Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

FORMULA 1

Mungkinkah Hamilton juara F1 pertama menang lapan juara dunia?

Saingan sengit dengan Max Verstappen boleh buat Hamilton tumbang
Dec 12, 2021 | 05:30 AM



LONDON: Lewis Hamilton akan sama ada menjadi pemandu Formula Satu (F1) pertama untuk menang lapan kejuaraan dunia atau melihat takhtanya dirampas musuh muda Max Verstappen apabila mereka berlumba di bawah lampu limpah (floodlights) Abu Dhabi malam ini (waktu Singapura).



Hamilton mungkin dapat mencatat rekod baru, yang dijangka pasti akan bertahan lebih lama daripada rekod hebat tujuh kejuaraan bintang pemandu Ferrari, Michael Schumacher, antara 1994 hingga 2004, atau melihat pemerintahan lamanya bertukar tangan kepada generasi lain.



Buat pertama kali sejak 1974, dan hanya yang kedua sejak kejohanan dunia bermula pada 1950 walaupun sistem permarkahan telah berubah, dua pencabar kejuaraan akan mara ke pusingan terakhir pada mata yang sama. Apa jua keputusannya, pertembungan itu menjanjikan rating tontonon yang tinggi.



Verstappen menang sembilan perlumbaan berbanding lapan milik Hamilton - kelebihan penting yang bermakna warga Britain itu harus meraih lebih mata sementara pemandu Red Bull dapat dinobat juara semasa perlumbaan jika lawannya bersara.



Jika tidak, sesiapa yang memiliki kedudukan lebih tinggi di akhir perlumbaan - melainkan Hamilton menduduki tempat kesembilan dan Verstappen berakhir di ke-10 serta mencatat pusingan terpantas - akan merangkul kejuaraan. Itu juga menimbulkan kebimbangan bahawa keputusan akan ditentukan oleh perlanggaran antara kedua-duanya, seperti yang berlaku dalam pertembungan sebelum ini, di mana begitu banyak yang dipertaruhkan dan seorang pemandu dapat meraih kelebihan penting dengan mengalahkan yang lain.



Bagaimanapun, pasukan Red Bull dan Verstappen, yang memiliki reputasi bagi pemanduan agresifnya, gayanya yang tidak mengenal belas kasihan, perangai buruk dan emosinya yang tinggi, jelas menyatakan hasrat mereka untuk menang kejuaraan secara adil.



"Dia seorang pemandu yang gigih berusaha tapi pemandu yang adil, dan saya jangka tiada perbezaan hujung minggu ini," kata bos pasukan Red Bull Christian Horner kepada Times Newspaper.



"Tiada siapa yang mahu menang kejuaraan ini di dalam perangkap batu kelikir (gravel trap) atau dalam siasatan steward.



"Persaingan antara mereka sering kali sangat sengit. Tapi, saya fikir, untuk semua peminat, anda mahu lihat persaingan yang adil dan bersih dalam pusingan terakhir ini dan semoga pasukan terbaik serta pemandu terbaik menang."



Meskipun pertarungan sengit antara Hamilton, 36 tahun, dengan pencabarnya yang berusia 24 tahun itu menandakan era baru perlumbaan, pasukan Mercedes warga Britain itu dapat meneruskan era dominasi mereka dalam kejuaraan pasukan untuk lapan kali berturut-turut.



Mereka berada 28 mata di depan Red Bull dan Horner mengakui ia memerlukan keajaiban untuk menghalang mereka.



"Segalanya atau pulang dengan tangan kosong untuk final musim ini dan itu menakjubkan untuk sukan ini, menakjubkan untuk peminat dan menakjubkan untuk kita semua juga," kata bos pasukan Mercedes, Toto Wolff.



Verstappen menang di Abu Dhabi tahun lepas, mendahului setiap pusingan daripada grid pertama tetapi sejak itu, litar telah pun dipendekkan dan diubahsuai dengan harapan dapat mencipta lebih banyak peluang memintas.



Hamilton pada ketika itu juga telah memenangi kejuaraan dunia ketujuhnya dan sedang pulih daripada Covid-19 yang memaksa beliau untuk terlepas beraksi dalam perlumbaan sebelumnya di Bahrain.



Kali ini, juara bertahan itu dijangka memperoleh manfaat enjin yang lebih baru daripada Verstappen dan juga dalam prestasi baik selepas menang tiga perlumbaan berturut-turut.



Perlumbaan malam ini juga menandakan perpisahan Red Bull dengan rakan enjinnya, Honda, walaupun mereka akan terus memasang unit kuasa tahun depan sebelum syarikat minuman tenaga itu mengambil alih harta intelek.



Rakan sepasukan Hamilton, Valtteri Bottas, akan berlumba untuk Mercedes buat kali terakhir sebelum berpindah ke Alfa Romeo, dengan George Russell menggantikan pemandu Finland itu dan mengucapkan selamat tinggal kepada Williams.



Kedudukan pasukan yang lebih rendah juga akan ditentukan, dengan Ferrari dijangka menjamin tempat ketiga. - Reuters.




APA KATA PEMINAT



"Saya pilih Lewis (Hamilton). Kalau ikut sejarah, litar Abu Dhabi lebih sesuai untuk Mercedes, terutamanya di bahagian lurus litar yang panjang di Sektor 2. Persembahan mantap Mercedes sejak Grand Prix Mexico (empat perlumbaan sebelum di Abu Dhabi) memberikan mereka kelebihan daripada Red Bull. Ia akan menjadi persaingan yang sengit tetapi saya tidak menjangka kontroversi yang serupa berlaku di Jeddah minggu lalu. Grand Prix Jeddah memiliki litar kelajuan yang sangat tinggi apatah ia baru, jadi drama yang belum pernah berlaku pasti akan terjadi."
- Encik Mohamed Nasri, 30 tahun, seorang arkitek.




"Mercedes memiliki pemandu baik seperti Lewis dan (Valtteri) Bottas dan mereka sangat pantas di bahagian lurus litar. Max (Verstappen) pula seorang pemandu muda yang sangat agresif. Ia akan menjadi perlumbaan yang amat menarik. Saya pilih Max untuk menang sebab dia konsisten, muda dan ada kesungguhan untuk menang."
- Encik A. Rahu, 33 tahun, seorang juruteknik pesawat.



- Laporan tambahan Zulaiqah Abdul Rahim (zulabr@sph.com.sg)




KEDUDUKAN PESAING



KEDUDUKAN 10 PEMANDU TERATAS F1 2021



1) Max Verstappen (Red Bull Racing Honda): 369.5 mata



2)) Lewis Hamilton (Mercedes): 369.5 mata



3) Valtteri Bottas (Mercedes): 218 mata



4) Sergio Perez (Red Bull Racing Honda): 190 mata



5) Charles Leclerc (Ferrari): 158 mata



6) Lando Norris (Mclaren Mercedes): 154 mata



7) Carlos Sainz Jr (Ferrari): 149.5 mata



8) Daniel Ricciardo (Mclaren Mercedes): 115 mata



9) Pierre Gasly (AlphaTauri Honda): 100 mata



10) Fernando Alonso (Alpine Renault): 77 mata



KEDUDUKAN TIGA PASUKAN TERATAS F1 2021



1) Mercedes: 587.5 mata



2) Red Bull Racing Honda: 559.5 mata



3) Ferrari: 307.5 mata




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >