Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

BELASUNGKAWA

Pemergian Kamsin Moslin kehilangan besar bagi sepak takraw negara

Oct 28, 2018 | 05:30 AM



KEHILANGAN besar dirasakan keluarga serta kerabat sepak takraw setempat menyusuli pemergian penggiat veteran Haji Kamsin Moslin yang meninggal dunia Khamis lalu akibat penyakit jantung pada usia 77 tahun.



Allahyarham pernah menjadi pemain nasional pada tahun-tahun 1960-an dan juga dilantik jurulatih skuad takraw nasional pada 1986-1987, malah pada usia senjanya masih terus aktif menabur bakti sebagai penasihat kelab sepak takraw Chua Chu Kang CSC.



Justeru, pemergiannya agak mengejutkan, kata anak bongsunya, Zamri Kamsin, 52 tahun, yang dihubungi pagi semalam.



"Arwah bapa memang selalu sihat... masih kuat dan masih bekerja (di Hospital Gleneagles)... itulah pekerjaan pertama sejak bujang hingga usia senja... yang dilakukannya hampir 60 tahun," ujar Zamri.



"Orangnya pun suka bergurau... tetapi sekitar tiga minggu lalu, beliau mengadu dadanya sakit dan diminta dibawa ke hospital... dua saluran jantungnya didapati tersumbat dan pada usianya itu, doktor kata beliau masih sihat untuk menjalani pembedahan bagi memasukkan sten.



"Beliau berada hampir tiga minggu di hospital... sekejap di wad biasa, kemudian dimasukkan ke ICU (Unit Rawatan Rapi) sebelum akhirnya menghembuskan nafas terakhirnya," tambah Zamri.



Ditanya kenangan manis semasa bersama Allahyarham bapanya itu, Zamri berkata:



"Beliau tidak pernah melupakan tanggungjawabnya bersama keluarga... apabila masa untuk takraw, beliau ke takraw tetapi apabila di rumah, beliau memastikan segala keperluan kami terjaga.



"Malah apabila ibu saya diserang angin ahmar beberapa tahun lalu, Allahyarham tetap meluangkan masa menjaga ibu.



"Sebagai jurulatih pula, orangnya lembut dan penuh santun... tak pernah terpekik-pekik di gelanggang semasa memberi tunjuk ajar... itulah yang saya kagum mengenai ayah."



Allahyarham Kamsin juga diingati sebagai tenaga jurulatih yang banyak menyumbang bagi mengasah bakat pemain-pemain muda setempat - antaranya termasuk bersama Bukit Batok CSC dan Chua Chu Kang CSC.



Sebagai jurulatih nasional, antara pencapaian manis Allahyarham ialah ketika memimpin skuad negara menewaskan Thailand di Sukan SEA 1987 yang berlangsung di Jakarta.



Salah seorang anak didiknya di Sukan SEA itu, Shukor Shadik, masih tidak dapat melupakan peranan yang dimainkan Allahyarham di atas kejayaan luar dugaan itu.



"Bayangkan bahang pertandingan... kita bertemu musuh ketat, Thailand," ujar Shukor.



"Tetapi arwah Haji Kamsin bijak mengatur strategi selain memberikan kata-kata nasihat dan perangsang kepada kami agak tidak gentar dengan mana-mana pasukan pun.



"Beliau juga seorang yang saya amat hormati kerana sebagai jurulatih, beliau memang mudah berkongsi pandangan serta menghulurkan bantuan kepada kami, baik di dalam gelanggang mahupun di luar gelanggang," tambah Shukor, kini 54 tahun.



Satu lagi keunikan sumbangan Allahyarham kepada sukan sepak takraw setempat ialah beliau merupakan 'tunggak' daripada keluarga 'tiga generasi' yang pernah mewakili Singapura di peringkat tertinggi sukan ini, sama ada sebagai jurulatih mahupun pemain.



Zamri juga merupakan bekas pemain nasional yang pernah memenangi pingat gangsa di Sukan SEA Bangkok 1985 manakala cucunya, Muhd Izwandy Zamri, antara pemain berbakat dalam skuad nasional hari ini dan mula dipilih menyarungi jersi negara di Sukan SEA 2015 yang berlangsung di tanah air.



Pemergian Allahyarham turut dianggap satu kehilangan besar bagi sukan ini, menurut pula presiden Persekutuan Sepak Takraw Singapura (Perses), Abdul Halim Kader.



Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan badan pentadbir sukan itu, Halim berkata "kami kehilangan seorang jurulatih yang berdidikasi dan tidak pernah kenal erti penat dalam mengembangkan permainan ini kepada anak-anak muda selama hampir 40 tahun".



"Saya dan rakan-rakan lain di Perses sangat menghargai sumbangan dan jasa beliau yang diharap menjadi contoh kepada kami semua.



"Moga seluruh keluarga Allahyarham diberi kekuatan dan ketabahan dalam mengharungi ujian ini," tambah Halim yang kini berada di luar negara atas urusan kerja.



Allahyarham meninggalkan isterinya, Hajah Senisah Mohamed, 78 tahun, serta empat orang anak. Beliau turut mempunyai 12 cucu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >