Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

WAWANCARA DENGAN JURULATIH SKUAD SEPAK TAKRAW NASIONAL

Tahun baru, semangat baru

Apa jua kritikan diterima, niat Padzli hanya satu - mahu terus mainkan peranan bantu sepak takraw mekar semula
Jan 01, 2018 | 05:30 AM



BELIAU mengisi antara 'kerusi panas' sukan setempat - apabila anak didiknya kalah beliau dikecam, menang pun kekadang mengundang pelbagai persoalan.



Namun, jurulatih skuad sepak takraw negara, Padzli Othman, tidak pernah mengeluh dan tidak juga pernah menyesal, sebaliknya sentiasa menganggapnya sebagai asam garam tugas yang dipikulnya.



Bapa dua anak dewasa ini juga sering mengukirkan senyuman - kata-katanya sentiasa lembut baik semasa pasukannya menang mahupun mengalami kekalahan.



Malah, niat serta harapan yang terbuku dalam jiwanya untuk terus memperjuangkan nasib sukan tradisional ini menjadi pendorong bagi Padzli menyahut cabaran menerajui latihan skuad nasional - tugas yang dikendalikannya sejak 2014.



"Saya sedar saya tidak dapat menghalang orang-orang lain di luar sana daripada melahirkan pendapat atau pandangan mereka," ujar Padzli dalam satu wawancara dengan Berita Harian di Pusat Kecemerlangan Persekutuan Sepak Takraw Singapura (Perses) di Bedok North baru-baru ini.



"Banyak juga kata-kata sinis dan cemuhan yang dilontarkan... ada yang sampai mengatakan bahawa sukan kita ini sudah tiada harapan lagi.



"Sejujurnya, saya tidak kecil hati atau marah... mungkin juga ada kebenaran di sebalik apa yang diungkapkan itu... sebagai jurulatih, saya perlu menerima dan menjadikannya satu iktibar dalam meneruskan tugas saya membimbing pemain-pemain muda kita.



"Peminat sukan ini sebenarnya kecewa dan sedih melihat tahap sukan ini semakin terkial-kial sejak 15-20 tahun lalu. Mereka prihatin kerana jika dulu regu kami setanding Thailand dan Malaysia, kini kami terkial-kial apabila menentang pasukan seperti Brunei dan Laos.



"Saya pun begitu... saya sedih dan prihatin dengan nasib sukan ini. Itulah sebabnya saya menyahut tugas ini dan cuba memainkan peranan saya dalam usaha menggilap pemain-pemain muda yang menjadi harapan masa depan negara.



"Niat saya hanyalah satu... saya mahu bantu dalam usaha Perses meningkatkan semula sukan ini. Tiada niat lain... tiada apa-apa muslihat," tambah Padzli sambil menyebut sokongan kuat daripada isteri dan anak-anaknya yang menjadi tunggak baginya mengimbangi masanya antara keluarga, pekerjaan tetapnya sebagai pegawai logistik bersama syarikat Jerman Endress+Hauser SEA Pte Ltd sejak 26 tahun lalu serta tanggungjawab sebagai jurulatih nasional.



Justeru sempena menyambut Tahun Baru 2018 ini, jurulatih berusia 51 tahun itu mendambakan lembaran baru yang lebih positif dan bertenaga bagi sukan kesayangannya itu - yang mula beliau menjinak-jinakkan diri semasa kecil lagi dan membesar di kejiranan Everton Park dekat Tanjong Pagar.



Lebih dekat di hatinya tentunya melihat sukan ini disenaraikan di temasya Sukan Asia Indonesia pada 18 Ogos hingga 2 September ini - sebagai menebus pengalaman pahit terlepas beraksi di Sukan SEA Kuala Lumpur pada Ogos lalu.



Beliau turut melahirkan harapan melihat lebih ramai pemain muda tampil dalam sukan ini sekali gus menyemarakkan semula populariti sepak takraw setempat.



Segala ini bagaimanapun tidak akan berlaku secara semulajadi, sebaliknya beliau menggesa badan pentadbir sukan itu kembali mengatur langkah dalam usaha mempertingkatkan pembangunan sukan ini di peringkat sekolah-sekolah dan akar umbi.



"Cabaran terbesar saya sebagai jurulatih nasional ialah ketandusan pemain-pemain muda berbakat yang boleh diketengahkan untuk menyarungi jersi negara.



"Kekurangan pemain ini juga bermakna saya juga turut mempunyai pilihan agak terhad setiap kali perlu menamakan skuad bagi menghadapi sesebuah pertandingan.



"Inilah juga antara sebab mengapa Thailand kini berada begitu jauh di hadapan pasukan-pasukan lain. Sejak kecil pemain mereka sudah pun mendapat bimbingan asas yang betul dalam sukan ini, jadi mereka sudah mampu beraksi dengan baik apabila mencapai usia remaja.



"Inilah juga yang kami perlu usahakan... tiada jalan pintas untuk berjaya. Kami perlu merancakkan semula sukan ini di peringkat bawah... menganjurkan lebih banyak kejohanan dengan harapan lebih ramai pemain berbakat dapat ditemui dan digilap," ujar Padzli lagi yang bersama-sama Rafi Majid dan Nurhisham Adam berjaya memenangi pingat perak acara antara regu di Sukan SEA Singapura 1993.



Kesemuanya, bekas pemain pengumpan skuad nasional ini membuat penampilan sebanyak empat kali di temasya Sukan SEA dan dua kali di Sukan Asia termasuk menjadi antara pemain paling berpengalaman semasa tampil di Sukan Asia Busan 2002 pada usia 36 tahun.



Turut menggembirakannya kini ialah melihat anak sulungnya, Muhammad Danial Feriza, 22 tahun, gigih mengikut jejak si bapa dalam memburu kecemerlangan di gelanggang takraw.



Malah Danial sudah pun mula mengukir nama sendiri dengan mendapat tempat dalam skuad nasional yang beraksi di temasya Sukan SEA 2015 yang berlangsung di tanah air sendiri.



Namun, kehadiran si anak itu bukan tanpa kata-kata sinis yang dilontarkan kepada bapanya itu.



"Soal pilih kasih ini kerap juga sampai ke telinga saya tetapi anda boleh lihat sudah berapa banyak kejohanan di mana Danial tidak dipilih.



"Setiap pemain yang dipilih harus berdasarkan merit... keupayaannya berganding dan membentuk sebuah regu yang baik... itulah yang menjadi penilaian utama saya.



"Bukan atas dasar pilih kasih kerana sebaik saya mengamalkannya, itulah detik yang akan merosakkan pasukan... menjejas moral dan memecahbelahkan pemain... sesuatu yang tidak diperlukan sekarang kerana segala tumpuan dan tenaga kita seharusnya dihalakan bagi membantu sukan ini bangkit semula," tambah Padzli lagi.




PADZLI JAWAB TIGA SOALAN 'SUKAR'



PILIH KASIH KERANA ANAK SENDIRI DALAM SKUAD NASIONAL?



"Anda boleh lihat berapa banyak kejohanan di mana anak saya tidak dipilih... jika saya mula mengamalkan prinsip pilih kasih ini, itulah juga detik yang akan merosakkan perpaduan dan semangat pasukan kami... sesuatu yang merugikan sekali sedangkan saya ditugaskan untuk membantu meningkatkan prestasi sukan ini."



SENTIASA MENGIYAKAN ATAU MENJADI 'YES MAN' KEPADA PUCUK KEPIMPINAN PERSES?



"Sebenarnya bukan mudah untuk saya menerima tugas ini... saya mengambil masa beberapa hari untuk berbincang dengan isteri dan kawan-kawan... Saya tidak dapat menutup mulut orang lain tetapi apa yang saya lakukan sejauh ini ialah kerana niat saya mahu menyumbang semula kepada sukan ini. Sebagai majikan saya, Perses berhak menyuarakan pandangannya tetapi sebagai jurulatih, saya mempunyai hak sepenuhnya ke atas apa yang berlaku di gelanggang seperti latihan dan pemilihan pemain."



SEBAGAI BEKAS PEMAIN PENGUMPAN, BELIAU TIDAK MAHIR BIMBING PEMAIN PENYERANG DAN TEKONG?



"Bukan maksud saya menjadi sombong tetapi sebagai bekas pemain yang agak lama berkecimpung di peringkat kelab dan nasional, saya berpeluang menimba banyak pengalaman dan telah melalui segala pasang-surut dalam sukan ini... jadi sedikit-sebanyak saya dapat memberi tunjuk ajar dalam usaha membentuk sebuah regu yang mantap. Peluang saya beraksi di luar negeri turut membuka mata saya pada perkembangan sukan ini dan saya akan cuba terapkan segala ini pada sesi latihan skuad kami."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >