LAGU kebangsaan, Majulah Singapura, berkumandang buat julung kalinya di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka pada malam ini (29 Julai) selepas Singapura merangkul dua emas pertamanya dalam Kejohanan Pencak Silat Dunia 2022.
Pasukan seni regu puteri negara, yang dianggotai Iffah Batrisyia Noh, Amirah Sahrin dan Nur Ashikin Zulkifli, mengejutkan juara Sukan SEA 2022, Vietnam untuk merangkul gelaran juara dalam penyertaan sulung mereka.
Persembahan Singapura yang dinilai 9.950 mata cukup untuk menewaskan pasukan Vietnam, yang dibentuk Vuong Thi Binh, Nguyen Thi Thu Ha dan Nguyen Thi Huyen (9.945 mata).
Muhammad Iqbal Abdul Rahman meneruskan pesta kemenangan Singapura malam ini.
Beliau menerima hadiah istimewa sempena ulang tahunnya yang ke-29 esok apabila menewaskan pesilat tuan rumah Luqman Laji dalam pusingan akhir seni tunggal putera.
Persembahan Iqbal mendapat 9.970 mata, berbanding warga Malaysia itu (9.950 mata).
Kemenangan malam ini adalah kejuaraan kedua berturut-turut Iqbal di pentas dunia dan juga melanjutkan penguasaannya dalam acara itu tahun ini.
Pada Mei lalu, Iqbal meraih pingat emas dalam Sukan SEA di Hanoi, Vietnam.
Singapura juga menggondol tiga pingat gangsa menerusi acara seni dalam edisi ke-19 kejohanan dunia ini.
Pingat itu adalah hasil sumbangan Siti Nazurah Mohd Yusoff (tunggal puteri); pasangan adik-beradik Muhammad Hazim dan Muhammad Haziq Mohd Zaque (ganda putera); dan Muhammad Affiz Md Zakri, Muhammad Nazrul Mohd Kamal dan Muhammadinil Mustafar Mohd Isa (regu putera).
Saingan acara tanding dijadual berlangsung esok, dengan Singapura kini mempunyai 11 pesilat mara ke separuh akhir.
Kejohanan di Malaysia itu akan sampai ke kemuncaknya lusa.