LONDON: Pemain tenis nombor tiga terbaik dunia, Andy Murray, akan menderma £50 ($100) kepada Tabung Kemanusiaan Kanak-Kanak Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) setiap kali beliau membuat pukulan ace sepanjang baki tahun ini, demi menyumbang kepada usaha membantu pelarian.
Bekas juara Wimbledon dan Terbuka Amerika Syarikat itu terdorong membuat ikrar tersebut dek tersentuh oleh nasib mereka yang melarikan diri ke Eropah bagi mendapatkan suaka.
"Setelah melihat gambar yang disiarkan dalam laporan berita beberapa minggu kebelakangan ini, saya rasa saya terpaksa melakukan sesuatu untuk membantu berjuta-juta kanak-kanak dan keluarga mereka yang terpaksa meninggalkan rumah mereka dan hidup mereka diporak-peranda," tulis Murray di laman web rasminya.
Beliau akan bermain untuk Great Britain dalam Piala Davis menentang Australia mulai Jumaat (18 Sep) dan di Shanghai, Paris serta pusingan akhir Jelajah ATP pada November.
Standard Life, antara rakan kerja Murray, Persatuan Pemain Tenis Profesional (ATP), dan badan induk tenis Britain, Persatuan Tenis (LTA), mengumumkan mereka akan memadankan setiap pound yang disumbang pemain warga Scotland itu. - AFP