Nazri bangga dengan pencapaian Singa

BELIAU baru memimpin pasukan bola sepak Singapura sebagai jurulatih sementara bagi dua perlawanan.

Meskipun dalam jangka masa yang pendek, itu sudah cukup bagi Nazri Nasir meninggalkan kesan yang cukup ketara.

Di bawah pimpinan bekas kapten skuad negara itu, skuad Singa berjaya mara ke final Piala Air Marine selepas mengatasi Malaysia 1-0.

Namun, Singapura ditewaskan Oman dalam pusingan final malam tadi (23 Mac).

Oman menang 5-4 melalui tendangan penalti selepas keputusan seri 1-1.

Bercakap dengan Berita Harian, Nazri berkata beliau amat bangga dengan anak didiknya dan mengucapkan terima kasih atas komitmen yang mereka pamerkan.

Sebagai jurulatih sementara, beliau berkata beliau tidak mempunyai banyak masa untuk berlatih dengan mereka tetapi tekad ingin melakukan yang terbaik dan meninggalkan kesan.

“Dan kami berjaya melakukannya bersama, kami masuk final bersama,” ujarnya.

Oman mempunyai ranking tertinggi – di tangga ke-90 – di antara empat pasukan yang bertanding dalam Piala Air Marine, berbanding Singapura yang berada di tangga ke-165.

Dalam pertandingan itu, Malaysia menduduki tempat ketiga manakala Afghanistan di tempat keempat.

Walaupun skuad Singa gagal membawa pulang trofi juara, Nazri berkata setiap pemainnya itu merupakan pemenang.

“Apabila saya panggil pemain masuk padang, saya beritahu mereka saya hanya mahukan mereka memberi usaha 100 peratus.

“Saya ingin mereka berikan komitmen semasa di padang tak kiralah mereka pemain simpanan atau apa.

“Kalau mereka main penuh atau 10 minit pun, mereka harus yakin dengan diri sendiri,”  katanya.

Pemain forward Oman, Aziz Al Maqbali, menyumbatkan gol pertama dalam perlawanan di Stadium Bukit Jalil Stadium itu pada minit ke-28.

Namun, jaringan gol oleh Zulfahmi Arifin pada saat terakhir menjadikan keputusan seri 1-1.

Ini juga merupakan gol antarabangsa pertamanya.

“Saya tak pernah bayangkan dapat menjaringkan gol semasa waktu kecederaan, lebih-lebih lagi semasa perlawanan antarabangsa.

“Menjaringkan gol itu sebagai gol antarabangsa pertama saya benar-benar mengghairahkan,” ujarnya.

Ditanya apa yang terlintas di fikirannya sebelum pengadil meniup wisel untuk memberi tendangan percuma itu, Zulfahmi berkata beliau hanya membayangkan perasaan berjaya menyumbatkan gol ke dalam gawang.

Tambahnya, beliau juga amat berpuas hati dengan keputusan yang dicapai pasukannya menentang Oman yang mempunyai ranking jauh lebih tinggi berbanding mereka.

Ini menunjukkan bahawa mereka mampu berjaya jika mereka mahu, kata Zulfahmi.

Bagi Nazri, keyakinan terhadap setiap pemain amat penting.

“Sesiapa yang akan memainkan peranan sebagai jurulatih selepas ini harus meraih kepercayaan pemain, beri layanan sama kepada mereka dan beri mereka semua peluang,” ujarnya.

Tambahnya, beliau akan meneruskan kerjanya bersama skuad Singa Muda selepas ini serta membantu dan berkongsi pandangannya dengan jurulatih baru skuad Singa selepas ini.