MANCHESTER: Paul Pogba dan rakan sepasukannya Amad Diallo, mengibar bendera Palestin di Old Trafford selepas pasukan mereka Manchester United seri 1-1 dengan Fulham dalam perlawanan Liga Perdana England (EPL) awal pagi semalam.
Pogba diberi bendera itu oleh penyokong ketika pemain Manchester United berjalan keliling padang sebagai tradisi penghormatan selepas perlawanan terakhir di padang sendiri sebelum tirai musim ditutup.
Pemenang Piala Dunia Perancis itu dan bintang Ivory Coast Diallo membawa bendera sebagai sokongan buat Palestin di hadapan sekitar 10,000 penyokong yang menyaksikan perlawanan itu selepas sekatan Covid-19 dilonggarkan.
"Ayuh pastikan dunia kita selamat dan bebas daripada keganasan. Doa buat Palestin," tulis Pogba di Instagram miliknya.
Sebelum ini, pemain Leicester, Hamza Choudhury dan Wesley Fofana, menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin selepas kemenangan 1-0 ke atas Chelsea pada perlawanan akhir Piala FA.
Mereka juga memegang bendera Palestin di padang di Wembley.
Pemain midfield Arsenal, Mohamed Elneny menerusi platform media sosialnya juga melahirkan sokongan kepada rakyat Palestin.
"Hati dan jiwa saya sentiasa memberi sokongan kepada rakyat Palestin," katanya dalam akaun Twitter miliknya. - AFP.