SETELAH dua tahun tidak beraksi di pentas antarabangsa angkara pandemik Covid-19, pemain badminton Singapura, Nur Insyirah Khan, dapati dirinya masuk ke gelanggang "baru" ketika kejohanan luar negara disambung semula tahun ini.
Sukan yang diceburi kekal sama, tetapi Insyirah, 20 tahun, sejak awal tahun ini, mula bersaing dalam kejohanan peringkat senior atau kategori terbuka.
Sebelum Covid-19, pada 2019, lulusan Politeknik Ngee Ann dalam jurusan perniagaan itu mewakili negara di arena antarabangsa peringkat junior.
Mengulas mengenai peralihannya ke tahap persaingan yang lebih tinggi, Insyirah memberitahu Berita Harian (BH):
"Pastinya, standard bermain di acara peringkat terbuka adalah lebih tinggi dan gaya permainannya lebih rumit. Tapi, saya sudah biasa berlatih dengan pemain senior dalam pasukan Singapura. Jadi, di situ, saya ada sedikit pengalaman bermain di tahap lebih tinggi."
Sejauh ini, Insyirah, yang bersaing dalam kedua-dua acara perseorangan dan beregu wanita, telah menyertai tiga kejohanan senior.
Beliau membuat penampilan sulungnya di Antarabangsa Estonia Yonex 2022 pada 13-16 Januari lalu, sebelum beraksi dalam Terbuka Sweden Victor 2022 seminggu kemudian dan Antarabangsa Belanda Forza FZ 2022 bulan lepas.
Antara ketiga-tiga pertandingan ini, pencapaian terbaik Insyirah adalah tempat ketiga di Terbuka Sweden (perseorangan wanita) dan suku akhir di Antarabangsa Belanda (beregu wanita).
"Kemajuan saya berkembang dengan baik sepanjang pertandingan ini. Saya melihat tahap penumpuan dan gaya permainan saya telah meningkat," katanya, yang juga menjuarai perseorangan wanita Kejohanan Badminton Terbuka Nasional Hab Sukan Singapura awal Januari lalu.
Insyirah kini bertekad menggunakan pengalaman itu di temasya Sukan SEA Vietnam pada 12 hingga 23 Mei ini. Ini merupakan penampilan ketiga beliau di temasya dwitahunan itu.
Namun, penampilan di edisi ini lebih istimewa buat Insyirah, yang akan bergandingan semula dengan bekas rakan bertandingnya, Bernice Lim.
Insyirah dan Lim, 21 tahun, akan beraksi dalam acara berpasukan dan regu wanita, yang masing-masing bermula 16 dan 19 Mei nanti.
Pasangan itu sebelumnya pernah bersaing bersama di Sekolah Sukan Singapura namun terpisah setelah tamat pengajian mereka, dan kembali disatukan awal tahun ini.
"Ia seperti satu perjumpaan semula," kata Insyirah.
"Mungkin, pada awalnya, sedikit sukar untuk mencari keserasian sebab sudah lama kami tidak bermain bersama. Tapi, lama-kelamaan kami dapat menyesuaikan diri kepada gaya permainan masing-masing."
Pada edisi lalu Sukan SEA 2019 di Filipina, Singapura berjaya membawa pulang pingat gangsa dalam acara berpasukan wanita. Justeru, Insyirah menyimpan hasrat untuk merangkul warna pingat yang lain kali ini.
"Saya harap kami dapat menang pingat perak dalam acara berpasukan kali ini.
"Bagi acara regu, saya tidak meletakkan sasaran tinggi tapi akan fokus menikmati proses pertandingan bersama rakan gandingan baru saya," kata beliau.
Insyirah juga merupakan anak kepada bekas pemain badminton negara, Abdul Hamid Khan. Beliau diperkenalkan kepada badminton oleh bapanya dan mula berjinak dalam sukan itu sejak usia lima tahun.
"Saya menyertai pertandingan pertama saya di usia tujuh tahun dan sejak itu, saya menjadi kompetitif sebab saya tewas kepada pesaing yang lebih tua daripada saya.
"Saya kemudian terdorong menceburi sukan ini dan berazam melayakkan diri ke Sukan Olimpik satu hari nanti," tambahnya.
HARAPAN BADMINTON
"Pastinya, standard bermain di acara peringkat terbuka adalah lebih tinggi dan gaya permainannya lebih rumit. Tapi, saya sudah biasa berlatih dengan pemain senior dalam pasukan Singapura. Jadi, di situ, saya ada sedikit pengalaman bermain di tahap lebih tinggi.'
...Kemajuan saya berkembang dengan baik sepanjang pertandingan antarabangsa. Saya melihat tahap penumpuan dan gaya permainan saya telah meningkat.''
- Nur Insyirah Khan