Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Peminat, hotel alu-alu 'kepulangan' F1 S'pura

Jan 29, 2022 | 09:46 AM



PEMINAT sukan perlumbaan kereta Formula Satu (F1) serta hotel-hotel di sini mengalu-alukan 'kepulangan' Grand Prix Singapura untuk jangka masa tujuh tahun akan datang, bermula Oktober ini.



Pengurus perkhidmatan kewangan, Encik Muhammad Alif Mohd Hussein, sebelum ini pernah menyaksikan perlumbaan F1 di litar Marina Bay sebanyak dua kali.



Antara perkara yang beliau rindukan adalah suasana pada minggu perlumbaan yang meriah dan cukup menyeronokkan.



"Saya sungguh gembira sebaik mendapat tahu perlumbaan di Singapura akan diadakan semula.



"Kita akhirnya dapat nikmati sekali lagi keriuhan suasana sewaktu hari perlumbaan bersama peminat lain," katanya yang mempunyai kenangan indah bertemu pemandu kegemarannya, Sebastian Vettel, pada 2014.



Diminta mengongsi apakah yang beliau rindukan tentang perlumbaan Grand Prix Singapura, Encik Alif, 27 tahun, berkata:



"Kecohnya waktu hujung minggu untuk persiapan race day. Kawasan sekitar City Hall menjadi tempat berkumpulnya peminat dari pelbagai latar belakang.



"Saya juga pernah membawa pasangan saya yang dulu tak suka, tetapi sekarang turut kenali sukan ini."



Di samping itu, tempat penginapan di sini juga sedang membuat persiapan kunjungan peminat luar dan tempatan.



Dari 2008 hingga 2019, hotel-hotel terutamanya yang berada di kawasan pusat bandar menikmati tempahan yang tinggi - hampir setiap bilik ditempah - semasa hujung minggu perlumbaan.



Pada 2019, tahun terakhir perlumbaan diadakan sebelum pandemik Covid-19 melanda, JW Marriott Hotel Singapore South Beach telah ditempah sepenuhnya, manakala hotel berdekatan lain, termasuk Fairmont Singapore dan Swissotel The Stamford, melaporkan 90 peratus penghunian semasa perlumbaan hujung minggu itu.



Menjawab pertanyaan akhbar The Straits Times kelmarin, ketua pegawai jualan dan pemasaran Pan Pacific Hotels Group, Cik Cinn Tan, berkata ia sedang dalam perbincangan rapat dengan rakan kongsi sebagai persediaan untuk kepulangan perlumbaan selepas ia ditiadakan selama dua tahun.



Beliau berkata: "Sebagai salah satu rakan kongsi utama dalam perlumbaan F1 sebelum ini, kami teruja kerana kami kini mempunyai dua hotel berhampiran trek yang menawarkan pemandangan perlumbaan yang tiada tandingannya."



Pan Pacific Singapore dan Parkroyal Collection Marina Bay adalah sebahagian daripada kumpulan itu.



"Kami akan memperkenalkan pakej untuk memenuhi keperluan peminat dan tetamu yang tidak sabar untuk menyaksikan kepulangan acara itu secara langsung dari hotel kami," tambahnya.



Pengarah jualan dan pemasaran di The Ritz-Carlton, Millenia Singapura, Encik Mark Aldridge, berkata hotel itu mengalu-alukan kembalinya perlumbaan tahun ini.



Beliau berkata: "Acara lumba permotoran malam ini sentiasa menjadi kemuncak untuk tetamu tempatan dan antarabangsa, lebih-lebih lagi mereka dapat menyaksikan perlumbaan dari keselesaan bilik tetamu kami."



Dengan langkah pengurusan selamat yang dijangka akan dilaksanakan selain penutupan jalan raya biasa dan sekatan pergerakan, sesetengah perniagaan di sekitar Litar Marina Bay tidak pasti jika ini akan menjejas kehadiran peminat semasa minggu perlumbaan.



Encik Lewis Mitchell, pengarah perniagaan makanan dan minuman yang terletak di Esplanade, bimbang perniagaannya akan terjejas.



"Kemerosotan penjualan semasa perlumbaan 2019 sangat buruk," katanya.



"Kami sangat terkesan dengan acara seperti ini dan kami akan kehilangan banyak perniagaan kerana penutupan serta lencongan jalan raya.



"Perniagaan kami terjejas bukan sahaja pada hari perlumbaan tetapi juga minggu menjelangnya kerana persiapan yang perlu dilakukan."



Pemilik kedai Love In A Bottle di Millenia Walk, Encik Daniel Ho, 52, berkata:



"Mereka akan menutup jalan untuk persiapan perlumbaan, yang mendatangkan banyak kesulitan kepada pembeli.



"Tempat letak kereta hanya mempunyai satu pintu masuk yang dibuka, jadi trafik di sini akan berkurangan sedikit.



"Namun begitu, saya tetap mengalu-alukan perlumbaan F1 ini. Ia akan membantu ekonomi Singapura, terutamanya industri pelancongan."



Antara tarikan lain ketika F1 termasuk konsert yang menampilkan artis-artis popular antarabangsa antaranya termasuk kumpulan Red Hot Chilli Peppers dan Muse.



Konsert seperti ini, bukan sahaja menarik perhatian peminat F1, malah peminat artis-artis antarabangsa ini.



Ramai peminat seperti Encik Aidil Shah, 28 tahun, berharap konsert seperti itu juga dapat kembali tahun ini.



Beliau berkata: "Konsert-konsert ini akan menambahkan keseronokan kepada acara perlumbaan ini, terutamanya sejak persembahan dan muzik secara langsung tidak dibenarkan disebabkan pandemik ini."



FORMULA SATU




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >