Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

LIGA PERDANA ENGLAND

Guardiola tertekan... Klopp tak mahu kempunan selepas kejar habis-habisan

Tiada pilihan..Manchester City dan Liverpool perlu menang dan terus menang untuk ditabal juara
Apr 10, 2022 | 07:35 AM



LONDON: Juara bertahan Manchester City dan Liverpool tidak mampu tercicir mata apabila berentap di Stadium Etihad malam ini, yang dijangka boleh menjadi penentu siapa yang menjulang trofi Liga Perdana England (EPL) Mei ini.



Dipisahkan hanya satu mata di puncak liga, anak didik Juergen Klopp dan Pep Guardiola, seperti beberapa tahun yang sudah, telah menetapkan ukur tara keunggulan pada musim ini.



Pesaing terdekat, Chelsea, berada 13 mata di belakang Liverpool dengan musim berbaki sembilan perlawanan bagi kelab itu, yang pada hujung minggu lalu dibelasah 1-4 oleh Brentford di Stamford Bridge.



Sebanyak 77 gol yang dijaringkan oleh Liverpool musim ini pula lebih banyak daripada semua gol yang dijaringkan oleh Watford, Burnley dan Norwich City - yang kesemuanya terperuk di bawah liga dan nyaris tersingkir dari EPL pada musim lalu.



Diminta mengulas mengenai pertarungan malam ini selepas perlawananan hujung minggu lalu, Klopp dan Guardiola akur ia adalah perlawanan yang amat penting.



Klopp berkata: "Perlawanan EPL yang seterusnya bagi kami adalah perlawanan yang besar. Kami tidak boleh larikan diri daripada hakikat itu."



Guardiola pula berkata beliau tidak sabar menghadapi tentangan daripada Liverpool di stadium sendiri.



Ini walaupun Liverpool telah menghakis kelebihan kelabnya - City mendahului liga dengan kelebihan 14 mata pada Januari lalu - dalam tempoh tiga bulan sejak City menewaskan Chelsea 1-0 pada 15 Januari.



Sejak tarikh itu, Liverpool telah memenangi semua perlawanan EPL, termasuk kemenangan ke atas Watford pada minggu lalu, yang buat beberapa jam, membolehkan Liverpool mendahului liga, sebelum City kembali ke puncak dengan menewaskan Burnley.



Guardiola, yang sebelum ini pernah memimpin Barcelona dan Bayern Munich, berkata: "Kami akan bertarung seberapa boleh. Lawan kami begitu handal dan mereka telah berkata mereka akan datang ke sini dan bertarung dengan kami.



"Kami terima cabaran ini."



Guardiola namun akur pasukannya, yang kalah mengejut kepada Crystal Palace pada bulan lalu, tidak mampu mencicir mata dengan liga berbaki lapan perlawanan dan Liverpool terlalu dekat di belakangnya.



"Saya berharap Liverpool tewas di tangan kami, kerana saya tidak menjangka mereka akan hilang sebarang mata lagi dalam baki perlawanan musim ini," kata Guardiola.



"Tekanan yang kami pikul pada masa ini bukan lah satu perkara baru. Kami juga pernah memikul tekanan yang serupa dan menunjukkan kami berjaya mengatasi cabaran ini dan menang 14 perlawanan secara berterusan untuk merampas kejuaraan liga daripada Liverpool (pada 2019).



"Kini, kami harus memenangi lapan perlawanan dan jika gagal, kami tidak akan bergelar juara di akhir musim," kata Guardiola.



PEMERHATI SEBULAT SUARA



Beberapa pemerhati bola sepak juga telah berkata pertarungan malam ini begitu penting bagi kededua kelab.



Bekas kapten England, Alan Shearer, berkata beliau sama sekali tidak menjangka City boleh dikejar Liverpool atau kelab lain pada Januari lalu kerana jurang antara City dengan kelab lain dianggapnya terlalu besar.



Sebaliknya, jurang itu kini terlalu sempit untuk membolehkan sesiapa membuat ramalan, kata Shearer.



"Liverpool kini berpeluang merampas peluang untuk memberi tekanan ke atas City," kata Shearer.



"Bagi saya, memandangkan mereka ketinggalan begitu jauh hanya dua bulan lalu menunjukkan usaha mereka yang padu untuk mengejar City dan kembali bersaing bagi kejuaraan liga.



"Saya jangka persaingan kekal sengit sehingga akhir musim dan siapa sahaja boleh memenangi trofi tahun ini... dengan keputusan perlawanan malam nanti menjadi faktor utama," kata Shearer lagi.



Bekas kapten Wales, Ashley Williams, bersependapat.



"Liverpool, sejak Januari lalu, berada dalam kedudukan di mana mereka tiada tekanan dan hanya perlu terus memenangi perlawanan dan mengutip mata... kerana City berada terlalu jauh di hadapan.



"Tapi kini, mereka pastinya merasai tekanan - mereka tidak ingin mensesiakan peluang untuk menewaskan City malam ini dan menjulang trofi di akhir musim.



"Bagi peminat bola sepak seperti saya, dan yang tidak menyokong sebarang kelab... keadaan ini begitu hebat. Ini adalah penghujung musim yang begitu hebat," kata Williams.



MENGEJAR SEJARAH



Buat masa ini, City dan Liverpool masing-masing masih berpeluang memenangi beberapa trofi musim ini dan memahat nama mereka dalam sejarah.



City dan Liverpool masih boleh memenangi tiga trofi - EPL, Liga Juara-Juara Eropah dan Piala FA.



Jika berjaya berbuat demikian, Liverpool akan mencatat rekod dengan memenangi empat trofi dalam semusim, selepas ia memenangi Piala Carabao pada bulan lalu.



City pula sedang memburu trofi EPL keempat dalam lima musim, yang boleh memahat namanya sebagai kelab paling berjaya dalam EPL selepas era Alex Ferguson di Manchester United.



Klopp berkata beliau dan pasukannya benar-benar menghargai keadaan yang hebat ini.



"Saya baru-baru ini memberitahu pemain, mereka berada dalam keadaan yang begitu diidam-idakan... satu trofi kini dalam tangan, sementara kami mengejar tiga lagi trofi. Kami juga mempunyai skuad penuh yang bebas kecederaan.''



LALUAN LEBIH MUDAH BAGI CITY?



Selepas menerima kunjungan Liverpool malam ini, City akan menghabiskan musim dengan perlawanan di Stadium Etihad dengan Brighton, Watford, Newcastle dan Aston Villa, sementara mereka akan bertandang ke Leeds, West Ham dan Wolves.



Liverpool pula akan berdepan dengan Manchester United, Everton, Tottenham Hotspur dan Wolves di tempat sendiri, sebelum bertandang ke Newcastle, Southampton dan Aston Villa.



"Secara kasar, City kelihatan mempunyai jadual perlawanan yang lebih mudah sehingga akhir musim, kata bekas pemain Scotland,'' James McFadden.



"Walaupun City mempunyai beberapa perlawanan sukar... ia akan menghabiskan musim dengan bertemu pasukan-pasukan yang dianggap lebih lemah.



"Namun, perlawanan yang akan menentukan hala tuju trofi di akhir musim adalah pada malam ini. Siapa yang memenanginya akan memenangi liga," ujar beliau lagi. - Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >