SENI BELA DIRI CAMPURAN (MMA)

Peluang peminat MMA banjiri Hab Sukan tonton UFC Fight Night

PEMINAT seni mempertahankan diri campuran (MMA) di Singapura boleh mula bersedia untuk membanjiri Hab Sukan Singapura dengan kembalinya Ultimate Fighting Championship (UFC) Fight Night Singapura menjelang 26 Oktober ini.

Acara tersebut, yang dikendalikan oleh organisasi sukan tempur terkemuka di dunia, akan berlangsung di Stadium Tertutup Singapura.

"Singapura adalah pasaran penting untuk UFC sebab kami ingin mengukuhkan perniagaan kami di peringkat antarabangsa dan terus mengembangkan sukan MMA di Asia," kata naib presiden kanan UFC, Asia Pasifik, Encik Kevin Chang, dalam satu kenyataan.

"Singapura telah mengalu-alukan kehadiran UFC dengan tangan terbuka, dan kami sangat berterima kasih atas sokongan daripada rakan kongsi seperti Lembaga Pelancongan Singapura (STB) dan Hub Sukan Singapura.

"Kami tidak sabar untuk membina kejayaan daripada acara-acara sebelum ini di Singapura dan menyampaikan satu lagi UFC Fight Night yang luar biasa untuk peminat kami."

Pengarah eksekutif sukan STB, Cik Jean Ng, menambah:

"Kami berbesar hati menjadi tuan rumah bagi UFC Fight Night kerana ia menambah kepada kalendar dinamik kami yang dipenuhi dengan acara sukan bertaraf dunia dan ini terus mengukuhkan lagi kedudukan Singapura sebagai pusat pelancongan sukan serantau.

"Kami berhasrat untuk membina daripada kejayaan edisi tahun lepas dan memberikan satu lagi pengalaman menarik untuk pelawat dan penduduk tempatan tahun ini."

Pada 2017, UFC Fight Night Singapura bermula dengan pesaing kegemaran peminat Holly Holm mengalahkan Bethe Correia manakala perlawanan yang mendapat perhatian pada tahun lalu menyaksikan pesaing dari Britain Leon Edwards memusnahkan harapan Donald Cerrobe untuk menjadi pelawan UFC yang paling berjaya dalam sejarah.

Kedua-dua acara itu menarik tontonan seramai hampir 15,000 peminat.

"UFC Fight Night mempamerkan aksi seni mempertahankan diri di tahap bertaraf tinggi, yang merupakan salah satu daripada sukan paling pesat berkembang ditontoni di dunia," kata ketua pegawai komersial Sports Hub Sdn Bhd.

"Hab Sukan Singapura sangat teruja, buat sekali lagi, untuk mengalu-alukan kembali pelawan terbaik dunia ke Stadium Tertutup Singapura untuk menunjukkan teknikal dan keupayaan sukan yang luar biasa mereka dan memberikan inspirasi kepada ramai peminat seni mempertahankan diri di Singapura."

Maklumat pertarungan akan diumumkan dalam minggu-minggu akan datang dan peminat boleh mendaftarkan semula minat mereka melalui www.ufc.com/singapore untuk kekal dikemaskinikan mengenai promosi tiket pra-jualan dan maklumat kad pertarungan.