MEMANDANG 2019: 10 KEJOHANAN YANG WARNAI KALENDAR

Peminat sukan pasti tak bosan

1 PIALA AFC ASIA KE-17

Tarikh: 5 Jan - 1 Feb

Lokasi: Amiriah Arab Bersatu (UAE)

Kejohanan bola sepak Asia yang dianjurkan empat tahun sekali oleh Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) kembali dengan 24 pasukan dari rantau Asia bertarung merebut gelaran juara.

Jumlah pasukan yang bertanding merupakan peningkatan daripada format 16 pasukan yang sebelum ini diperkenalkan dari 2004 hingga 2015.

2 PERTARUNGAN MAJLIS TINJU DUNIA (WBC)

Tarikh: 29 Mac

Lokasi: Singapura

Petinju negara, Muhamad Ridhwan Ahmad berpeluang menebus kekalahan sulung dalam kerjayanya apabila beliau akan kembali bersemuka di gelanggang dengan Paulus Ambunda dari Namibia. Perlawanan 'tebus maruah' pada Mac itu akan diadakan di Singapura dan mempertaruhkan 'gelaran Majlis Tinju Dunia (WBC)' bagi kelas 'featherweight'. Peminat sukan... usah lepaskan peluang menonton pertarungan yang dijangka hebat ini.

3 GOLF US MASTERS

Tarikh: 11-14 April

Lokasi: Amerika Syarikat

Kejohanan Masters 2019 ini merupakan edisi yang ke-83 dan yang pertama yang akan dipertandingkan pada tahun ini. Ia bakal diadakan di padang Kelab Golf Nasional Augusta di Georgia, AS.

Bintang golf yang pernah menguasai arena golf, Tiger Woods, yang kian menikmati prestasi terbaiknya sekembali daripada kecederaan turut mengambil bahagian..

4 PIALA DUNIA WANITA FIFA 2019

Tarikh: 7 Jun - 7 Julai

Lokasi: Perancis

Buat julung kalinya, Perancis telah diberi kepercayaan untuk menganjurkan edisi kelapan Piala Dunia khas untuk wanita. Amerika Syarikat yang menjadi juara bertahan bakal mempertahankan kejuaraan mereka nanti.

5 PIALA NEGARA-NEGARA AFRIKA 2019

Tarikh: 15 Jun - 13 Julai

Lokasi: Afrika Selatan atau Mesir

Selepas dua tahun, Piala Negara-Negara Afrika kembali dengan edisi ke-32. Tarikh kejohanan yang dianjurkan Gabungan Bola Sepak Afrika (CAF) untuk negara-negara di rantau Afrika dan sering dianjurkan pada Januari telah dialihkan kepada Jun dan Julai. Selepas Cameroon menarik diri selaku tuan rumah, CAF kini sedang mempertimbangkan mengadakannya di Afrika Selatan ataupun Mesir dan pengumuman akan dibuat pada 9 Januari nanti.

6 KEJOHANAN AKUATIK DUNIA FINA 2019

Tarikh: 12-28 Julai

Lokasi: Korea Selatan

Dalam membuat persediaan bagi Olimpik 2020 di Jepun, jaguh renang Singapura, Joseph Schooling, terlebih dahulu akan memburu pingat emas dalam acara kuak kupu-kupu di Kejohanan Akuatik Dunia FINA yang ke-18.

7 PIALA DUNIA BOLA JARING 2019

Tarikh: 12-21 Julai

Lokasi: England

16 negara, termasuk pasukan Singapura, akan bertarung dalam merebut kejohanan piala dunia bola jaring yang diadakan setiap empat tahun sekali. Australia menjadi juara ketika kejohanan itu dianjurkan pada 2015.

8 GRAND PRIX SINGAPURA FORMULA SATU (F1) 2019 SINGAPORE AIRLINES

Tarikh: 20-22 Sept

Lokasi: Singapura

Kededua Lewis Hamilton dan Sebastien Vettel kini terikat dengan masing-masing pernah memenangi perlumbaan di Litar Marina Bay sebanyak empat kali. Antara mereka, siapa yang bakal dinobat 'raja' litar ini dengan memenanginya untuk kali kelima?

9 PIALA DUNIA RAGBI 2019

Tarikh: 20 Sept - 2 Nov

Lokasi: Jepun

Buat julung kalinya, kejohanan berprestij ragbi ini akan diadakan di Asia. Kejohanan yang dianjurkan setiap empat tahun bakal melihat pasukan All Blacks dari New Zealand memberi tumpuan sepenuhnya dalam merangkul piala itu buat kali ketiga berturut-turut.

10 SUKAN SEA 2019

Tarikh: 30 Nov - 11 Dis

Lokasi: Filipina

Team Singapore bakal mengharungi cabaran di temasya Sukan SEA ke-30 ini dan berharap dapat membawa pulang jumlah pingat yang setanding dengan jumlah yang diraih di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

Waktu Solat

Subuh
5:52
Syuruk
7:08
Zuhur
1:13
Asar
4:12
Maghrib
7:15
Isyak
8:24
3 HR PSI: 29
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.