LIGA PERDANA ENGLAND

'The Ox' ghairah hadapi ledakan temuan Pool-City

LONDON: Bintang midfield England, Alex Oxlade-Chamberlain, ghairah mahu memulakan cabaran baru di kelab barunya, Liverpool, dan dijangka diturunkan buat pertama kali apabila pasukan pimpinan Jurgen Klopp bertandang ke padang Manchester City hari ini (7.30 malam ini waktu Singapura).

Tunggak tengah padang berusia 24 tahun itu menolak kontrak baru yang ditawarkan Arsenal serta lamaran yang dibuat juara England, Chelsea, sebaliknya memilih menyertai kelab Anfield itu dengan bayaran £35 juta ($61.4 juta) minggu lalu.

Oxlade-Chamberlain menarik perhatian bahawa beliau tertarik dengan peluang beraksi dalam pasukan pimpinan Klopp yang mengutamakan serangan, justeru beliau mungkin tidak sabar menantikan permulaan yang menjanjikan satu pertarungan hebat dengan City pimpinan Pep Guardiola yang berbelanja besar musim ini.

"Melihat beliau (Klopp) menjalankan tugasnya, anda dapat merasakan semangatnya dan sebesar mana beliau benar-benar menyayangi sukan ini," ujar pemain yang digelar 'The Ox' itu kepada laman Liverpool.

"Perkara paling penting bagi saya ialah hubungannya dengan pemain... hubungan akrab yang terjalin antara beliau dengan pemain di dalam dan luar padang. Itu adalah perkara penting sekali terutama jika anda berusaha mahu mencapai ke tahap lebih tinggi.

"Satu lagi faktor... tentu sekali ialah cara permainan pasukannya... ia sesuatu yang menjadi inspirasi bagi saya dan menjadi antara faktor terpenting yang meyakinkan diri saya bahawa di sini (Liverpool) adalah kelab terbaik untuk saya," tambahnya.

Kejayaan 'memancing' Oxlade-Chamberlain adalah satu daripada dua 'langkah' utama Liverpool menjelang tamatnya tempoh pemindahan pemain hujung minggu lalu - satu lagi ialah mengekalkan tenaga playmaker pasukan, Philippe Coutinho, yang menjadi buruan Barcelona.

Kembali beraksi bersama Brazil dalam kelayakan Piala Dunia awal minggu ini selepas terlepas bermain sejak awal musim baru Liga Perdana kerana cedera, Coutinho mungkin diturunkan dalam pertarungan di Stadium Etihad ini.

Klopp dan anak didiknya tentu berharap meneruskan kecemerlangan perlawanan liga terakhir - membelasah Arsenal 4-0 yang menyaksikan The Reds melompat ke tangga kedua.

Liverpool turut dibuai keyakinan selepas mengatasi Hoffenheim dengan keputusan agregat 6-3 untuk menjamin tempat ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.

City pula di tangga keempat dan sekalipun belum kalah sejak hari pembukaan liga, pasukan Guardiola juga masih belum berada pada tahap terbaik - mereka hanya mampu seri 1-1 dengan Everton dalam perlawanan pertama dan memerlukan gol minit ke-97 Raheem Sterling semasa bekerja keras bagi mencatatkan kemenangan di padang Bournemouth.

Bintang pertahanan baru City, Benjamin Mendy, berpeluang membuat penampilan sulung di hadapan penyokong City menyusuli pemindahannya dari Monaco.

"Menentang Liverpool di padang sendiri... ia satu perlawanan yang besar sekali," ujar pemain bek kiri Perancis ini.

"Saya ghairah sekali dan tak sabar tampil buat pertama kali di hadapan penyokong kami... inilah sebabnya saya berpindah ke sini... untuk bermain dalam perlawanan berprofil tinggi seperti ini," tambah Mendy.

Kelab yang terdesak mengubah nasib hambar awal musim tentunya Arsenal dengan pengurus Arsene Wenger tentunya menuntut mata penuh apabila The Gunners menerima kedatangan Bournemouth hari ini.

Juara bertahan, Chelsea, yang bakal menghadapi musim yang lebih sibuk kali ini, pula akan ke padang Leicester City hari ini sebelum bersiap pula bagi perlawanan Liga Juara-Juara menentang Qarabag pada Selasa.

Pasukan bergelar The Blues perlu mengharungi tujuh perlawanan dalam tempoh 21 hari - sesuatu yang tidak membebani Conte dan anak didiknya semasa menjuarai Liga Perdama musim lalu. - AFP, Reuters.


JADUAL

Hari Ini

Man City lwn Liverpool
Singtel TV Sal 102 & StarHub TV Sal 227, 7.30 malam

Leicester lwn Chelsea
Singtel TV Sal 102 & StarHub TV Sal 227, 10 malam

Everton lwn Tottenham
Singtel TV Sal 103 & StarHub TV Sal 228, 9.50 malam

Arsenal lwn Bournemouth
Singtel TV Sal 104 & StarHub TV Sal 229, 9.50 malam

Southampton lwn Watford
Singtel TV Sal 105 & StarHub TV Sal 230, 9.50 malam

Brighton lwn West Brom
Singtel TV Sal 106 & StarHub TV Sal 231, 9.50 malam

Stoke lwn Man United
Singtel TV Sal 102 & StarHub TV Sal 227, 12.30 tengah malam

Esok

Burnley lwn Crystal Palace
Singtel TV Sal 102 & StarHub TV Sal 227, 8.30 malam

Swansea lwn Newcastle
Singtel TV Sal 102 & StarHub TV Sal 227, 11 malam

Selasa

West Ham lwn Huddersfield
Singtel TV Sal 102 & StarHub TV Sal 227, 3 pagi

 

Galeri Foto

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:09
Isyak
8:21
3 HR PSI: 40
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.