Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

SIRI TIGA NEGARA FAS

Nazri buru kemenangan apabila dua jiran bertembung

Singa mahu akhiri 'rekod sempurna' skuad Harimau Malaya di bawah jurulatih baru mereka dari Korea
Mar 26, 2022 | 08:48 AM



MISI musnahkan rekod sempurna Harimau Malaya di bawah pimpinan jurulatih baru mereka, Kim Pan-gon.



Itulah matlamat yang diletakkan jurulatih sementara Singapura, Nazri Nasir, kepada anak didiknya apabila kededua seteru tradisi itu berentap di Stadium Negara malam ini.



Kim, 52 tahun, dalam perlawanan pertamanya sejak dilantik sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya pada Januari lalu, merakam kemenangan meyakinkan 2-0 ke atas Filipina dalam perlawanan pertama siri perlawanan persahabatan 'A' Tiga Negara Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) Selasa lalu.



Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah pada 2019 dalam Piala Airmarine di Malaysia, yang mana Singapura menewaskan Malaysia 1-0. Kemenangan itu merupakan yang sulung buat Nazri yang ketika itu turut mendukung tugas jurulatih sementara pasukan Singa.



Akur bahawa Malaysia memiliki rentak baik menjelang perlawanan "istimewa" malam ini, Nazri bagaimanapun yakin anak buahnya dapat mengatasi cabaran yang menanti mereka.



Perlawanan itu juga merupakan yang pertama sejak bekas jurulatih pasukan nasional Singapura Tatsuma Yoshida meletak jawatan lewat Disember lalu untuk kembali ke Jepun dan kini memimpin kelab Liga J2, Ventforet Kofu.



"Tidak kira sebagai pemain mahupun jurulatih, perlawanan derby seberang Tambak menentang Malaysia sentiasa sesuatu yang istimewa...semua pemain dalam pasukan tahu kepentingan perlawanan ini," kata Nazri, 51 tahun, dalam satu sidang media praperlawanan semalam.



"Malaysia mungkin ada momentum dan telah membina persefahaman daripada perlawanan pertama menentang Filipina, tapi pasukan kami tidak kurang hebatnya kerana hampir semua pemain telah bermain bersama sejak Piala Suzuki AFF.



"Jadi, tiada kelebihan untuk mana-mana pasukan... pasukan mana yang beraksi lebih cemerlang malam esok (malam ini) akan menang," tambahnya.



Kim bakal merasakan perlawanan derby sebarang Tambak pertamanya malam ini dan jurulatih asal Korea Selatan itu merancang menggunakan pertarungan tersebut sebagai "peluang baik untuk bereksperimen" dengan pasukannya.



"Kami akan menggunakan perlawanan untuk menilai kebolehan pemain dan cuba bereksperimen dari segi taktik... esok (hari ini) mungkin menjadi peluang yang baik," katanya.



Apabila ditanya sama ada "eksperimen" ini akan menjejas peluang kemenangan pasukannya malam ini, Kim menjawab:



"Sebagai jurulatih, saya perlu membentuk asas kukuh dalam pasukan. Saya harus mengenali perwatakan dan menilai keupayaan... reaksi pemain dalam situasi sebenar.



"Semestinya, ia bukan hanya perlawanan persahabatan... kami akan tetap fokus untuk mencatatkan kemenangan tapi juga memanfaatkan perlawanan terakhir ini."



Siri perlawanan persahabatan ini dilihat sebagai persiapan menjelang kelayakan Piala Asia 2023 Jun nanti.



Singapura diundi dalam Kumpulan F bersama-sama tuan rumah Kyrgyzstan, Myanmar dan Tajikistan, manakala Malaysia bertemu Bahrain, Turkmenistan dan Bangladesh di laman sendiri dalam Kumpulan E.




SEKILAS SIRI TIGA NEGARA FAS 2022



Hari ini, 8 malam

Singapura lwn Malaysia



Selasa, 29 Mac, 8 malam

Singapura lwn Filipina



Semua perlawanan di Stadium Negara. Perlawanan turut disiarkan secara langsung di meWATCH dan saluran YouTube Mediacorp Entertainment.



Pembelian tiket:



Tiket berharga $20 (dewasa) dan $10 (pelajar 16 tahun dan bawah, dan warga tua 60 tahun dan ke atas) boleh dibeli di laman web fas.org.sg/tickets/. Penyokong boleh mendapat diskaun 10 peratus apabila membeli tiket untuk kedua-dua perlawanan Singapura, dan juga dapat membeli tiket di pejabat tiket Hab Sukan di luar Kallang Wave pada hari perlawanan mulai 10 pagi hingga 9.30 malam.



Kemasukan ke stadium:



Penonton perlu menunjukkan bukti status vaksinasi penuh mereka, manakala kanak-kanak berusia 12 tahun dan bawah yang dikecualikan daripada vaksinasi perlu ditemani orang dewasa berusia 21 tahun dan ke atas. Sejajar dengan kelonggaran langkah pengurusan selamat baru-baru ini, penyokong akan dapat duduk tanpa perlu mematuhi jarak sosial tetapi harus memakai pelitup pada setiap masa. Penonton luar negara dinasihati memuat turun aplikasi TraceTogether untuk dibenarkan masuk ke stadium.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >