan perlawanan dengan baik, dan cuba mendapatkan gol awal bagi meningkatkan tekanan ke atas Spurs," ujar Campbell, yang menyarung jersi Arsenal sebanyak 195 kali, setelah berpindah secara kontroversial dari Tottenham.



Meskipun akur momentum kini berada di tangan Arsenal, bekas kapten Manchester United, Roy Keane, berkata Nuno pasti sedar ini adalah peluang terbaik bagi pasukannya untuk kembali ke laluan yang ingin mereka tuju.



"Beliau harus sedar ini mungkin titik permulaan baru bagi Spurs.



"Jika mereka kalah, ia ibarat satu bencana dan pasukan ini akan lebih tertekan. Namun, jika Spurs menang, ia boleh memberi semangat baru kepada pasukan ini...dan melihat persembahan mereka semasa tewas di tangan Chelsea, mereka memerlukan semangat baru," ujar Keane.



Keane menambah, pemain utama Spurs, Harry Kane, perlu membuktikan beliau komited kepada kelab itu setelah saga pemindahannya ke Manchester City pada musim panas lalu yang tidak menjadi.



"Ya, kalau berita yang kita baca benar, saya faham kalau Kane kecewa. Tapi peluang itu sudah tertutup, sekurang-kurangnya hingga Januari. Anda sekarang pemain Spurs. Kelab ini bayar gaji anda, penyokong memuja anda, tunjukkan anda seorang penyerang bertaraf antarabangsa," tegas Keane, yang mengkritik hebat Kane selepas kekalahan di tangan Chelsea itu.



Campbell pula menekankan, selain Kane, para pemain Spurs yang lain juga harus berani dan meningkatkan persembahan mereka.



Menurut beliau, hanya seorang pemain sahaja yang wajar dipuji, iaitu Son Heung-min.



"Beliau seorang profesional yang menakjubkan. Sikapnya di dalam dan luar padang, 100 peratus hebat. Jangan salah faham, ini tidak bermakna beliau tidak berbakat tapi hanya mempunyai sikap yang baik. Son ialah pemain yang hebat, antara yang terbaik di England.



"Jadi, para pemain Spurs yang lain, dalam masa-masa sukar ini, harus melihat kepada Son untuk inspirasi.



"Kadang-kala dalam perlawanan bola sepak, bakat yang kita ada tidak mempunyai kesan, atas sebab-sebab tertentu. Tapi, kita boleh berlari lebih jauh, lompat lebih tinggi, dan memberikan segalanya kepada keperluan pasukan," katanya lagi.



Meskipun Spurs sedang melalui tempoh yang sukar, Keane berkata beliau tetap percaya pasukan itu masih mempunyai cuba bakat dan kebolehan untuk memberi Arsenal cabaran yang sukar, meskipun mereka akan berdepan dengan pasukan Gunners itu di stadium Arsenal, The Emirates.



Menurut Keane, Arsenal mungkin telah mendapat nafas baru dengan dua kemenangan berturut-turut, tapi segala-galanya mampu berubah dalam sekelip mata.



"Dua kemenangan mereka itu ialah dengan pasukan yang seharusnya mereka atasi - Norwich dan Burnley. Jadi, bukan segalanya malap bagi Spurs.



"Ini adalah pasukan Arsenal yang boleh dikalahkan, jauh daripada hebat. Dan jika Arsenal tewas, tekanan yang Arteta rasakan dalam minggu-minggu pertama musim akan kembali menghantuinya," ujar beliau.



Itulah yang cuba dielak Arteta, meskipun pengurus Arsenal itu menegaskan keputusan perlawanan menentang Spurs itu tidak akan mendefinasikan musim mereka.



"Satu perlawanan tidak akan menjejas seluruh musim, itu pasti," kata Arteta.



"Yang penting, kami semua - daripada pemain, pasukan jurulatih dan seluruh kelab ini - yakin dengan proses yang dijalankan. Kami bermain dengan corak yang kami mahukan, dan perlawanan demi perlawanan kami menunjukkan kemajuan. Itu yang lebih penting kerana proses ini, apabila disempurnakan, akan memastikan kemenangan akan datang secara semulajadi," ujarnya lagi.



Rakan sejawatannya pula, Nuno, akur pasukannya kecewa dengan apa yang berlaku dalam dua perlawanan sebelum ini.



Menurutnya, apa yang mengecewakan bukanlah keputusan yang dialami, tetapi persembahan yang tidak menepati standard dan tuntutan setiap orang yang berkaitan dengan kelab tersebut.



"Kami wajar bermain dengan lebih baik, malah kami mesti bermain dengan lebih baik. Apa yang kita persembahkan di padang dalam dua perlawanan itu bukan Spurs yang sebenar," ujar beliau, yang baru dilantik memimpin Spurs musim ini menggantikan Jose Mourinho, yang dipecat musim lalu.



"Saya tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pemain. Setiap daripada kami mempunyai peranan memastikan perlawanan menentang Arsenal ini meninggalkan kenangan lebih baik dari dua perlawanan sebelum ini," ujarnya. - Agensi berita.




"Satu perlawanan (menentang Spurs) tidak akan menjejas seluruh musim, itu pasti.

"Yang penting, kami semua - daripada pemain, pasukan jurulatih dan seluruh kelab ini - yakin dengan proses yang dijalankan. Kami bermain dengan corak yang kami mahukan, dan perlawanan demi perlawanan kami menunjukkan kemajuan. Itu yang lebih penting kerana proses ini, apabila disempurnakan, akan memastikan kemenangan akan datang secara semulajadi.''

​- Mikel Arteta, Pengurus Arsenal




"Kita wajar bermain dengan lebih baik, malah kita mesti bermain dengan lebih baik. Apa yang kita persembahkan di padang dalam dua perlawanan itu bukan Spurs yang sebenar.

"Saya tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pemain. Setiap daripada kita mempunyai peranan memastikan perlawanan menentang Arsenal ini meninggalkan kenangan lebih baik dari dua perlawanan sebelum ini.'

- Nuno Espirito Santo, Pengurus Spurs




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >