LONDON: Chelsea melahirkan minat mendapatkan semula khidmat penyerang Atletico Madrid, Joao Felix, selepas perbincangan untuk membeli penyerang Sepanyol, Samu Omorodion, terbantut.
Perbincangan mengenai terma kontrak antara Chelsea dengan Omorodion, 20 tahun, gagal mencatat sebarang kemajuan walaupun bayaran £34.5 juta ($58.3 juta) telah dipersetujui.
Perpindahan Omorodion ke Chelsea dijangka masih boleh berlaku tetapi rundingan antara kededua pihak tidak berjalan selancar yang diharapkan.
Pada masa sama, Chelsea sudah bersiap mencari penyerang lain, dengan Romelu Lukaku dijangka meninggalkan kelab tersebut.
Felix merupakan antara pilihan Chelsea, bersama penyerang Napoli, Victor Osimhen.
Chelsea sudah mengadakan pertemuan dengan ejen Felix, Jorge Mendes.
Selepas mendapatkan khidmat penyerang Wolves, Pedro Neto, dengan bayaran £54 juta, ini bermakna Chelsea telah membelanjakan sebanyak £185 juta untuk membeli 10 pemain baru, dengan usia purata mereka di bawah 21 tahun.
Felix, berusia 24 tahun, kekal terbuka untuk kembali ke Stamford Bridge. Beliau pernah bermain di sana secara pinjaman selama enam bulan pada musim 2022-23.
Nilai Felix dianggarkan sekitar £43 juta oleh pihak media.
Atletico menjadikan Felix pemain termahal kelima dalam sejarah apabila mereka membayar Benfica £113 juta untuk menandatanganinya pada 2019 apabila Felix hanya berusia 19 tahun.
Jika Atletico berjaya menjual Felix, mereka juga boleh menandatangani pemain tengah Chelsea, Connor Gallagher, kerana Atletico perlu menjual salah seorang pemain utama mereka untuk melengkapkan pemindahan tersebut. – Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg