Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Tiga legenda gilap bakat muda bola sepak negara

Jan 14, 2018 | 05:30 AM



MEREKA bertiga banyak berjasa kepada pasukan bola sepak negara tidak lama dulu.



Mereka juga sebahagian daripada kumpulan elit 'Kelab Centurion' - pemain-pemain yang berjaya menyarungi jersi Singa sebanyak 100 kali atau lebih.



Kini mereka ditugaskan pula mengenal pasti, melatih dan menggilap bakat-bakat muda yang boleh diketengahkan kepada pasukan nasional, sekali gus membantu Singa kembali 'mengaum' selepas hilang taring sejak beberapa tahun lalu.



Inilah tugas mencabar yang dipikul legenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad, serta dua penolong jurulatih Nazri Nasir dan S. Subramani sebaik memulakan sesi latihan skuad Singa Muda (Young Lions) sempena musim baru ini pada Isnin lalu.



Sebagai sebahagian daripada perubahan strategi dalam perancangan yang menumpukan fokus pada pembangunan belia yang diumumkan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) bulan lalu, Fandi diserahkan tugas sebagai ketua jurulatih Singa Muda (Young Lions)/Skuad Bawah 23 Tahun Nasional.



Selain mengemudi cabaran Singa Muda bagi musim baru Liga-S tahun ini, Fandi dan dua rakan jurulatihnya itu bertanggungjawab mempersiap pasukan muda negara mengharungi Sukan Asia Indonesia pada Ogos ini, jika dipilih, dan temasya Sukan SEA 2019 yang dijadualkan di Filipina.



Dengan bola sepak negara dipalit pelbagai sorotan negatif sejak kebelakangan ini, Fandi, semakin bersemangat menempuh segala halangan yang melintang demi menyumbang ke arah masa depan sukan ini yang boleh dibanggakan.



"Hakikatnya, ia tugas yang sukar," ujar jurulatih berusia 55 tahun itu yang dianggap antara pemain terhebat yang pernah dilahirkan negara ini.



"Ia satu cabaran besar dan kami memerlukan semua pihak untuk menyokong usaha kami ini.



"Ini kerana di peringkat kumpulan umur pemain seperti ini... 19, 20 dan sehingga 23 tahun adalah kumpulan yang paling rumit dan mencabar, kebanyakan mereka masih bersekolah, ada pula menjalani NS (perkhidmatan negara).



"Ini bukan satu alasan tetapi adalah realiti sebenar yang kami hadapi dalam bola sepak di negara ini. Jadi kami perlu menghadapi segala cabaran ini, menyesuaikan diri dan terus memberi motivasi kepada pemain-pemain itu.



"Ia satu tugas penuh berliku tetapi kami perlu mengharunginya... cuba mengatasinya sebaik mungkin dan kami memerlukan sokongan semua pihak... pemain, ibu bapa, penyokong, syarikat serta pihak-pihak yang berkepentingan," tambah Fandi yang mempunyai 101 'caps' untuk skuad nasional.



Dikenali dengan keupayaannya menggilap bakat-bakat muda dan mendapatkan yang terbaik daripada para pemain mudanya di padang, raut wajah Fandi kembali bersinar, nada suaranya bertenaga apabila menyebut pengalaman pertamanya semasa memimpin Singa Muda buat pertama kali pada 2004-2006.



"Secara peribadi, tugas ini satu cabaran besar tetapi sesuatu yang saya seronok menempuhinya... sebab itu saya tidak menolak tugas ini.



"Apabila anda membimbing sekumpulan pemain muda dan melihat mereka mencatatkan peningkatan... kemudian melihat mereka mendapat tempat dalam skuad senior, inilah yang memberikan saya kepuasan.



"Inilah kenapa saya sifatkan tempoh tugas saya memimpin Singa Muda pada 2004-2006 sebagai antara kenangan paling manis sejak menjadi seorang jurulatih pada penghujung 1999.



"Saya anggarkan sehingga 80 peratus pemain daripada skuad Singa Muda itu... pemain seperti Baihakki (Khaizan), Hassan Sunny, Juma'at Jantan dan Khairul Amri (Kamal) semuanya berjaya mengukir nama masing-masing dalam skuad nasional.



"Saya sedar tugas ini bukanlah mudah... bukan sesuatu yang boleh dicapai dalam sekelip mata... tetapi ia bukanlah mustahil.



"Berikan mereka (barisan pemain yang ada hari ini) sedikit masa... saya yakin pasukan ini boleh mencapai sesuatu," ujar Fandi lagi.



Jadi apakah kata-kata motivasi 'ajaib' yang akan digunakannya dalam usaha mendapatkan yang terbaik daripada pasukan mudanya kali ini?



"Segala-galanya bergantung kepada keadaan tetapi bagi saya tiada yang lebih baik daripada bekerja keras di padang latihan.



"Anda mungkin memiliki bakat semulajadi sebagai pemain tetapi tanpa usaha dan kerja keras, anda tidak akan ke mana.



"Bagi saya, semangat juang tinggi itu seharusnya melebihi bakat yang dimiliki... semangat mesti kuat untuk anda mencapai cita-cita sebagai pemain bola sepak.



"Inilah juga akan saya ulang dan ulang dan ulang kepada pemain-pemain saya ini," tambah bapa lima anak itu yang golnya semasa menyarungi jersi kelab Belanda, FC Groningen, ke atas kelab gergasi Italy, Inter Milan, dalam Piala Uefa pada 1983 masih diingati sehingga hari ini.




FANDI MENGENAI MATLAMAT TERDEKAT



"Tentu sekali saya berharap dapat mengumpulkan sebuah pasukan yang mantap tetapi (seperti yang anda) lihat hari ini (Isnin lalu - hari pertama pasukan berkumpul bagi latihan persiapan musim baru ini)... hari pertama latihan, ia sudah pun menjadi satu cabaran kepada saya... hampir setengah skuad (tidak hadir) kerana terlibat dalam (kejohanan) IVP (kejohanan antara Institut Pendidikan-Varsiti-Poly). Sebagai jurulatih, ia satu cabaran yang besar tetapi kita tidak boleh merungut, perkara seperti ini sukar dielak. Apa yang boleh kami lakukan ialah teruskan perjuangan... buat penyesuaian. Saya sedia menghadapi segala cabaran ini, itulah sebab saya menyahut tugas ini."



FANDI MENGENAI MATLAMAT JANGKA PANJANG



"Sejak beberapa tahun lalu, pasukan ini gagal menyalurkan pemain-pemain berbakat kepada skuad nasional, jadi mudah-mudahan kali ini kami dapat membimbing lebih ramai pemain muda ini untuk disalurkan kepada pasukan Singa. Bagi saya, menang, seri atau kalah bukanlah penting tetapi kami mahu dapat terus menunjukkan peningkatan. Pentingnya juga bagi para pemain mencapai tahap kecergasan yang tinggi bagi membolehkan mereka beraksi mengikut cara yang kami mahukan. Untuk menunjukkan permainan serangan yang menghiburkan, para pemain perlu berlari naik turun padang... bertahan dan menyerang secara bersama."




Langkah positif tumpu pada pemain muda



LEMBARAN baru bola sepak Singapura yang memberikan fokus pada pembangunan pemain muda dialu-alukan dua pembantu jurulatih skuad Singa Muda (Young Lions)/Skuad Bawah 23 Tahun Nasional, Nazri Nasir dan bekas rakan sepasukannya dalam skuad nasional tidak lama dulu, S. Subramani.



Ia juga titik permulaan yang baik dalam usaha melihat sukan ini bangkit semula daripada kedudukannya yang mengecewakan sejak kebelakangan ini.



"Sudah pasti kami perlu memulakannya (usaha meningkatkan semula bola sepak Singapura)... mendapatkan lebih ramai pemain muda beraksi dalam sukan ini... menendang bola," ujar Nazri, 46 tahun, yang mempunyai 100 'caps' untuk negara.



"Dengan memberi penekanan kepada pemain muda, ini akan membuka lebih banyak peluang kepada mereka menimba pengalaman bermain di padang... bagus untuk pendedahan mereka.



"Saya masih ingat semasa saya berusia 16, 17 tahun... ketika itu kejohanan dipanggil Liga Perdana... saya adalah pemain paling muda... dikelilingi beberapa pemain berpengalaman... membantu saya menjadi pemain yang lebih baik lagi.



"Tetapi usaha ini memerlukan masa... semua pihak perlu bersabar dengan matlamat kami bersama Singa Muda kini ialah menarik semula peminat untuk kembali memberi sokongan," tambah Nazri yang sebelum ini pernah juga menjadi pembantu kepada ketua jurulatih Fandi Ahmad semasa mengendalikan skuad muda LionsXII yang beraksi dalam Liga Super Malaysia selama dua musim - 2014 dan 2015.



Bersetuju, Subramani, 45 tahun, bekas tunggak pertahanan Singa yang mempunyai 115 'caps' bagi negara, berkata:



"Jika anda melihat mana-mana liga atau negara handalan bola sepak di dunia, mereka sentiasa memberi fokus pada pembangunan pemain belia... ini adalah aspek paling penting dalam bola sepak.



"Jika anda tidak memberi tumpuan kepada perkara ini... nanti timbul pula masalah... di mana kita nak cari pemain-pemain untuk disalurkan kepada pasukan nasional?



"Jadi, tumpuan kepada pembangunan pemain-pemain muda ini adalah satu langkah ke hadapan yang positif."



Subramani, yang juga bertugas sebagai Ketua Seksyen, Pendidikan Jasmani di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central sejak 2011, turut menggesa pemain supaya mengubah 'set minda' jika mahu berjaya dalam sukan ini.



"Ia mengenai cara pemikiran mereka... para pemain perlu memiliki tahap mental yang kuat... kesungguhan yang tinggi jika mahu mengorak langkah jauh dalam sukan ini.



"Bagi saya, kekurangan aspek ini merupakan antara penghambat besar bola sepak kita.



"Selain itu mereka juga perlu sedia bekerja keras serta berdisiplin... penting juga mengamalkan sikap profesional. Kita bercakap mengenai liga profesional tetapi jika kita, pemain dan pegawai, tidak profesional, macam mana nak capai kejayaan," tambah Subramani.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >