Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

PERSONALITI SUKAN

Pengorbanan, dedikasi sebab Mahader nombor 1 di gelanggang tenis

Bekas jaguh tenis nasional belajar erti berdikari semasa di Amerika, Indonesia dalam perjalanan capai kecemerlangan dalam sukan pilihan hati
Feb 17, 2019 | 05:30 AM



BERDIKARI seorang diri di bumi orang semata-mata kerana sukan kesayangannya.



Makan tidak boleh cerewet, malah terpaksa meluangkan masa bekerja part-time di sebuah pasar raya - di tengah-tengah kesibukan mengimbangi pelajarannya di Jefferson State Community College (JSCC) di Alabama, Amerika Syarikat, dengan latihannya di gelanggang tenis.



Malah, beliau pernah mengharumkan nama kolejnya itu apabila menjadi pemain pertama dari JSCC untuk mara ke final salah satu kejohanan di peringkat wilayah Alabama - dengan beraksi menggunakan raket yang retak!



Pada usia lebih muda - lebih tepat lagi sekitar 14-15 tahun - beliau memberanikan diri mengikuti latihan intensif di bawah bimbingan bekas jaguh tenis Indonesia, Sutarjo Sugiarto, di kompleks sukan Senayan, Jakarta, pada setiap tempoh cuti sekolah.



Bagi bekas jaguh tenis Singapura, Mahader Hassan, segala pengalaman serta cabaran yang dilaluinya itu - dengan bantuan biasiswa yang diperolehinya dari JSCC manakala selebihnya daripada 'poket' sendiri dan keluarganya - merupakan faktor pendorong yang membantunya meningkatkan prestasi dan mengembangkan bakatnya dalam sukan ini.



"Ia ibarat anda dilontarkan ke sebuah kolam yang dalam... suka atau tidak anda perlu terus berenang... melakukan segala-galanya untuk meneruskan kehidupan," ujar Mahader, kini berusia 62 tahun, menceritakan pengalamannya semasa ditemui baru-baru ini.



"Ia mengenai kerja keras... dedikasi dan membuat pengorbanan. Oleh kerana saya benar-benar bersemangat mahu meningkatkan lagi mutu permainan, jadi saya harungi segala cabaran itu dengan hati terbuka.



"Kolej kami berjaya melayakkan diri sehingga ke suku akhir kejohanan Persatuan Atletik Kolej Rendah Nasional (NJCAA) dan pada 1979 saya turut terpilih sebagai 'Pemain Paling Berharga'.



"Lebih penting lagi, saya tidak pernah berhenti bermain tenis sepanjang pengajian dua tahun di sana... ada sahaja kejohanan atau pertarungan persahabatan yang boleh disertai.



"Itulah yang banyak membantu saya... apabila anda berpeluang beraksi setiap hari, agak mustahil bagi anda untuk tidak mencatatkan peningkatan!" tambah bapa tiga anak dewasa yang berusia antara 27 dengan 35 tahun.



Membesar di kampung Bushey Park yang terletak di Telok Blangah, Mahader, yang nama sebenarnya Syed Mahder Hussain Almagbouly, tidak pula aktif dalam sukan ini pada tahun-tahun awal sebagai murid di Sekolah Rendah Silat.



Hanya semasa berada di sekolah menengah - di Sekolah Menengah Chai Chee (dua tahun) dan Sekolah Menengah Mount Vernon (baki dua tahun) - barulah beliau mendapat galakan daripada arwah bapanya, Y. Hassan, yang kebetulan pernah menjadi pemain tenis secara kompetitif dan muncul naib juara nasional pada 1973.



Menurut Mahader, beliau disuruh arwah bapanya untuk ke rumah Dr Tan Ai Kow - yang waktu itu merupakan Presiden Persatuan Lawn Tenis Singapura (SLTA, kini Persatuan Tenis Singapura atau STA) - di Mountbatten Road untuk berlatih setiap hari. Mendiang Dr Tan mempunyai dua gelanggang tenis di pekarangan vilanya yang mewah itu.



"Jadi setiap hari, saya akan ke sana untuk berlatih... seorang diri... memukul bola ke arah tembok... dari sekitar 2 petang hingga 5.30 petang, itulah yang saya lakukan setiap hari... berbalas-balas pukulan dengan tembok," tambah Mahader sambil tersenyum.



Terbukti, latihan saban hari di bawah terik mentari itu tidak sesia.



Sepanjang era kecemerlangannya, Mahader adalah 'raja' tenis Singapura pada 1970-an dan 1980-an apabila muncul sebagai juara nasional sebanyak 10 kali.



Bersama-sama rakan sepasukan lain - Albert Teo, Victor Pereira dan Hashim Sidek - Mahader turut membantu Singapura memenangi pingat perak acara tenis berpasukan di Sukan SEA Manila 1981.



Di temasya Sukan SEA Manila itu turut menyaksikan antara detik hebat sepanjang kerjaya cemerlang mewakili negara - kejayaan penuh manis menewaskan bintang Indonesia, Yustedjo Tarik, yang ketika itu adalah pemenang pingat emas di Sukan Asia - dalam acara perseorangan.



Pada 1977, Mahader juga menjadi tunggak skuad negara yang menjulang trofi kejuaraan Piala Chua Choon Leong buat pertama kalinya - kejohanan tahunan persis pertandingan bola sepak Piala Malaysia yang melibatkan negeri-negeri serata Malaysia waktu itu.



Malah awal sebelum itu beliau - ketika itu berusia 17 tahun - mencipta sejarah unik menjadi pemain pertama dari Singapura untuk mendapat peluang menimba pengalaman beraksi di kejohanan peringkat umur berprestij Junior Wimbledon yang masyhur.



Mahader kekal di Britain selama sekitar dua bulan selepas itu - menyertai beberapa kejohanan dalam Jelajah Rothmans yang diadakan di serata Britain ketika itu.



"Berlepas ke England seorang diri... menjaga diri sendiri dan berpindah dari satu kota ke kota yang lain bagi menyertai pelbagai kejohanan... mengajar saya erti berdikari.



"Ini memperkayakan pengalaman saya... menjadikan saya seorang pemain yang lebih matang.



"Dan pastinya peluang beraksi di Junior Wimbledon adalah antara kenangan manis yang tidak akan saya lupakan. Saya tewas kepada pemain remaja nombor satu dari Italy tetapi sekadar menjadi sebahagian daripada kejohanan masyhur ini boleh dianggap satu detik hebat," katanya lagi.



Ditanya pula mengenai motivasi yang mendorongnya untuk mengusai arena tenis setempat semasa era kecemerlangannya, beliau, yang kini menjalankan beberapa bisnes sendiri termasuk menjadi pengarah urusan syarikat yang diasaskannya pada 2011, Green Energy Specialist, menjawab:



"Saya sentiasa mahu mempertingkat keupayaan saya... sentiasa dahagakan kejayaan... sentiasa mahu bergelar pemain nombor satu.



"Kalau anda menjadi pemain kedua terbaik, anda mungkin boleh tergelincir ke tangga ketiga. Pemain di tangga ketiga pula boleh merosot ke tangga keempat atau kelima.



"Tetapi apabila anda menjadi pemain nombor satu, tiada siapa yang boleh mempertikaikan kedudukan anda... itulah juga yang membakar semangat saya untuk cemerlang dalam sukan ini dan mengekalkan kedudukan saya sebagai pemain nombor satu Singapura."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >